Bekas pengikut ceritakan kehidupan dalam kumpulan ajaran sesat yang diharamkan
2024.10.08
Kuala Lumpur dan Washington

Lelaki yang dibesarkan dalam kumpulan al-Arqam menceritakan betapa gembiranya dia didoktrinkan dalam ajaran sesat itu sebelum Malaysia mengharamkan termasuk cabang-cabangnya kerana mengamalkan apa yang dianggap sebagai tafsiran Islam yang menyeleweng.
Al-Arqam dan sebuah syarikat yang dimulakan oleh ahli kumpulan sesat itu menjadi tumpuan skandal penderaan kanak-kanak dan siasatan jenayah yang menggegarkan negara Asia Tenggara yang majoritinya beragama Islam sejak dakwaan terhadapnya terbongkar pada pertengahan September.
Sehingga Selasa, lebih 660 kanak-kanak telah diselamatkan oleh pihak berkuasa dari rumah kebajikan yang dikendalikan oleh Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) - syarikat yang dikaitkan dengan kumpulan yang diharamkan itu.
Polis juga telah menahan sekurang-kurangnya 350 orang berhubung dakwaan mendera kanak-kanak bawah umur secara seksual atau dengan cara lain di rumah amal kendalian kumpulan itu.
Ashaari Muhammad, pengasas al-Arqam yang diharamkan oleh kerajaan Malaysia pada 1994, merujuk dirinya sebagai nabi.
Menurut bekas ahli itu, yang kini berusia awal 40-an, pengikut diajar untuk mempercayai bahawa "kita tidak boleh menggunakan akal kita" kerana orang yang mempunyai intelek "dianggap korup." Pergi bercuti atau membeli-belah dilihat sebagai hobi yang korup.
"Apabila kami berada di dalam, kami gembira kerana kami didoktrinkan dengan kepercayaan itu," kata lelaki tersebut kepada BenarNews dalam satu temu bual.
Bekas ahli kumpulan itu turut meminta agar identitinya tidak didedahkan kerana bimbang ada pihak menganggapnya sebagai musuh Islam hingga boleh menyebabkan mereka bertindak untuk melakukan apa sahaja terhadap dirinya.
Temu bual ini telah disunting bagi menjadikannya lebih jelas dan laporan juga memaparkan segmen rakaman audio temu bual.
BenarNews: Boleh perkenalkan diri anda. Bagaimana anda boleh terlibat dengan al-Arqam?
Bekas ahli: [Saya] dilahirkan dan dibesarkan di al-Arqam. Kemudian apabila al-Arqam diharamkan, saya tidak lagi terlibat. Kemudian, Rufaqa ditubuhkan. Saya antara yang terawal menyertainya. Kemudian Rufaqa diharamkan. Saya mengikuti Global Ikhwan. Apabila Global Ikhwan diharamkan, ia telah ditukar kepada Global Ikhwan Holdings (GISBH).
[Saya] semuanya sama. Arqam adalah Rufaqa, Rufaqa adalah Global Ikhwan, cuma tukar nama dan bersalin kulit saja. Namun pada hakikatnya, caranya semua sama bahkan akhirnya semakin menyimpang.
Ketika kami berada di dalam, kami gembira kerana kami didoktrinkan dengan kepercayaan yang dibawa kumpulan itu. Salah satu doktrin yang sangat ditekankan kepada pengikut ialah kita tidak boleh menggunakan akal kita.
Sesiapa yang menggunakan akal mereka dianggap rosak. … [Saya] hanya perlu mengikut arahan pemimpin. Pada mulanya, kami berasa seronok kerana kami fikir ini adalah realiti sebenar. Kami percaya ini adalah jemaah kebenaran, satu-satunya jemaah yang benar pada akhir zaman.
Seorang lelaki yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holdings menutup mukanya ketika diiringi oleh pegawai polis selepas didakwa di mahkamah di Putrajaya, Malaysia 18 September 2024. [Hasnoon Hussain/Reuters]
Sebenarnya, ia tidak berubah sejak dari awal. Itulah doktrin mereka, iaitu inilah satu-satunya jemaah yang benar pada akhir zaman dan kehidupan di luar, apabila anda melihat orang pergi melancong, bercuti, membeli-belah, semua itu dianggap sebagai kehidupan duniawi yang rosak.
…Tetapi lama-kelamaan, bukan kerana kami bosan, tetapi semakin lama kami kekal dengan kumpulan itu, kami mula melihat bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Terlalu banyak ditekankan tentang duit. Mereka hendakkan duit, untuk mengumpul kemewahan, untuk menjalankan projek di sana sini, tetapi pengikut dibiarkan susah.
Sejak kecil, mereka terpaksa tinggal di rumah amal, remaja terpaksa bekerja tanpa gaji, malah orang dewasa tidak mempunyai gaji.
… Pada akhirnya, kami berfikir, nabi tidak akan mengambil berat tentang politik Malaysia. Bagaimana dengan politik di Afrika? Bagaimana dengan orang Islam di tempat lain? Adakah nabi hanya akan memikirkan tentang politik Malaysia pada akhir zaman, tentang siapa menjadi perdana menteri dan siapa yang tidak? Pada masa itulah kami mula berfikir dan membuka minda.
BenarNews: Adakah al-Arqam mempunyai sekolah atau sistem pendidikan? Bagaimanakah sistem itu berubah apabila al-Arqam berubah menjadi Rufaqa dan kemudiannya GISBH?
Bekas ahli: Pendidikan dalam al-Arqam memang wujud pada satu ketika. Pada zaman dahulu, al-Arqam mempunyai sistem pendidikan dan guru. Tetapi apabila ia beralih kepada Rufaqa, tiada guru yang sesuai. …Mengapa guru tidak datang? Mereka tidak dibayar. Bagaimana guru dapat datang jika mereka tidak dibayar gaji? Guru-guru yang ingin mengajar terpaksa mencari wang untuk membayar sewa rumah mereka.
Pada masa sama, apabila lebih ramai orang menyertai Rufaqa, kanak-kanak tidak diberi pendidikan yang sewajarnya. Kanak-kanak itu kini sudah dewasa dan menjadi sebahagian daripada Global Ikhwan. Sekarang mereka sepatutnya menjadi guru untuk generasi baharu, tetapi apa yang boleh mereka ajar sedangkan diri sendiri tidak mendapat pendidikan yang sepatutnya?
BenarNews: Apakah perasaan anda apabila al-Arqam diisytiharkan sesat?
Bekas ahli: Apabila al-Arqam diharamkan, kami rasa benar-benar berada di dunia yang luar - terperanjat, mengalami pelbagai kejutan. Kami hidup di dunia luar, tetapi kami tidak begitu merindui era al-Arqam.
…Tetapi apabila kita memasuki era Rufaqa, keadaan telah berubah. Rufaqa lebih tertumpu kepada penubuhan negara Islam dan cuba menjadikan pengasas al-Arqam, Ashaari Muhammad sebagai perdana menteri Malaysia dan semuanya tentang bagaimana mahu mengumpul wang.
Lama kelamaan, perkara ini berterusan, malah Global Ikhwan turut mengikuti jalan yang sama. Tiada lagi pengajian, tiada kelas fardhu ain dan tiada kuliah agama yang betul. Tidak ada lagi sesi pengajian kitab agama dan kelas pembelajaran tradisional.
Walaupun kanak-kanak itu didera, tiada siapa hendak tolong, tiada siapa untuk menyokong mereka sebab ibu bapa mereka sendiri berada di dalam Global Ikhwan.
Mereka tidak akan laporkan kepada polis tentang kanak-kanak didera kerana ibu bapa sendiri tidak mengambil berat tentang anak-anak mereka.
Tiada siapa yang peduli. Mereka tahu bahawa penjaga tidak akan dihukum kerana mereka rela menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mereka kepada penjaga asrama.
Ibu bapa tidak menjaga anak-anak mereka dan anak-anak tidak tahu kepada siapa hendak membuat laporan. Tiada sesiapa untuk mendapatkan bantuan, sama ada polis atau hospital.
BenarNews: Adakah anda mengetahui sebarang penderaan terhadap kanak-kanak di rumah amal GISBH?
Bekas ahli: Tidak, saya tidak sedar. Namun, kami tidak rasa terkejut kerana isu ini timbul selepas kami berhenti daripada Global Ikhwan.
Kami tidak terkejut mengenai perkara itu sudah faham situasi dalam jemaah. Memang kanak-kanak itu diserahkan sepenuhnya kepada penjaga, dan apa sahaja yang penjaga mahu buat pun, tiada siapa boleh campur tangan atau peduli.
BenarNews: Adakah terdapat ahli politik, individu terkemuka terlibat dalam GISBH?
Bekas ahli: Sekarang mereka sangat suka bergaul dengan tokoh politik. Mereka sebenarnya tidak ada kaitan atau pengaruh dalam politik, tetapi mereka suka rapat dengan ahli politik. Kenapa? Kerana mahukan pengiktirafan, mereka mahu kelihatan baik dan mahu membuat ahli politik berasa simpati terhadap mereka.
Jadi, mereka mendapat simpati dan berkawan rapat dengan individu tersebut.
Untuk apa mereka mempergunakannya? Untuk melibatkan diri dengan masyarakat luar. Mereka menunjukkan mempunyai hubungan baik dengan ahli politik dan orang penting dan bagi meyakinkan pengikut mereka supaya tidak pergi.
BenarNews: Pandangan mengenai masa depan GISBH selepas ramai pemimpinnya ditahan?
Bekas ahli: Saya rasa kali ini GISBH akan diharamkan, itu perkara pertama. Kedua, saya rasa tindakan kali ini akan lebih tegas kerana ia sudah banyak kali berlaku sebelum ini. Jadi, kerajaan tidak mahu membiarkan perkara ini berterusan.
BenarNews: Mengapa anda tidak mahu dikenali dalam temu bual ini?
Bekas ahli: Saya tidak boleh mengadakan temu bual kerana ekstremisme ajaran sesat ini. Ketaksuban membuatkan mereka sanggup melakukan apa sahaja dan tidak semestinya mereka mahu, tetapi fikiran mereka telah dikawal oleh indoktrinasi fanatik.
Pemimpin, sebagai contoh, mereka mungkin mengambil tindakan secara tidak sedar, bermakna tidak diarahkan oleh sesiapa, tetapi mereka sendiri merasakannya.
Contohnya, mereka percaya ini jemaah yang benar, jemaah Imam Mahdi. Jadi, apabila seseorang cuba mengganggu atau mengganggu kumpulan ini, mereka melihat orang itu sebagai musuh Islam dan bagi mereka, ia dibenarkan untuk melakukan apa sahaja.