Istana Negara: Agong Perkenan Pelantikan Peguam Negara Pilihan Mahathir
2018.06.04
Washington & Kuala Lumpur

Yang di-Pertuan Agong Malaysia akhirnya memberi perkenan kepada calon Peguam Negara pilihan Perdana Menteri Mahathir Mohamad, kata satu kenyataan Istana Negara pada awal Selasa (waktu tempatan), sambil memberi jaminan kepada rakyat negara itu bahawa pelantikan seorang Kristian etnik India tidak akan mengancam kedudukan Islam atau menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.
Istana Negara mengeluarkan kenyataan itu selepas Anwar Ibrahim, pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mengambil alih tampuk pemerintahan Malaysia bulan lalu, menghadap Sultan Muhammad V pada Isnin malam, di tengah-tengah laporan media bahawa Yang di-Pertuan Agong, yang memberi perkenan kepada semua calon-calon jawatan tinggi kerajaan, tidak gembira dengan langkah kerajaan baru itu memilih seorang bukan Melayu sebagai Peguam Negara.
"Di bawah Seksyen 154 Perlembagaan dan atas nasihat perdana menteri, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV bersetuju untuk melantik Tommy Thomas sebagai peguam negara Malaysia," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Yang di-Pertuan Agong turut memperkenankan penamatan perkhidmatan Mohamad Apandi Ali sebagai Peguam Negara, susulan keputusan kerajaan baru Malaysia mengarahkan beliau bercuti.
“Yang di-Pertuan Agong menyeru semua rakyat Malaysia untuk menerima bahawa pelantikan Peguam Negara Malaysia tidak patut menimbulkan konflik ke atas kaum atau agama, kerana semua rakyat Malaysia harus dilayan dengan adil tanpa mengira bangsa dan agama,” kata kenyataan itu, yang memetik Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz sebagai berkata.
Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan rasa dukacita dan bimbang terhadap ‘laporan media yang tidak tepat dan bersifat negatif’ yang dilihat boleh mengancam keamanan dan keharmonian Malaysia, dan Seri Paduka mempunyai kewajipan ‘untuk menegakkan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan memelihara hak-hak orang Melayu dan Bumiputera serta melindungi agama Islam,’ kata kenyataan itu, yang menggunakan istilah yang merujuk kepada penduduk asli.
Setelah mengambil kira pelbagai pertimbangan termasuk pandangan Raja-Raja Melayu, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan penamatan perkhidmatan Mohamad Apandi dan melantik Thomas sebagai Peguam Negara kerajaan, kata Istana Negara.
Pengumuman oleh pihak istana itu dibuat di tengah-tengah laporan bahawa Majlis Raja-raja dijadual mengadakan mesyuarat pada Selasa untuk menyelesaikan isu Peguam Negara pilihan kerajaan baru itu. Tidak jelas sama ada Majlis Raja-Raja, sebuah badan yang dianggotai para sultan dan gabenor yang mewakili 13 negeri di Malaysia dan yang memilih Yang di-Pertuan Agong secara penggiliran setiap lima tahun, akan meneruskan pertemuan mereka berikutan pengumuman awal pagi itu oleh pihak Istana Negara.
Menurut laporan berita tempatan, Anwar telah memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Isnin malam selepas bertemu dengan tujuh Raja Melayu, termasuk Sultan Johor, untuk membincangkan tentang pelantikan Peguam Negara itu. Susulan pilihan raya umum baru-baru ini, Yang di-Pertuan Agong telah memberikan pengampunan diraja sepenuhnya kepada Anwar, yang dipenjarakan atas sabitan liwat dan dijangka menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri dalam satu atau dua tahun lagi.
Apandi: Peguam Negara yang bersihkan Najib daripada skandal 1MDB
Peguam Negara Apandi Ali diarah bercuti selepas Pakatan Harapan mengalahkan gabungan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu, dengan ia berjanji mahu melakukan pembersihan dalam kerajaan.
Apandi menarik perhatian ramai apabila mengeluarkan satu laporan pada Januari 2016 yang membersihkan bekas Perdana Menteri Najib Razak daripada dakwaan rasuah dalam skandal kewangan 1MDB, di mana berbilion-bilion dolar diselewengkan daripada dana pelaburan negara itu yang diasaskan Najib pada 2009, menurut dokumen mahkamah yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.
Pada Selasa, isteri Najib, Rosmah Mansor, akan disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyiasatan agensi itu terhadap pemindahan dana daripada 1MDB atau 1Malaysia Development Berhad.
Beliau dijangka berdepan soalan tentang bagaimana kira-kira RM42 juta (lebih daripada AS$10 juta) daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB, berakhir di dalam akaun bank peribadi suaminya. Najib telah menafikan sebarang salah laku berkaitan dengan 1MDB dengan mendakwa wang yang didepositkan itu adalah sumbangan daripada kerabat diraja Arab Saudi.
SPRM telah menyoal siasat bekas Perdana Menteri itu dua minggu lalu selepas pegawai-pegawai kerajaan melakukan penggeledahan di kediaman, pejabat dan beberapa rumah yang dikaitkan dengan Najib, merampas ratusan kotak beg tangan berjenama dan 72 beg pakaian yang mengandungi wang tunai, barang kemas dan barangan mewah lain. Kemudian, polis Malaysia berkata, beg pakaian itu mengandungi wang tunai hampir AS$29 juta (RM115 juta) dalam pelbagai mata wang.
Sokongan Badan Peguam
Sementara itu, Badan Peguam Malaysia telah mengeluarkan kenyataan yang menyokong hak Mahathir untuk melantik seorang Peguam Negara. Dalam satu kenyataan, presiden badan peguam itu George Varughese menegaskan bahawa peguam cara negara yang mengambil alih peranan itu buat sementara waktu.
"Peguam Negara mempunyai peranan penting sebagai penasihat undang-undang utama kepada kerajaan dan pendakwa raya, dan oleh itu, adalah penting agar seorang Peguam Negara yang baru dilantik dengan segera," kata Varughese.
Badan peguam itu berkata, perlembagaan "jelas menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong harus bertindak atas nasihat Perdana Menteri."
Badan peguam itu berkata, Peguam Negara yang baru haruslah merupakan seorang peguam yang berpengalaman luas dengan mempunyai kemahiran dan kepakaran undang-undang selain memiliki reputasi, integriti dan kejujuran yang amat tinggi.
"Pelantikan sedemikian adalah amat baik untuk kebanyakan pembaharuan institusi yang sedang dilakukan kerajaan bagi melahirkan era baru untuk negara kita," kata badan itu.