Ketua Pembangkang: Ahli Parlimen Diberi ‘Ganjaran' Sokong Kerajaan Gabungan Malaysia

Anwar Ibrahim membuat dakwaan itu selepas Ahli Parlimen parti utama pembangkang meninggalkan parti untuk menyokong gabungan kerajaan.
Muzliza Mustafa
2021.03.16
Kuala Lumpur
Ketua Pembangkang: Ahli Parlimen Diberi ‘Ganjaran' Sokong Kerajaan Gabungan Malaysia Pemimpin pembangkang Malaysia, Anwar Ibrahim, bercakap pada sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur, 16 Mac 2021.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Beberapa hari selepas naib presiden parti yang diterajuinya bertindak meninggalkan parti dan mengumumkan sokongan kepada gabungan kerajaan, pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim pada Selasa mendakwa bahawa lima Ahli Parlimen parti berkenaan telah diugut atau ditawarkan "ganjaran" untuk melakukan hal yang sama menjelang pilihan raya umum yang dijangka diadakan tahun ini.

Anwar juga berkata bahawa perbincangan partinya dengan parti tertua di Malaysia, UMNO - yang telah mengumumkan untuk tidak bersama gabungan kerajaan pada pilihan raya akan datang - mengenai usaha menjalinkan kerjasama pada pilihan raya itu adalah masih di peringkat awal.

Anwar berkata lima Ahli Parlimen parti pimpinannya iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah dihubungi dan ditawarkan ganjaran supaya mengubah sokongan mereka. Beliau memberitahu mereka ialah Natrah Ismail, M. Karupaiya, Kesavan Subramaniam, Awang Husairi Sahari dan Michael Teo.

"Ahli Parlimen berkenaan telah bercakap mengenainya - ugutan, ganjaran sebagai umpan untuk menawarkan sokongan kepada Perikatan Nasional," kata Anwar, yang merujuk kepada gabungan kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

"Kami tidak membela mereka yang menerima sogokan dan kami tidak akan membenarkan pihak berkuasa dijadikan senjata politik. Nampaknya perkara itu nyata berlaku dengan SPRM. Sekiranya anda menukar sokongan, siasatan akan ditangguhkan atau digugurkan, jika tidak, gangguan itu akan berterusan,” kata Anwar pada sidang media di Kuala Lumpur, selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin dan Ahli Parlimen PKR.

Anwar mendakwa bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pegawai penguatkuasaan undang-undang mengancam beberapa ahli partinya dengan menekan mereka supaya mengalih sokongan mereka.

Pada Sabtu, naib presiden PKR Xavier Jayakumar mengumumkan tindakannnya keluar parti itu dan menyuarakan sokongan sebagai Ahli Parlimen Bebas kepada kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin.

Dua lagi Ahli Parlimen PKR iaitu Larry Sng dan Steven Choong telah meninggalkan parti itu pada 28 Februari dan mengumumkan sokongan mereka sebagai Ahli Parlimen Bebas kepada kerajaan Muhyidin.

Selepas Xavier mengumumkan keluar PKR, setiausaha agung parti itu Saifuddin Nasution mendakwa bahawa SPRM telah mengugut Ahli Parlimen berkenaan. Beliau turut menuduh seorang menteri kanan memaksa Xavier menyokong Perikatan Nasional "atau berdepan akibat yang serius."

Anwar pada Selasa menyatakan bahawa beliau akan mengadakan pertemuan dengan SPRM untuk membincangkan isu tersebut.

"Tidak berasas langsung"

Sehari selepas Xavier keluar PKR, sekumpulan bekas Ahli Parlimen parti itu mengeluarkan kenyataan yang mengkritik Saifuddin kerana membuat dakwaan bahawa Ahli Parlimen pembangkang diugut supaya menyokong gabungan kerajaan.

"Tuduhan bahawa Perikatan Nasional menggunakan sogokan dan ugutan bagi mendapatkan sokongan Ahli Parlimen Pakatan Harapan adalah tidak berasas langsung," kata kenyataan itu, yang merujuk kepada pakatan pembangkang merangkumi PKR dan parti-parti lain yang diterajui Anwar.

"Hakikatnya ialah Ahli Parlimen ini telah membuat penilaian objektif mereka sendiri dan menyedari bahawa Kerajaan PN telah mengambil langkah-langkah yang bertanggung jawab dalam menangani pandemik (COVID-19)."

Bekas Ahli Parlimen PKR itu - yang kini menyokong kerajaan sebagai Ahli Parlimen bebas - telah keluar parti itu pada Februari 2020 iaitu pada masa yang sama Muhyiddin dan parti Bersatu pimpinannya meninggalkan kerajaan Pakatan Harapan pada masa itu.

Muhyiddin dan Bersatu bertindak demikian selepas Perdana Menteri Mahathir Mohamad meletakkan jawatan berikutan pergolakan dalaman Pakatan Harapan.

Bersatu kemudian bergabung dengan Pertubuhan Melayu Kebangsaan Bersatu atau UMNO - yang telah dikalahkan Pakatan Harapan dalam pilihan raya 2018 - untuk menyatukan gabungan Perikatan Nasional.

Muhyiddin telah menyakinkan Yang di-Pertuan Agong Malaysia bahawa Perikatan Nasional mempunyai sokongan majoriti di Parlimen dan beliau kemudian dilantik sebagai perdana menteri pada 1 Mac 2020.

‘Terlalu awal untuk membincangkan kerjasama’

Sementara itu, dengan UMNO menyatakan bahawa ia tidak akan bersama Perikatan Nasional pada pilihan raya umum yang dijangkakan akhir tahun ini, semua parti utama dilihat sedang berusaha mendapatkan kerjasama bagi membentuk jalinanan yang boleh dilaksanakan.

Anwar dan Pakatan Harapan turut berusaha memanfaatkan perpecahan yang berlaku dalam Perikatan Nasional.

Pada sidang media Selasa, Anwar mengesahkan bahawa beliau telah mengadakan perbincangan dengan UMNO - yang pernah dianggapnya sebagai parti yang sarat dengan rasuah.

“Kami telah mengadakan perbincangan awal dengan UMNO. Itu masih belum diformalkan. Masih terlalu awal untuk membincangkan kerjasama, ”kata Anwar.

"Saya tidak menafikan kemungkinan adanya kerjasama pada masa depan dan saya telah memberitahu semua ini kepada pemimpin [PKR] dan Ahli Parlimen kita supaya mereka dapat menyampaikan maklumat ini ke akar umbi."

Anwar berkata beliau dan PKR tidak akan berkompromi dengan prinsip pegangan mereka sekiranya mereka memutuskan untuk bekerjasama dengan UMNO.

Sementara itu, UMNO mungkin tidak begitu berminat untuk bersekutu dengan Pakatan Harapan, kata penganalisis politik dan pesara akademik Azmi Hassan.

“UMNO tidaklah begitu serius untuk membuat perjanjian dengan PKR atau Pakatan Harapan. Ini hanyalah sebahagian daripada strategi UMNO untuk menekan Bersatu berhubung pembahagian kerusi. UMNO cuba menunjukkan bahawa mereka mempunyai pilihan lain, tidak seperti Bersatu,” kata Azmi kepada BeritaBenar.

Hubungan UMNO dan Bersatu agak bergolak sejak berbulan-bulan lalu sebelum UMNO mengumumkan tidak akan bertanding dengan parti Muhyiddin pada pilihan raya umum akan datang.

Penganalisis politik Oh Ei Sun pula berkata tindakan Ahli Parlimen meninggalkan PKR sudah dijangka berlaku.

"Melihat PKR dihancurkan secara beransur-ansur bukanlah sesuatu yang mengejutkan, walaupun tanpa dorongan dan ancaman, kerana ramai yang sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Anwar yang hanya berdegar-degar bersuara namun tiada hasilnya," kata Oh, yang merupakan felow kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, kepada BeritaBenar pada Isnin.

"Mungkin ramai lagi yang akan menyusuli langkah meninggalkan parti itu."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.