Polis Siasat Remaja Selepas Guru Dakwa Kenyataan Dikeluarkan Berbaur Fitnah

Ain Husniza Saiful Nizam disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, menurut pihak berkuasa Malaysia.
S. Adie Zul & Nisha David
2021.08.06
Kuala Lumpur
Polis Siasat Remaja Selepas Guru Dakwa Kenyataan Dikeluarkan Berbaur Fitnah Ain Husniza Saiful Nizam (berbaju kelabu) bersama dua peguam dan ibubapanya berjalan keluar selepas memberikan keterangan di Ibupejabat Polis Daerah Sungai Buloh, Selangor, 6 Ogos, 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Polis Malaysia pada Jumaat mengambil keterangan daripada remaja perempuan atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah serta mengaibkan seorang guru, selepas beliau mendakwa guru pendidikan jasmaninya bergurau keterlaluan berkaitan perbuatan rogol pada April lalu.

Pada hari yang sama, bapa kepada remaja 17 tahun itu berkata beliau akan memfailkan saman balas sebanyak RM5 juta keatas guru berkenaan, kerana didakwa menyebabkan tekanan emosi – susulan tindakan guru berkenaan memfailkan saman sebanyak RM1 juta keatasnya atas dakwaan menfitnah.

"Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah Sungai Buloh telah memanggil pelajar berkenaan bersama bapanya untuk tujuan rakaman percakapan bagi membantu proses siasatan berkaitan aduan terhadap laporan polis dibuat pengadu terbabit.

"Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan," kata Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Shafa'aton Abu Bakar kepada media.

Seksyen 504 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Menurut Shafa'aton kenyataan Ain Husniza Saiful Nizam diambil berikutan satu laporan polis yang diterima Ibupejabat Polis Daerah Sungai Buloh pada Khamis dari seorang lelaki ekoran kenyataan berbaur fitnah serta mengaibkan dirinya sebagai seorang guru.

Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh Ain semasa wawancara dalam talian dengan akhbar tempatan Utusan Malaysia - Utusan Online pada 30 April 2021 berkaitan isu guru pendidikan jasmani yang menyebut tentang elemen rogol semasa proses pembelajaran di dalam kelas.

Laporan terhadap Ain dibuat pada Khamis sejurus selepas pihak berkuasa berkata kes terhadap guru tersebut telah ditutup dan tiada sebarang tindakan lanjut akan dilakukan berikutan arahan pihak Pendakwa Raya.

Ain dan bapanya Saiful Nizam Ab Wahab telah hadir di IPD Sungai Buluh dengan ditemani dua peguam Sankara Nair dan Elyse Ng Zi Qian, dan menghabiskan masa kira-kira sejam disoalsiasat pihak polis.

Turut bersama mereka ialah Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Saman balas RM5 juta

Saiful Nizam mengesahkan tindakan saman balas itu diambil selepas mendapat nasihat daripada peguamnya.

"Ya, saya akan menyaman guru berkenaan kerana menyebabkan tekanan emosi,” katanya kepada BenarNews.

Peguam Sankara Nair berkata beliau telah menasihatkan anak guamnya untuk memfailkan saman balas terhadap guru berkenaan.

“Setelah meneliti surat tuntutan yang diterima daripada guru terbabit, saya telah menasihatkan anak guam untuk memfailkan saman balas terhadap guru berkenaan.

"Saya sudah maklumkan tindakan ini melalui satu surat kepada peguam guru terbabit bahawa kami akan memfailkan tuntutan saman RM5 juta kerana sengaja menyebabkan tekanan emosi terhadap anak guam saya," katanya kepada BenarNews sambil menambah yang surat tuntutan saman itu akan diserahkan pada Isnin.

Pada Isnin, guru terbabit telah menghantar notis tuntutan saman berjumlah RM1 juta melalui peguamnya, yang dialamatkan kepada Ain Husniza dan ibubapanya, Saiful Nizam dan Norshaniza Sharifudin.

Sankara Nair berkata pihaknya telah memberikan jawapan balas kepada peguam guru itu dan menafikan semua dakwaan terhadap anak guamnya.

Nafi niat menghina

Sementara itu, Ain Husniza menafikan dia berniat untuk menghina mana-mana pihak dalam kenyataannya yang dibuat sebelum ini.

"Ini adalah hak kami sebagai pelajar untuk mendapat persekitaran yang selamat di sekolah.

"Ketika keterangan saya dan bapa diambil, pihak polis sangat profesional dan kami memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mereka," katanya kepada media tempatan sebaik selesai memberi kenyataan di IPD itu pada Jumaat petang.

Kontroversi di antara Ain dan gurunya tercetus pada April lalu setelah remaja itu memuatnaik satu hantaran di aplikasi perkongsian video TikTok mendakwa seorang guru pendidikan jasmani di sebuah sekolah di Selangor bergurau keterlaluan seolah-olah menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol.

Dalam videonya, Ain mengulangi perkataan yang didakwa telah disebut guru berkenaan "Kalau kamu hendak merogol seseorang, jangan rogol mereka yang berusia bawah 18 tahun, tapi rogol mereka yang berusia 18 tahun ke atas."

Guru lelaki itu dilaporkan telah membuat kenyataan tersebut di dalam kelas pendidikan kesihatan, ketika sesi perbincangan mengenai undang-undang yang melindungi kanak-kanak bawah umur dari gangguan seksual, kata Ain.

Dakwaan itu menarik perhatian orang ramai dan mencetuskan perdebatan berhubung pendidikan seks di sekolah serta sikap merendahkan kehormatan wanita.

Pada Mei lalu, media tempatan melaporkan Kementerian Pendidikan Malaysia memberitahu yang guru berkenaan telah ditukarkan ke Pejabat Pendidikan Negeri Selangor sementara menunggu pihak polis melengkapkan siasatan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.