Dewan Negara Malaysia Tolak Pemansuhan Akta Anti-Berita Tidak Benar
2018.09.12
Kuala Lumpur, Malaysia

Usaha kerajaan baru Pakatan Harapan untuk memansuhkan Rang Undang-Undang Anti-Berita Tidak Benar 2018 gagal apabila usul itu ditolak oleh ahli Dewan Negara selepas bacaan kali kedua di Parlimen pada Rabu.
Yang Dipertua Dewan Negara, S. A Vigneswaran mengumumkan keputusan penolakan pemansuhan rang undang-undang itu yang dibuat melalui undi belah bahagian oleh ahli-ahli Dewan Negara dimana, 28 senator daripada pembangkang Barisan Nasional (BN) dan PAS mengundi menolaknya dengan 21 senator PH menyokong manakala tiga lagi berkecuali.
Sebelum ini, pada 16 Ogos lalu, Dewan Rakyat telah mengundi untuk memansuhkan Rang Undang-undang Anti-Berita Tidak Benar yang diluluskan oleh pentadbiran BN dengan cara tergesa-gesa.
Walaupun berlaku perubahan kuasa, Dewan Negara yang juga dikenali sebagai Senat, mempunyai anggota yang terdiri daripada ahli-ahli politik yang dilantik dan setia kepada pentadbiran sebelumnya.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin yang berada di Parlimen untuk menggulung bacaan kedua bagi rang undang-undang berkenaan pada sidang Dewan Negara berkata langkah yang dibuat oleh anggota senat menolak pemansuhan itu hanyalah untuk memalukan kerajaan PH.
"Walaupun perlaksaan pemansuhan rang undang-undang itu kini terpaksa ditangguhkan, bagi kami ini bukan perkara yang mendesak tetapi sudah tentu kami mahu mempercepatkannya. Mereka [Senator] mahu menangguhkan, terpulang kepada mereka.
“Saya hanya mahu memberi mesej kepada semua Senator Barisan Nasional, bahawa rakyat sedang memerhati semua ini, " kata Hanipa kepada pemberita di lobi parlimen pada Rabu.
Beliau juga memberitahu yang kerajaan masih boleh memansuhkan akta anti-berita itu jika mahu, kerana Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan persetujuan Dewan Negara tidak diperlukan bagi pelulusan undang-undang di Parlimen.
Katanya, Rang Undang-undang yang ditolak itu, akan dirujuk kembali ke Dewan Rakyat untuk kelulusan dan selepas Dewan Rakyat meluluskannya kerajaan akan menyerahkan rang undang-undang itu kepada Yang Di-Pertuan Agong bagi mendapat perkenan baginda.
“Di bawah Perlembagaan Persekutuan, rang undang-undang yang tidak dibuat melalui Dewan Negara mesti dirujuk kembali kepada Dewan Rakyat untuk diluluskan sekali lagi dan akan dikemukakan kepada Dewan Negara untuk kali kedua,” kata Hanipa.
Pengamal undang-undang terkenal Malaysia yang juga seorang aktivis, Shahredzan Johan yang mengulas mengenai perkara itu berkata bahawa adalah satu tanda bahawa Dewan Negara bukan lagi “Pak Turut” kepada semua keputusan yang dibuat oleh Dewan Rakyat.
"Ini sesuai untuk demokrasi, tetapi tidak semestinya baik untuk reformasi institusi," katanya.
Syahredzan berkata bahawa penolakan itu dilihat sebagai langkah untuk memberi keutamaan kepada isu-isu tertentu dan beliau meramalkan bahawa lebih banyak rang undang-undang akan disekat oleh ahli Dewan Negara pembangkang pada masa akan datang.
"Ini membuktikan bahawa pembangkang sedang melalui proses pembaharuan," katanya.
Penolakan oleh ahli Dewan Negara bermakna rang undang-undang berkenaan akan dibentang semula di Dewan Rakyat di persidangan mesyuarat kedua yang akan bersidang pada 15 Oktober depan.
Terdapat 32 senator BN dan tiga senator PAS di Dewan Negara.