SPRM beri tempoh 30 hari bagi anak bekas PM Malaysia isytihar aset

Notis itu dikeluarkan selepas SPRM mengambil keterangan anak sulung Mahathir berhubung siasatan di bawah AMLA.
Minderjeet Kaur
2024.01.18
Kuala Lumpur
SPRM beri tempoh 30 hari bagi anak bekas PM Malaysia isytihar aset Seorang lelaki mengambil gambar logo Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di luar ibu pejabat agensi itu di Putrajaya, 23 Feb 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi tempoh 30 hari kepada Mirzan, anak sulung bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, untuk mengisytiharkan semua asetnya selepas beliau dipanggil ke ibu pejabat agensi itu berhubung siasatan mengenai dakwaan pengubahan wang haram dan aktiviti haram dalam urusan penjualan syarikat berkaitan Kerajaan.

Menurut SPRM pada Khamis, Mirzan telah dipanggil sehari sebelum itu sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas individu yang dinamakan dalam Kertas Pandora namun beberapa penganalisis berkata langkah itu mungkin dilihat sebagai bermotifkan politik susulan beberapa tindakan oleh agensi kerajaan terhadap seteru Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

SPRM memaklumkan bahawa siasatan telah dimulakan sejak Ogos 2022 melibatkan “semua entiti yang berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora dan juga Kertas Panama” di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

“Sehingga kini, seramai 10 saksi telah dipanggil bagi tujuan dirakam pernyataan serta SPRM sedang mengkaji dokumen kewangan serta pemilikan aset entiti-entiti yang tersenarai dalam laporan-laporan tersebut dan siasatan masih giat dijalankan,” katanya.

Selain Mirzan, seorang ahli perniagaan, empat lagi anak Mahathir ialah Marina, Mokhzani dan Mukhriz.

Dalam maklum balas kepada BenarNews, pejabat Mahathir berkata ia tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung siasatan itu buat masa ini.

Pada 2018, Perdana Menteri yang paling lama memerintah Malaysia itu telah membidas para pengkritiknya yang mempersoal kekayaan anak-anaknya dan berkata kejayaan mereka adalah hasil usaha keras sendiri serta tidak mempunyai kaitan dengan kedudukan beliau semasa menerajui negara itu selama dua dekad.

Kepentingan perniagaan anak-anak Mahathir sering menjadi pertikaian. Pada 2017, pemimpin UMNO telah mendesak agar siasatan dijalankan ke atas kekayaan mereka manakala Bersatu pula pernah membuat laporan kepada SPRM meminta agensi antirasuah itu menyiasat kekayaan anak-anak Mahathir.

Kertas Pandora dan Kertas Panama merujuk kepada ribuan dokumen yang didedahkan oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) selepas membongkar maklumat berkaitan akaun bank dan aset di luar negara milik ahli politik dan personaliti ternama.

Minggu lepas, SPRM telah memanggil Naimah Khalid, isteri bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin serta dua anak lelaki mereka berhubung aset yang dimiliki oleh keluarga itu.

Menurut SPRM, siasatan ke atas Daim telah bermula pada Februari 2023 dan berdasarkan kepada maklumat dalam Kertas Pandora.

Daim dan ahli keluarganya telah memfailkan permohonan memohon kebenaran mahkamah untuk semakan kehakiman bagi mencabar siasatan SPRM yang didakwa bercanggah dengan Perlembagaan.

Langkah bijak tetapi Zahid, Bung Moktar bagaimana?

Siasatan SPRM itu bagaimanapun telah menimbulkan reaksi bercampur selain persoalan mengenai kepentingan amalan sistem perundangan yang adil dan bebas.

Muhammad Izmer Yusof, penganalisis dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengalu-alukan siasatan itu kerana ia memperlihatkan SPRM sebagai proaktif dan bertindak secara telus dalam membanteras rasuah.

Begitupun, Izmer menyuarakan kebimbangan mengenai persepsi awam terhadap siasatan itu.

“Ia nampak tidak begitu baik pada pandangan masyarakat, menimbulkan pelbagai persepsi yang salah kerana mereka yang disiasat adalah orang-orang yang menentang kerajaan.”

Mengulas lanjut, Izmer berkata kebanyakan pemerhati mungkin mengandaikan tindakan itu sebagai bersasar atau bermotifkan politik kerana “hampir tiada individu di pihak kerajaan sedang disiasat.”

Beliau berkata sebagai contoh, mereka yang berada dalam kerajaan seperti Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua UMNO Sabah Bung Moktar Radin telah dibebaskan tanpa sebarang hukuman.

“Ini mungkin menimbulkan persepsi berkaitan pilih kasih oleh SPRM dalam bertindak,” katanya.

Ahmad Zahid, Ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga Presiden UMNO serta Pengerusi Barisan Nasional, yang memiliki 30 penggubal undang-undang bagi membentuk kerajaan pimpinan Anwar, telah dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi yang ditubuhkannya.

Bung Mokhtar dan isterinya Zizie Izette Samad pula dibebaskan daripada pertuduhan rasuah RM150 juta melibatkan pelaburan oleh agensi kerajaan Felcra selepas Mahkamah Tinggi menggunakan budi bicaranya sebelum memutuskan untuk membebaskan pasangan berkenaan.

Azmil Mohd Tayeb, profesor madya di Universiti Sains Malaysia pula berkata sekiranya SPRM mempunyai bukti yang kukuh maka badan itu berhak meneruskan siasatan.

“Namun ia tidak seharusnya hanya memfokus kepada para pengkritik kerajaan yang ada pada waktu ini. SPRM juga perlu memberikan tumpuan dalam menyiasat para penyokong mahupun anggota kerajaan seandainya ia mempunyai bukti yang kukuh untuk berbuat demikian.”

Beliau berkata tindakan seimbang itu penting bagi mengelakkan SPRM dilihat sebagai alat kerajaan untuk mendiamkan para pengkritiknya.

Jeniri Amir, felo kanan Majlis Profesor Malaysia, pula menyentuh mengenai perubahan dalam dinamik dan berkata tindakan sedemikian memerlukan keazaman politik.

“Persepsi masyarakat sahaja tidak boleh membuktikan kekayaan luar biasa mereka (anak-anak Mahathir), hanya siasatan SPRM dapat merungkaikan segala persoalan.”

Bagi Syaza Shukri, penganalisis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, langkah memanggil Mirzan memperlihatkan siasatan SPRM seolah-seolah terpilih manakala mereka yang berada dalam kerajaan dibebaskan.

“Kita memahami bahawa sekarang adalah masanya untuk menyiasat pentadbiran terdahulu disebabkan adalah mustahil untuk berbuat demikian sebelum ini namun pada masa yang sama, mereka yang berada dalam pentadbiran telah dibebaskan.”

Ili Shazwani Ihsan dan Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.