PM Malaysia Mahukan Keadilan Dalam Kes Pembunuhan Model Mongolia, Kata Bapa Mendiang

Hadi Azmi
2018.06.19
Kuala Lumpur, Malaysia
1806019-MY-Mongolian620.jpg Setev Shaariibuu (kiri), bapa model Mongolia yang telah dibunuh, Altantuya Shaariibuu, bersama-sama peguamnya, Ramkarpal Singh, ketika beliau bersiap sedia untuk bertemu Peguam Negara Malaysia Tommy Thomas di Putrajaya, 19 Jun 2018.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Pemimpin Malaysia Mahathir Mohamad telah melahirkan hasrat untuk mencari keadilan dalam kes pembunuhan kejam seorang model Mongolia pada 2006 yang dikaitkan dengan skandal pembelian kapal selam yang menyelubungi gabungan parti pemerintah yang telah disingkirkan baru-baru ini, kata bapa mendiang pada Selasa, sebelum bertemu perdana menteri.

Altantuya Shaariibuu berusia 28 tahun dan hamil ketika beliau ditembak mati dan jasadnya diletupkan dengan bahan letupan tentera di pinggir sebuah hutan berhampiran Kuala Lumpur pada Oktober 2006.

Bapanya, Setev Shaariibuu, memberitahu pemberita di Kuala Lumpur bahawa beliau terkejut apabila Mahathir bersetuju untuk bertemu dengannya, sambil menambah bahawa beliau akan meminta PM tersebut untuk membuka semula kes itu.

“Saya difahamkan bahawa PM berminat untuk mencari keadilan dalam kes ini,” kata Setev menerusi seorang penterjemah selepas bertemu Peguam Negara Malaysia yang baharu, Tommy Thomas, kira-kira setengah jam di Putrajaya, pusat pentadbiran negara.

“Saya amat berharap yang kerajaan baharu akan melakukan segala yang terdaya untuk menegakkan keadilan dan menamatkan kesengsaraan serta kesedihan keluarga kami.”

Setev diiringi peguamnya, Ramkarpal Singh, yang berkata beliau yakin siasatan akan dibuka semula berdasarkan kewujudan “petunjuk” baharu,” namun tidak mengulas lanjut.

Satu sumber BeritaBenar mengesahkan bahawa pertemuan antara Setev dan Mahathir akan berlangsung pada petang Rabu. Sebelum itu, Setev dijangka membuat laporan polis dan menggesa pihak berkuasa membuka semula siasataan kes pembunuhan itu.

Altantuya Shaariibuu telah berkhidmat sebagai seorang penterjemah semasa kerajaan Malaysia berunding untuk membeli dua kapal selam Scorpene daripada gergasi pembinaan kapal perang Perancis, DCNI, pada 2002. Beliau juga dilaporkan menjadi wanita simpanan Abdul Razak Baginda, seorang penganalisis pertahanan yang rapat dengan Menteri Pertahanan ketika itu, Najib Razak.

Dua anggota polis yang berkhidmat dalam pasukan yang mengawal keselamatan peribadi Najib ketika itu telah disabitkan dengan kesalahan melakukan pembunuhan tersebut dan dijatuhi hukuman mati, namun mahkamah tidak menentukan motif mereka. Seorang daripada mereka telah melarikan diri ke Australia, di mana beliau kini ditahan di sebuah pusat tahanan imigresen sejak Januari 2015.

Abdul Razak telah didakwa namun dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat melakukan jenayah itu. Mahkamah juga tidak mengenal pasti siapa yang merancang pembunuhan itu. Najib, yang kini bekas perdana menteri selepas gabungan parti pemerintah pimpinan beliau, Barisan Nasional, tewas pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, telah menafikan sebarang kaitan dengan pembunuhan itu dan menyangkal dakwaan rasuah berhubung pembelian kapal selam terbabit.

Ketika dihubungi BeritaBenar pada Selasa, Abdul Razak enggan mengulas perkembangan terbaharu yang berlaku kurang sebulan selepas Presiden Mongolia Khaltmaa Battulga menulis sepucuk surat menggesa kerajaan baharu menegakkan keadilan dalam kes itu.

Dakwaan skandal Altantuya dengan Abdul Razak muncul selepas laporan menyatakan bahawa sejurus sebelum kematiannya, mendiang telah menuntut bayaran bagi khidmatnya sebagai seorang penterjemah dalam rundingan pembelian kapal selam itu.

Altantuya meninggalkan dua anak lelaki yang kini berusia 20 dan 14 tahun. Anak keduanya adalah orang kurang upaya dan terlantar di katil. Kematian Altantuya menyulitkan hidup keluarganya kerana beliau yang menyara mereka, kata Setev.

Malaysia memeterai perjanjian bernilai ASS$1.1 bilion (RM4.4 bilion) pada 2002 dengan syarikat pembinaan kapal perang milik kerajaan Perancis, DCN International.

Kumpulan pejuang hak asasi Malaysia, Suaram, mendakwa bahawa pembelian itu menghasilkan kira-kira AS$130 juta (RM520 juta) komisyen yang dibayar kepada sebuah syarikat petala yang dikaitkan dengan Abdul Razak.

Najib, yang tersingkir selepas gabungan parti pemerintah pimpinannya kalah teruk pada pilihan raya umum 9 Mei, turut disoal siasat oleh suruhanjaya pencegahan rasuah dalam siasatan kes penyelewengan berbilion dolar daripada dana negara yang dikenali sebagai 1MDB.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.