Malaysia bakal bentang Rang Undang-Undang baharu lindungi tindakan saman di luar negara

Melalui RUU itu, sebuah Majlis Kekebalan Negara Asing akan ditubuhkan di mana pengerusinya adalah Perdana Menteri, kata menteri.
Iman Muttaqin Yusof dan Noah Lee
2023.11.29
Kuala Lumpur
Malaysia bakal bentang Rang Undang-Undang baharu lindungi tindakan saman di luar negara Kenderaan Polis dan Tentera Malaysia melepasi satu sama lain di Lahad Datu, Sabah, berhampiran tapak berlakunya pencerobohan lelaki bersenjata dari Kesultanan Sulu, 3 Mac, 2013.
[AFP]

Kerajaan Malaysia pada Rabu membentangkan rang undang-undang baharu di Parlimen bagi melindungi negara itu daripada tindakan saman di luar negara, selepas sebuah mahkamah di Perancis mengarahkannya membayar AS$15 bilion dalam satu kes tuntutan ganti rugi. Bagaimanapun, keputusan itu berjaya dihalang oleh Kuala Lumpur.

Rang undang-undang itu dicadangkan bagi memastikan Malaysia mendapat imuniti daripada bidang kuasa mahkamah negara lain, sama seperti yang diberikan kepada negara itu di premis berdaulat serta ketua-ketua kerajaan mereka.

"Prinsip layanan salingan merupakan antara perkara utama dalam RUU ini.

Kuasa akan diberikan kepada Perdana Menteri untuk menarik balik kekebalan yang diberikan kepada mana-mana negara asing jika negara itu tidak memberikan kekebalan yang sama kepada kita," kata Menteri Undang-Undang Azalina Othman Said dalam satu kenyataan.

"Melalui RUU ini juga, sebuah Majlis Kekebalan Negara Asing yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri akan ditubuhkan, antara lain bagi menimbang teliti dan memutuskan perkara berkenaan dengan kekebalan negara asing yang akan berbangkit kelak."

Tambah Azalina, RUU itu mencerminkan usaha Malaysia dalam melindungi kekebalan negara asing serta memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia dengan negara luar.

"Adalah diharapkan bahawa kewujudan undang-undang ini akan membuka hati kerajaan negara asing untuk turut memberikan kekebalan kepada Malaysia, lantas menjamin kedaulatan Malaysia sekiranya terdapat tindakan mahkamah yang dimulakan terhadap Malaysia di negara asing tersebut," kata beliau.

Menurut laporan akhbar tempatan the New Straits Times, Klausa 11 undang-undang itu berhasrat memperluas bidang kuasa mahkamah bagi meliputi prosiding perundangan membabitkan hak, kepentingan atau kewajipan yang berkaitan dengan harta benda tidak alih negara asing di Malaysia.

Ia melibatkan perkara termasuk pewarisan, hadiah, harta tidak dituntut, aset amanah, harta pusaka bankrap atau aset syarikat yang sedang dalam pembubaran.

Klausa 12 RUU itu pula mencadangkan bahawa mana-mana negara asing boleh dibawa ke mahkamah melalui tindakan perundangan mengenai hak mereka terhadap harta intelek dan perindustrian.

Ia meliputi keadaan di mana sesebuah negara asing dituduh melanggar harta intelek atau perindustrian milik pihak ketiga yang telah dilindungi, didaftarkan atau dibenarkan di Malaysia.

Dalam kenyataan itu, Azalina berkata imuniti yang diberikan bukan bersifat tidak terbatas dan adalah tertakluk pada had.

Menurut menteri berkenaan, pembentangan RUU itu adalah untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat dan bacaan kali kedua telah dijadualkan.

Pada Jun lepas, sebuah mahkamah Perancis telah membuat keputusan yang memihak kepada Malaysia dalam pertikaian berpanjangan di antara negara itu dengan lapan individu yang mendakwa waris Sultan Sulu dan mereka menuntut hampir AS$15 bilion daripada aset Malaysia bagi menyelesaikan isu perjanjian tanah dari zaman penjajahan.

Kumpulan itu telah melantik penimbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa bagi mengadili kes mereka di mahkamah Madrid dan Paris. Stampa bagaimanapun kini berdepan pertuduhan jenayah di Mahkamah Madrid pada 11 Dis depan, menurut laporan akhbar tempatan.

Azalina juga berkata mahkamah itu, setelah menjalankan siasatan, telah memfailkan pertuduhan terhadap Stampa yang digelar seorang 'penipu anugerah' kerana pelantikan beliau sebagai penimbang tara telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid pada 2021. Sekiranya didapati bersalah, Stampa berdepan hukuman penjara dan denda.

Dalam tindakan berasingan, Malaysia pada April lepas telah mengambil pendekatan ofensif dengan mengisytiharkan seorang daripada lapan individu yang membuat tuntutan itu, Muhammad Fuad Abdullah Kiram, sebagai pengganas.

Pakar perlembagaan Wan Ahmad Fauzi memaklumkan BenarNews bahawa Parlimen perlu meneliti RUU itu bagi memastikan ia adalah selari dengan Perkara 155 Perlembagaan Persekutuan mengenai perlindungan imuniti.

"Perkara 154 menyatakan bahawa: Jika undang-undang yang berkuat kuasa di mana-mana bahagian lain Komanwel memberikan apa-apa hak atau keistimewaan kepada warganegara Persekutuan maka adalah sah bagi Parlimen memberikan hak atau keistimewaan yang seumpamanya kepada warganegara dari bahagian Komanwel itu yang bukan warganegara Persekutuan, walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini," kata beliau.

"Ini bermakna pengecualian imuniti dibenarkan antara negara-negara Komanwel. Sekiranya RUU ini akan melibatkan perubahan terhadap implikasi Perkara 155, maka pindaan Perlembagaan perlu dibuat."

Kata Wan Ahmad, Kerajaan Malaysia juga perlu mempertimbang aspek lain yang lebih komprehensif dalam menangani isu seperti tuntutan Sulu.

"Permulaan tindakan timbang tara terhadap Malaysia contohnya, adalah dibenarkan kerana negara kita turut meratifikasikan Konvensyen PBB mengenai Kekebalan Bidang Kuasa Negara dan Harta 2004.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.