Mukhriz Suara Kritikal Dalam UMNO
2016.02.04

Mukhriz Mahathir dijangka akan terus menjadi suara kritikal terhadap UMNO, dan memberi tekanan ke atas pentadbiran Najib Razak, yang berdepan dengan dakwaan menyeleweng syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MBD), kata penganalisa politik kepada BeritaBenar.
Pensyarah Fakulti Sains Sosial politik dari Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian dalam analisanya terhadap perkembangan terbaru di Kedah itu menjangka Mukhriz akan terus bersuara lantang bagi isu-isu yang menyentuh sentimen rakyat terhadap Umno.
“Mukhriz akan terus kekal di dalam UMNO, walaupun mendapat perlawaan untuk menyertai parti pembangkang. Beliau akan terus menjadi suara kritikal dalam parti itu,” katanya semasa dihubungi Berita Benar pada Khamis.
Menurut beliau, sebagai pemimpin yang berpegang kuat kepada prinsip urus-tadbir baik dan ketelusan, perletakan jawatan Mukhriz dari jawatan Menteri Besar Kedah tidak akan mengubah pendiriannya untuk bersuara terhadap pentadbiran Putrajaya.
“Tanpa terikat dengan sebarang jawatan dalam kerajaan, Mukhriz dilihat mempunyai lebih banyak ruang untuk bersuara secara bebas, tetapi persoalannya kini sejauh manakah UMNO akan memberi ruang itu kepada Mukhriz, tanpa menjejaskan parti keramat orang Melayu itu,” tambah pensyarah politik itu lagi.
Mukhriz, anak bekas perdana menteri Mahathir Mohamad, melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah yang ke-11 pada Rabu setelah didesak oleh para pemimpin partinya sendiri selepas berdepan dengan kemelut politik selama lebih dua minggu.
Pada 20 Januari lepas, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Ahmad Bashah Md Hanipah mengadakan satu sidang media yang mendakwa 14 ketua UMNO bahagian dan beberapa anggota Parlimen Barisan Nasional di negeri itu telah hilang keyakinan kepada kepimpinan Mukhriz, yang didakwa gagal menyusun gerak kerja parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, yang perlu dijalankan dalam tempoh dua tahun.
‘Kaji sentimen’
Sivamurugan turut berpandangan, sebelum memulakan langkah yang seterusnya, Mukhriz akan mengkaji terlebih dahulu sentimen ahli-ahli UMNO dalam menetapkan hala tuju barunya dalam parti berkenaan.
Mengenai perlantikan Ahmad Bahsah sebagai Menteri Besar yang baru, Sivamurugan berpendapat bahawa cabaran terbesar pemimpin itu adalah untuk menstabilkan UMNO dan pentadbiran negeri.
“Mukhriz mempunyai aura dan berjaya menawan hati rakyat khususnya golongan muda yang melihat beliau sebagai pemimpin mereka untuk masa depan.
“Oleh itu Ahmad Bashah mungkin perlu menimbangkan untuk menawarkan Mukhriz peranan yang sesuai untuk bantu membangunkan Kedah dalam memastikan Umno Kedah terus bersatu bagi meneruskan agenda pembangunan negeri,” tambahnya.
Dalam pada itu Pengarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Profesor Mohamad Abu Bakar berpendapat Mukhriz perlu berhati-hati dalam mengatur langkah beliau yang seterusnya kerana kegagalan beliau berbuat demikian boleh menyebabkan timbulnya risiko kemarahan ahli UMNO terhadapnya.
Katanya, Mukhriz mempunyai laluan berliku dalan UMNO kerana dia dianggap sebagai ‘ancaman’ kepada penyokong Najib selepas mendapat undi yang tinggi di kalangan perwakilan UMNO biarpun tewas dalam perebutan jawatan Naib Presiden ketika pemilihan parti itu pada tahun 2013.
“Selagi kedudukan Najib kukuh dalam Umno, Mukhriz perlu bijak mengatur langkah,” katanya.
Prof Mohamad berkata walaupun ‘penyingkiran’ Mukhriz secara umumnya akan memberi kesan negatif kepada UMNO yang dilihat telah kehilangan ideologi yang jelas serta keadaan kepimpinan pusat yang tidak kukuh, tetapi kesan terhadap sokongan Umno di Kedah hanya sementara, kerana ketiadaan alternatif lain pengundi disebabkan perpecahan di kalangan parti-parti pembangkang.
‘Lanskap politik’
Selepas 24 jam perletakan jawatan Mukhriz, pengantinya Ahmad Bashah telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baru di Istana Anak Bukit di Alor Star pada Khamis dan keesokannya Perdana Menteri dijadual melakukan lawatan ke Sungai Petani dan Kulim.
Najib dijangkakan merasmikan sebuah sekolah Tamil di Kulim pada sebelah pagi manakala sebelah petang akan merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) mini di Sungai Petani – projek yang telah digerakkan oleh pentadbiran Mukhriz selepas Barisan Nasional merampas semula Kedah daripada pihak pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 kurang tiga tahun lalu.
Seorang pemimpin UMNO Kedah yang enggan namanya didedahkan memberitahu BeritaBenar bahawa kehadiran Najib ke Kedah bakal menguji populariti Perdana Menteri dan sokongan rakyat negeri itu terhadap beliau, yang baru saja mengubah lanskap politik negeri berkenaan.
“Sentimen di kalangan rakyat Kedah masih lemah terhadap UMNO dan pentadbiran Perdana Menteri. Walaupun Peguam Negara Mohamed Apandi Ali telah membebaskan Najib dari sebarang salah laku berhubung skandal 1MDB dan derma politik, ditambah dengan ‘penyingkiran’ Mukhriz, ia dilihat boleh meningkatkan lagi tekanan supaya Najib berundur,” tambahnya.