Polis Siasat Kematian Pembantu Rumah Indonesia sebagai Kes Bunuh
2018.02.12
Pulau Pinang & Kuala Lumpur

Seorang diplomat dari Indonesia dan sebuah kumpulan hak asasi tempatan menggesa pihak berkuasa Malaysia pada Isnin supaya melakukan siasatan menyeluruh terhadap kematian seorang pembantu rumah Indonesia yang mengalami kecederaan dan, menurut seorang jiran, dipaksa tidur di perkarangan rumah dengan anjing peliharaan keluarga itu.
Polis di negeri utara, Pulau Pinang, di mana pembantu Adelina Lisao bekerja, telah menahan tiga suspek – majikannya seorang wanita berusia 36 tahun dan abangnya yang berusia 39 tahun. Ibu mereka yang berusia 60 tahun pula ditahan pada Isnin, kata Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid, ketua polis daerah berkenaan.
"Kami akan memohon perintah reman di mahkamah esok dan kami telah megambil keterangan daripada beberapa saksi termasuk jiran mereka," katanya kepada pemberita. "Kami sedang menyiasat kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana pembunuhan."
Polis dan pegawai lain telah menyelamatkan Adelina, 26, pada Sabtu selepas pihak berkuasa menerima aduan daripada jiran keluarga berkenaan, menurut ahli majlis tempatan, Joshua Woo Sze Zeng.
Woo berkata, beliau menemui pembantu rumah itu semasa dia sedang tidur di perkarangan rumah berkenaan. Dia mengalami luka pada muka, tangan dan kakinya sebelum dibawa ke hospital tetapi meninggal dunia pada Ahad.
Adelina juga terpaksa tidur di atas tikar di mana seekor anjing Rottweiler diikat berhampiran dengannya selama hampir dua bulan, kata Woo, yang memetik maklumat jiran keluarga itu, yang diberikan kepadanya.
Neni Kurniati, konsul di Konsulat Indonesia di Pulau Pinang, menuntut supaya kes itu diselesaikan dengan segera dan mendesak pihak berkuasa Malaysia supaya menahan mereka yang terlibat dengan kematian wanita Indonesia itu.
"Kami akan menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan menyeluruh berhubung perkara ini," katanya kepada pemberita pada Isnin di hospital di mana pembantu rumah itu dirawat. Beliau berkata, tidak ada aduan daripada Adelina tentang dirinya didera oleh majikannya.
Adelina telah bekerja untuk keluarga yang sama sejak Disember 2014, kata Kurniati, sambil menambah kata bahawa pihak konsulat cuba mengesan keluarganya.
Konsulat Indonesia akan menguruskan jenazahnya dibawa pulang ke Indonesia selepas bedah siasat dan siasatan selesai, kata Kurniati.
Polis berkata, Adelina mempunyai lebam pada kepala dan mukanya. Dia mengalami "kegagalan pelbagai organ sekunder akibat anemia," yang bermakna organ-organ gagal berfungsi kerana kekurangan darah di dalam tubuhnya, kata doktor.
"Ada kemungkinan tinggi bahawa mangsa telah diabaikan," kata Dr. Amir Saad Abdul Rahim dalam satu laporan ringkas.
Malaysia, yang majoriti penduduknya adalah Islam, mempunyai kira-kira 32 juta penduduk serta hampir 1.8 juta pekerja asing yang berdaftar secara sah dan kira-kira 2 juta pendatang tanpa izin yang bekerja dalam pelbagai sektor daripada pertanian hinggalah pembinaan.
Entiti taraf rendah
Tenaganita, kumpulan hak asasi migran dan pelarian tempatan, berkata, kematian Adelina mencerminkan bahawa masyarakat Malaysia tidak menghiraukan maruah dan hak pembantu rumah asing.
Glorene Das, pengarah eksekutif Tenaganita, berkata, terdapat banyak contoh penderaan lisan dan fizikal yang dilakukan oleh majikan Malaysia terhadap pembantu rumah.
"Ini menunjukkan bahawa banyak majikan menganggap pembantu rumah sebagai entiti bertaraf rendah yang boleh didera dan dilayani dengan buruk sesuka hati mereka," katanya dalam kenyataan.
Layanan buruk seperti itu sering berlaku kerana kurangnya perlindungan undang-undang yang diberikan kepada pembantu rumah asing di Malaysia, katanya.
"Akta Pekerjaan 1995, yang pada dasarnya melindungi hak pembantu rumah, tidak mengiktiraf mereka sebagai pekerja, tetapi sebaliknya, mendefinisikan mereka sebagai amah," kata Das.
"Tempat kerja mereka dilihat sebagai domain persendirian, yang tidak tertakluk kepada pengawasan awam untuk memastikan hak buruh dan hak asasi pembantu rumah dilindungi," katanya. "Akibatnya, banyak majikan merasakan mereka boleh menundukkan pembantu rumah mereka untuk bertahan dengan penderaan dan penyeksaan yang berbentuk hukuman, yang kadang-kadang berakhir dengan tragis seperti dalam kes Adelina, dan banyak lagi kes yang berlaku sebelum ini."
Mangsa yang membebaskan diri daripada penderaan dan eksploitasi dengan melarikan diri daripada majikan, terpaksa berdepan hukuman pihak berkuasa di bawah Akta Imigresen kerana status mereka menjadi pekerja haram, katanya.
"Kerajaan harus mejalankan tanggungjawabnya untuk melindungi sektor tenaga kerja yang sangat terdedah kepada bahaya ini, setelah ia telah menyumbang begitu banyak kepada kesejahteraan berjuta-juta rakyat Malaysia," katanya. "Kami tidak mahu melihat satu lagi kematian pembantu rumah yang tidak berdosa di Malaysia."
Neni Kurniati, konsul di Konsulat Indonesia di Pulau Pinang, Malaysia, bercakap kepada pemberita di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, 12 Feb, 2018. [Fairuz Mazlan/BeritaBenar]