Malaysia Tolak Kenyataan Terbaru ASEAN Mengenai Krisis Rakhine
2017.09.25
Kuala Lumpur

Ketegangan di antara Malaysia dan negara-negara lain ASEAN semakin mendalam mengenai cara blok itu mengendalikan krisis Rohingya di Myanmar dan Bangladesh, dengan Menteri Luar Anifah Aman menegur kenyataan terbaru ASEAN mengenai isu tersebut.
Menteri itu mengeluarkan kenyataan yang tajam pada malam Ahad dengan menyatakan bahawa Malaysia tidak bersetuju dan tidak terbabit dengan kenyataan berasingan yang dibuat sebelum itu oleh pengerusi Persatuan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Alan Peter S. Cayetano, yang bercakap bagi pihak 10 menteri luar ASEAN.
Anifah menegaskan bahawa kerajaan Malaysia marah kerana kenyataan ASEAN itu tidak menyebut langsung perkataan "Rohingya", penduduk minoriti Muslim tanpa kerakyatan yang didakwa telah menjadi sasaran kekejaman di negeri Rakhine di Myanmar.
Sepanjang bulan lalu, lebih daripada 400,000 Rohingya telah menyeberangi masuk tenggara Bangladesh kerana mereka melarikan diri daripada keganasan terbaru di Rakhine.
"Malaysia enggan terbabit dengan Kenyataan Pengerusi (ASEAN) kerana kami berpendapat bahawa ia telah memberi gambaran salah tentang realiti keadaan di negeri itu. Dalam hal ini, Malaysia telah menyatakan kebimbangannya tetapi ia tidak diterjemahkan dalam Kenyataan Pengerusi," kata Anifah.
"Oleh itu, Kenyataan Pengerusi itu tidak dibuat berdasarkan konsensus. Kenyataan itu juga mengetepikan Rohingya sebagai satu komuniti yang terjejas," kata Menteri Luar Malaysia itu.
Beliau merujuk kepada satu daripada prinsip penubuhan ASEAN yang menyatakan bahawa semua kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh persatuan itu perlu dipersetujui sebulat suara oleh 10 negara anggotanya.
Tentera dan militia Buddha tempatan Myanmar di Rakhine telah dipersalahkan secara meluas kerana menyasarkan orang awam Rohingya dalam kekejaman itu seperti pembunuhan dan pembakaran ratusan rumah dan kampung milik minoriti tersebut. Pihak berkuasa di Myanmar, yang juga anggota ASEAN, telah menuduh kumpulan pemberontak, Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA), sebagai pihak yang menimbulkan keganasan di Rakhine.
Kitaran keganasan itu bermula pada 25 Ogos lalu, apabila pemberontak ARSA melancarkan serangan maut di pos-pos polis Myanmar di Rakhine.
Perkataan "Rohingya" merupakan suatu yang kontroversi di Myanmar, di mana kerajaannya enggan memberikan kewarganegaraan kepada kumpulan minoriti itu. Majoriti penduduk Buddha negara itu merujuk Rohingya sebagai "Bengali," kerana persamaan fizikal mereka dengan penduduk negara jiran, Bangladesh, dan menyifatkan mereka sebagai pendatang tanpa izin.
Dalam kenyataannya, Anifah berkata, Malaysia mengutuk serangan ARSA terhadap pihak polis, tetapi "operasi pembersihan" yang dilakukan pihak berkuasa Myanmar "adalah melampau kerana [ia telah] menyebabkan kematian ramai orang awam yang tidak bersalah dan mengakibatkan lebih daripada 400,000 Rohingya hilang tempat tinggal. "
Beliau juga menggesa Myanmar supaya menamatkan keganasan di Rakhine dan "menghentikan kemusnahan terhadap nyawa dan harta benda."
'Menghormati kedudukannya'
Pada Isnin, Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina mengeluarkan satu kenyataan bagi menyatakan bahawa Filipina menghormati pendirian Malaysia mengenai isu Rakhine dan keputusannya untuk tidak terbabit dengan kenyataan rasmi Setiausaha Cayetano sebagai pengerusi ASEAN.
"ASEAN amat prihatin dengan keadaan kemanusiaan di negeri utara Rakhine dan memandangkan Malaysia mempunyai pandangan yang berbeza mengenai beberapa isu, dan sebagai menghormati kedudukannya, kami memutuskan untuk mengeluarkan satu Kenyataan Pengerusi, dan bukan Kenyataan Menteri-menteri Luar Negeri, bagi mencerminkan sentimen umum menteri-menteri luar lain," kata Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina dalam kenyataannya pada Isnin.
Kenyataan ASEAN itu dikeluarkan selepas perbincangan dibuat dengan Malaysia, kata jabatan itu.
"Filipina sebagai pengerusi menerima manifestasi umum terhadap suara yang menentang," kata jabatan tersebut. "Ini menunjukkan tahap kematangan baru mengenai bagaimana kami melaksanakan prinsip konsensus ASEAN ketika menghadapi isu-isu yang mempengaruhi kepentingan negara."
Filipina adalah penyandang jawatan pengerusi ASEAN tahun ini, yang dilaksanakan secara bergilir dalam kalangan 10 negara anggotanya.
Ini adalah kenyataan kedua Anifah bulan ini yang mengkritik cara ASEAN mengendalikan krisis di negeri Rakhine.
Pada awal September, Anifah berkata, kerajaan Malaysia telah hilang keyakinan terhadap blok serantau itu berikutan maklum balasnya terhadap isu Rakhine.
"Malaysia telah menyuarakan kebimbangan berhubung isu ini terhadap Myanmar dan negara-negara lain ASEAN dalam beberapa mesyuarat dan mereka telah berjanji untuk menyelesaikan perkara itu tetapi isu itu belum lagi ditangani dan apa yang kita lihat sekarang adalah keganasan terhadap Rohingya Muslim terus meningkat," kata Anifah selepas bertemu dengan menteri luar Brazil di Putrajaya pada 6 Sept.
"Pada pendapat saya, ASEAN tidak lagi dapat menangani isu ini. Saya tidak lagi mengharapkan organisasi ini untuk menyelesaikan masalah Muslim Rohingya," katanya.
Felipe Villamor di Manila menyumbang kepada laporan ini.