Mahkamah Tolak Permohonan Semakan Hukuman Mati Pegawai Polis Bunuh Model Mongolia

Panel lima hakim menolak permohonan Azilah Hadri kerana bukti baharu ini adalah tidak selari dengan prinsip perundangan.
Noah Lee & Hadi Azmi
2020.12.08
Kuala Lumpur
Mahkamah Tolak Permohonan Semakan Hukuman Mati Pegawai Polis Bunuh Model Mongolia Bekas Perdana Menteri Najib Razak hadir untuk mendengar permohonan bagi mencelah dalam prosiding semakan kehakiman bekas pegawai Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri yang ingin mengetepikan sabitan serta hukuman mati terhadapnya atas pertuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu di Mahkamah Persekutuan Putrajaya, 8 Disember 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Mahkamah Persekutuan Malaysia pada Selasa menolak permohonan semakan keputusan sabitan dan hukuman mati oleh seorang bekas pegawai polis kerana dituduh membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu menggunakan bahan letupan gred tentera pada 2006, yang meminta permohonan perbicaraan baharu selepas mengeluarkan Akuan Bersumpah yang mendakwa bekas Perdana Menteri Najib Razak mengarahkan pembunuhan tersebut.

Azilah Hadri bekas pegawai Unit Tindak Khas Polis berpangkat Inspektor telah memfailkan permohonan itu bersama Akaun Bersumpah 32 mukasurat pada Disember tahun lalu memohon keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman mati terhadapnya disemak semula dengan mendakwa bahawa pembunuhan tersebut dilakukan setelah mendapat arahan bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak.

Panel lima hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Azahar Mohamed semasa mengumumkan keputusan mereka menyatakan bahawa Azilah sendiri telah menyimpan 'bukti' berkenaan daripada penyiasat polis dan mahkamah sebelum ini, dan tidak pernah mengemukakannya sepanjang beberapa tahun beliau disiasat polis serta semasa perbicaraan di kesemua peringkat mahkamah termasuk Mahkamah Persekutuan.

"Ia mesti ditekankan bahawa Azilah telah mendiamkan diri berkenaan apa yang didakwanya sebagai bukti baharu ini semasa dirinya disiasat, semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi, serta ketika rayuan dibuat di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

"Apa yang didakwa sebagai bahan bukti penting ini telah ada sebelum daripada perbicaraan di Mahkamah Tinggi serta tiga peringkat mahkamah, dan ia disimpan oleh pemohon sendiri (Azilah). Dia sendiri yang menyembunyikan apa yang didakwa sebagai bukti ini daripada polis, peguam-peguamnya, serta mahkamah.

"Dengan jelasnya di dalam pertimbangan kami, kemasukan apa yang dikata sebagai bukti baharu ini adalah tidak selari dengan prinsip-prinsip perundangan. Kami berpandangan bahawa, berdasarkan rekod-rekod, tidak ada ditunjukkan bahawa terdapat ketidakadilan yang berlaku di dalam kes, dan tiada keadaan luar biasa untuk kes dilihat semua. Dengan itu, kami menolak permohonan ini," kata Hakim Azahar ketika membacakan keputusan panel hakim.

Selain Azahar, empat lagi ahli panel itu adalah hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh, Vernon Ong Lam Kiat, Zaleha Yusof, and Zabariah Mohd Yusof.

Pada 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam di negeri Selangor telah mendapati bahawa Azilah dan seorang lagi anggota UTK, Sirul Azhar bersalah kerana membunuh Altantuya pada Oktober 2006. Model itu berusia 28 tahun ketika beliau ditembak mati dan tubuhnya diletupkan di sebuah kawasan hutan terpencil di luar Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membebaskan Azilah dan Sirul pada 2013, sebelum Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan berkenaan pada tahun 2015 dan menjatuhkan hukuman gantung ke atas kedua-dua mereka.

Akan tetapi, Sirul berjaya melarikan diri ke Australia dan kini berada di dalam tahanan pihak berkuasa negara itu dengan Australia enggan mengekstradisi Sirul kembali ke Malaysia kerana polisi negera itu berhubung hukuman mati.

Selepas gagal dalam perbicaraan kes terhadapnya, Azilah pada penghujung 2019 telah memfailkan permohonan kepada Mahkamah Persekutuan untuk semakan semula kes tersebut, dengan mengepilkan satu Akuan Bersumpah mendakwa Najib sebagai individu yang bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan Altantuya.

Akuan Bersumpah yang difailkan oleh Azilah mengandungi butiran mengenai pembunuhan dengan menamakan Najib, yang merupakan timbalan perdana menteri (TPM) pada ketika itu, serta pembantunya, Abdul Razak Baginda, sebagai orang yang mengarahkannya untuk membunuh Altantuya Shaariibuu selepas diberitahu bahawa model berkenaan adalah seorang perisik asing.

"TPM menyatakan bahawa perkara ini tidak boleh diketahui umum kerana ianya melibatkan ancaman kepada keselamatan negara. TPM kemudiannya mengarahkan saya untuk jalankan operasi sulit untuk menangkap dan menghapuskan perisik tersebut dengan sulit dan musnahkan mayatnya," kata Azilah dalam akuan bersumpahnya.

'Tiada kesan kepada Najib'

Sebelum menolak permohonan yang dibuat oleh Azilah, panel hakim yang sama turut menolak satu permohonan oleh Najib untuk campur tangan (intervene) di dalam permohonan bekas polis itu.

Peguam beliau, Shafee Abdullah memberitahu pemberita di luar mahkamah bahawa pihak mereka mahu masuk campur di dalam kes berkenaan kerana nama Najib dikaitkan di dalam pertuduhan yang dibuat Azilah.

Namun, tambah Shafee, beliau secara keseluruhannya berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan pada Selasa.

"Tiada apa-apa kesan terhadap Najib, kerana kes telah melalui proses mahkamah serta (siasatan) polis tidak mengaitkan beliau," kata peguam itu ketika ditanya pemberita.

"Ia hanya berkaitan dua pegawai berkenaan yang melakukannya," tambah Shafee.

Najib turut hadir di mahkamah ketika keputusan itu dibaca, namun beliau tidak bercakap dengan media selepas kes selesai.

Berkenaan dengan hukuman terhadap Azilah, Shafee berkata secara teknikalnya Azilah adalah tahanan yang akan menjalani hukuman mati, namun, kata beliau, keputusan untuk melaksanakan hukuman berkenaan adalah tertakluk kepada pihak berkuasa serta Sultan Selangor.

Pada 2018, bapa kepada Altantuya, Setev Shaariibuu telah bertemu dengan Perdana Menteri pada waktu itu, Mahathir Mohamad serta Peguam Negara Tommy Thomas bagi meminta supaya siasatan keatas pembunuhan anaknya dibuka semula.

"Saya amat berharap yang kerajaan baharu akan melakukan segala yang terdaya untuk menegakkan keadilan dan menamatkan kesengsaraan serta kesedihan keluarga kami," kata Setev beberapa hari sebelum pertemuan beliau dengan Mahathir.

Setev turut membuat satu laporan polis meminta siasatan dibuka semula dengan pihak berkuasa dikatakan telah mengambil keterangan dari saksi-saksi dalam kes tersebut termasuk bekas pengawal Najib, Deputi Superintendan Musa Safri.

Hasil siasatan telah diserahkan kepada pejabat Peguam Negara, tetapi bagaimanapun tiada perkembangan lanjut berkenaannya selepas diserahkan kepada pihak Peguam Negara.

Keluarga Altantuya pada 2007 telah memfailkan saman RM100 Juta (AS$24.5 juta) terhadap Azilah, Sirul, penganalisis politik Abdul Razak Baginda dan kerajaan Malaysia.

Menurut Bernama, dalam penyataan tuntutan, keluarga itu mendakwa kematian Altantuya telah menyebabkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, yang melayakkan mereka menerima ganti rugi teladan dan teruk.

Perbicaraan kes saman itu akan bersambung bulan hadapan di Shah Alam selepas tertangguh berikutan pandemik koronavirus.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.