Malaysia Tidak Perlu Pengganti PM, Bantu Kerajaan Perangi COVID-19, kata Menteri

Noah Lee & Nisha David
2020.10.19
Kuala Lumpur, Malaysia
201019-MY-AnnuarMusa1000.jpg Annuar Musa semasa bercakap kepada media di Ibupejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, 4 Mac, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia tidak memerlukan Perdana Menteri baharu dan jika ada pilihan raya umum, ianya hanya perlu berlaku selepas negara bebas daripada COVID-19, kata Setiausaha Agung bersama Muafakat Nasional Annuar Musa pada Isnin, yang pada masa sama berlaku peningkatan jangkitan positif harian pandemik melebihi 850 kes, sejak tiga hari berturut-turut.

Rekod Kementerian Kesihatan Malaysia [KKM] sejak Sabtu telah menunjukkan jumlah kes jangkitan harian naik mencecah angka 869 kes, diikuti 871 kes pada Ahad dan Isnin sebanyak 858 kes, dengan peningkatan jangkitan terus dicatatkan di Sabah, iaitu sebaik sahaja negeri berkenaan mengadakan pilihan raya negeri, penghujung September lalu.

Annuar yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional meminta supaya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin diberikan peluang untuk menyelamatkan negara dan nyawa rakyat terlebih dahulu semasa negara dilanda pandemik dengan meminta pemimpin mengenepikan perbezaan politik mereka, kerana rakyat mulai muak melihat permainan politik pemimpin.

“Tidak payahlah fikir akan pengganti buat masa ni… Kita muafakat, bantu kerajaan dan bila COVID-19 reda, segera bubar parlimen dan serah pada rakyat. Beri peluang PM [Perdana Menteri] selamatkan negara dan nyawa rakyat dahulu. Saya percaya PM serah pada rakyat,” kata Annuar dalam ciapan di akaun laman media sosial Twitternya pada Isnin.

Beliau semasa satu sidang media pada lewat petang Isnin juga berkata “Kita kini sedang diuji dengan masalah COVID-19, masalah ekonomi, jadi jangan dilupa di luar sana ramai yang sedang menderita ketika kita seronok duduk di Putrajaya."

"Kita hendak berkhidmat kepada rakyat. Rakyat pun naik meluat jika kita terus berpolitik sehingga tunggang langgang,” kata Annuar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO serta Menteri Wilayah Persekutuan semasa diminta mengulas mengenai isu kerjasama antara parti yang mendokong kerajaan pimpinan Perikatan Nasional [PN] di peringkat pusat.

Gesaan itu dibuat ketika Malaysia terus merekodkan jumlah kes harian COVID-19 yang tinggi, dengan dua negeri serta dua Wilayah Persekutuan diletakkan dibawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat bagi mengekang penularan wabak.

Jumlah kumulatif terbaru jangkitan COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 21,363 kes dengan 190 kematian manakala diperingkat global seramai 40.2 juta orang telah dijangkiti dengan 1.1 juta kematian dicatatkan, demikian menurut statistik yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Koronavirus Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata Sabah memerlukan bantuan kecemasan segera selepas kadar jangkitan naik mendadak di negeri berkenaan dengan meminta KKM mendedahkan strategi yang diambil dalam membendung wabak itu kepada umum.

“Kementerian Kesihatan mesti mendedahkan kepada umum sebarang strategi yang diambil dalam membendung wabak ini di Sabah, apakah secara ianya secara pengujian atau langkah dan strategi yang lain,” kata Anwar sambil meminta kerajaan memikirkan bantuan kecemasan berupa kewangan dan makanan kepada rakyat yang terkesan di negeri tersebut.

Sabah kini berada di bawah PKP Bersyarat, dengan enam daerah dikenakan perintah berkurung dibawah PKP Diperketatkan, dan selain Sabah, Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur juga dikenakan PKP Bersyarat ekoran penularan jumlah kes yang tinggi.

Tidak stabil

Annuar semasa sidang media itu turut mengakui yang situasi politik dalam negara tidak stabil kerana kerajaan PN mempunyai majoriti tipis sehingga menyebabkan cubaan sesetengah pihak untuk mendapatkan jawatan-jawatan utama termasuk mengambil alih kerusi Perdana Menteri dan juga mendapatkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Katanya, jalan penyelesaian untuk masalah itu adalah dengan mengadakan pilihanraya umum bagi memilih kerajaan baru, tetapi tegasnya, apa yang perlu diutamakan terlebih dahulu adalah kebajikan rakyat.

Kerajaan Muhyiddin ketika ini hanya mempunyai majoriti tipis di Parlimen, dengan sebahagian besar daripada ahli parlimen yang mendokong PN untuk memerintah adalah daripada UMNO yang memiliki sejumlah 39 kerusi. Ini menjadikan sokongan UMNO sebagai komponen penting untuk memastikan Muhyiddin kekal mempunyai majoriti untuk terus memerintah.

Pada Isnin juga, UMNO telah mengumumkan pembatalan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi parti itu yang dijadualkan berlangsung di Pahang pada Selasa dengan memberi alasan COVID-19.

Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan dalam ciapan di Twitternya berkata, "kes #Covid19 yang makin tinggi juga menyukarkan pertemuan 57 ahli MKT secara bersemuka,"

"Penangguhan Mesyuarat MKT pada 20 Oktober adalah sehingga selesai PKP Bersyarat. SOP Majlis Keselamatan Negara mengenai perjalanan rentas negeri melalui Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memerlukan kebenaran polis walau mesyuarat dibuat di negeri tiada PKP Bersyarat.

Mesyuarat berkenaan telah menjadi sebutan di kalangan ahli politik negara kerana dijangka membincangkan hala tuju UMNO dalam kerjasamanya dengan kerajaan PN yang dilihat mampu menjadi titik penentu samada Perdana Menteri akan terus menerima sokongan daripada parti tertua orang Melayu itu.

Minggu lepas, Ahmad memberitahu media bahawa satu keputusan telah dibuat oleh Biro Politik untuk parti mempertimbangkan sokongan terhadap kerajaan pimipinan Muhyiddin dengan UMNO akan memberikan syarat baru pada PN untuk meneruskan kerjasama.

Dalam pada itu Annuar juga memaklumkan yang Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi dan Muhyiddin selaku Persiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah mengadakan satu pertemuan berhubung syarat baru kerjasama untuk memperkukuh kerajaan PN malam semalam.

Annuar turu memaklumkan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Muafakat Nasional (MN) yang sepatutnya diadakan pada Isnin malam telah dibatalkan pada saat akhir dan dibuat atas nasihat Majlis Keselamatan Negara.

"Mesyuarat batal atas nasihat MKN," katanya.

Mesyuarat itu adalah untuk membincangkan mengenau penyertaan Bersatu dalam gabungan Muafakat Nasional yang dianggotai oleh UMNO dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.