Malaysia, Filipina bincang pendekatan tidak formal negara anggota ASEAN dengan Myanmar

Kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dibuat susulan satu mesyuarat junta Myanmar dengan Thailand dan negara-negara lain, dengan beberapa negara itu melihatnya sebagai satu perkembangan positif.
Iman Muttaqin Yusof
2023.07.26
Kuala Lumpur
Malaysia, Filipina bincang pendekatan tidak formal negara anggota ASEAN dengan Myanmar Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim (kiri) berjalan bersama-sama Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. di kompleks Bangunan Perdana Putra yang berlatarkan Masjid Putrajaya, di Putrajaya, Malaysia, 26 Julai 2023.
[Ihsan Pejabat Perdana Menteri]

Malaysia dan Filipina pada Rabu membincangkan untuk memberi ruang kepada negara anggota ASEAN dalam meneruskan pendekatan individu dan tidak formal bagi menangani krisis pasca rampasan kuasa di Myanmar.

Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dilihat berbelah bahagi berhubung persoalan mengenai kaedah menangani junta Myanmar yang menindas dan degil itu, susulan tindakan Thailand mengadakan perbincangan dengan tentera Myanmar sekurang-kurangnya empat kali sejak kebelakangan ini.

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim memberitahu pemberita bahawa beliau membincangkan mengenai ASEAN dan Myanmar dengan Presiden Filipina Ferdinand Marcos pada mesyuarat dua hala mereka di Kuala Lumpur.

“Kami menyentuh isu mengenai Myanmar bagi mengukuhkan konsensus lima perkara ASEAN, tetapi juga memberi sedikit kelonggaran dan ruang kepada negara jiran kami untuk berbincang secara tidak formal,” kata Anwar pada sidang media bersama Marcos selepas pertemuan mereka.

Beliau menegaskan bahawa jika ini perlu, ia mestilah dilakukan "tanpa mengorbankan isu hak asasi manusia dan layanan terhadap kumpulan minoriti khususnya etnik Rohingya dan minoriti lain di Myanmar."

Presiden Filipina itu, yang tiba di Kuala Lumpur pada petang Selasa untuk lawatan negara dua hari ke Malaysia, tidak menyebut tentang Myanmar, namun agensi berita Associated Press melaporkan bahawa secara umumnya negara-negara ASEAN harus menggunakan kaedah dua hala untuk membincangkan dan menyelesaikan masalah yang berbangkit.

“Saya fikir ini akan menjadi satu aspek penting bagi semua isu yang sedang dihadapi ASEAN pada masa ini serta semua isu yang dibimbangi oleh negara-negara anggota,” kata beliau, menurut laporan AP.

Konsensus lima perkara ASEAN, yang merupakan pelan tindakan bagi memulihkan keamanan di Myanmar, tidak diendahkan oleh junta itu, yang sebelum ini bersetuju dengan pelan tindakan berkenaan pada April 2021 selepas dua bulan ia menggulingkan kerajaan yang dipilih rakyat.

Sejak itu, junta Myanmar telah bertindak mengekang protes secara besar-besaran dan membunuh hampir 4,000 orang selain menahan ribuan yang lain, menurut kumpulan hak asasi manusia.

Walaupun ia menghalang junta Myanmar daripada menyertai mesyuarat-mesyuarat yang diadakannya, namun ASEAN belum dapat menggerakkan Myanmar ke arah mencapai keamanan, yang menyebabkan blok serantau itu dikritik oleh pemerhati dan penganalisis di rantau tersebut.

Pada tahun lepas, bekas menteri luar Malaysia turut mengkritik konsensus lima perkara dengan menyatakan bahawa ia perlu dibatalkan dan sebaliknya menggesa supaya dirangka satu pelan tindakan baharu yang terikat dengan tempoh dan mekanisme penguatkuasaan.

Sementara itu, kerajaan Thailand telah mengetepikan hubungan dengan ASEAN dan mengadakan perbincangan dengan tentera Myanmar.

Awal bulan ini, dalam satu pengumuman yang mengejutkan, menteri luar Thailand berkata beliau telah mengadakan pertemuan rahsia di penjara dengan pemimpin pro-demokrasi Myanmar. Aung San Suu Kyi, yang disumbatkan ke penjara selepas rampasan kuasa tentera pada 1 Februari 2021. Pertemuan itu, kata Thailand, telah dibenarkan oleh junta Myanmar dan diterima oleh pemimpin yang dipenjarakan tersebut.

Pada bulan lepas juga, Thailand mengadakan satu pertemuan dengan menteri luar yang dilantik junta Myanmar, wakil negara-negara anggota ASEAN iaitu Brunei, Kemboja, Laos, Vietnam dan Filipina selain India dan China. Tentera Myanmar dan Thailand dikatakan mempunyai hubungan yang rapat, dan Perdana Menteri Thailand yang bakal melepaskan jawatannya merupakan bekas ketua angkatan tentera negara itu.

Malaysia, Singapura dan pengerusi ASEAN 2023, Indonesia, tidak menghadiri mesyuarat itu.

Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan menyatakan bahawa menteri berkenaan tidak menghadiri mesyuarat itu kerana beliau mempunyai komitmen lain yang perlu dikendalikan. Namun, ia menyatakan bahawa konsensus lima perkara ASEAN tetap menjadi pegangan dan mandat blok serantau itu dalam menyokong kepimpinan pengerusi ASEAN.

Keabsahan untuk junta?

Kenyataan Anwar hari ini mengenai penerokaan pendekatan individu negara-negara anggota ASEAN berhubung krisis Myanmar, nampaknya menampilkan perubahan dalam pendirian Malaysia.

Beliau membuat ulasan sedemikian berikutan kenyataan bersama menteri-menteri luar ASEAN pada bulan ini, yang menunjukkan negara-negara anggota blok serantau itu saling berbelah bahagi, yang menyatakan bahawa "beberapa negara anggota ASEAN" melihat mesyuarat Thailand pada Jun lepas "sebagai perkembangan positif."

Perubahan pendapat Anwar itu mungkin kerana beliau menyedari bahawa keadaan kini nampaknya menemui jalan buntu, kata pakar politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Lee Pei May.

“Apabila penyelesaian yang telah disepakati tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan, oleh itu, adalah penting untuk bersikap terbuka dalam meneroka pendekatan alternatif bagi mencari penyelesaian yang memberi manfaat kepada semua yang terlibat,” katanya kepada BenarNews.

“Ini adalah satu daripada sebab mengapa saya percaya Anwar mencadangkan bahawa perbincangan tidak formal dengan rejim Myanmar boleh menjadi cara yang terbaik.”

Pendekatan tidak formal itu memberikan negara-negara anggota dan junta lebih banyak fleksibiliti untuk berbincang dan mencari penyelesaian, kata May.

“Oleh itu, terpulanglah kepada kebijaksanaan setiap pemimpin negara berkenaan tentang bagaimana mereka mahu terlibat dengan junta Myanmar,” katanya.

Tetapi seorang lagi penganalisis, Chong Ja Ian, dari Universiti Nasional Singapura pula memberi amaran tentang bahayanya pendekatan tidak formal.

“Isunya ialah sejauh mana keabsahan yang mahu ditunjukkan ASEAN atau anggotanya kepada junta itu? Adakah junta akan menggunakan sebarang hubungan atau bantuan bagi meningkatkan keabsahan mereka dan kewajaran tindakan mereka, termasuklah yang berkaitan dengan pencabulan hak asasi manusia?” katanya kepada BenarNews.

“Sekiranya ada perbincangan, apakah hasil ketara yang dapat dibawa daripada perbincangan sedemikian untuk rakyat Myanmar atau ASEAN? Atau adakah ia sekadar peluang bergambar untuk ahli-ahli politik?”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.