PM Najib Lawat Pemimpin Pembangkang Yang Dipenjara Di Hospital
2017.11.17
Kuala Lumpur

Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak telah melawat pemimpin pembangkang yang dipenjarakan Anwar Ibrahim yang sedang menjalani rawatan selepas pembedahan bahu di Hospital Kuala Lumpur, demikian menurut Najib melalui akaun media sosialnya pada Jumaat.
“Saya melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Kuala Lumpur hari ini. Beliau baru selesai menjalani pembedahan beberapa hari yang lalu. Semoga beliau cepat pulih,” kata Najib yang memuatnaik statusnya di dalam akaun Facebook dan Twitter milik beliau.
Status di kedua-dua laman sosial itu disertai dengan gambar Najib bersama isterinya Rosmah Mansor, Anwar dan isterinya, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wan Azizah Wan Ismail di bilik hospital berkenaan.
Anwar, 70, telah menjalani pembedahan di bahu kanannya di Hospital Kuala Lumpur pada 12 November lalu, selepas mengalami kesakitan yang berterusan, sehingga menjadikan lebih teruk selepas kemalangan jalan raya pada 22 Sept lepas.
Kejadian itu berlaku semasa beliau dibawa ke Penjara Sungai Buluh selepas mendapatkan rawatan di hospital kerajaan. Kerajaan Malaysia, sebelum ini, telah menyatakan bahawa pemimpin pembangkang itu akan diberikan rawatan yang sewajarnya.
Anwar, pengasas parti pembangkang PKR, didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008. Anwar disabitkan atas kesalahan itu dan Mahkamah Tinggi membebaskannya pada tahun 2012 tetapi Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap pemimpin pembangkang itu pada 2014.
Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh atas sabitan kes liwat yang kedua selepas beliau dibebaskan pada 2004 atas pertuduhan yang difailkan pada tahun 1998.
Anwar mendakwa telah diperangkap oleh parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), yang diketuai oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada masa itu. Najib kini memimpin UMNO dan menjadi presiden blok parti yang memerintah Malaysia sejak kemerdekaan, pada 1957.
Para pemimpin kerajaan dan parti UMNO telah menafikan dakwaan Anwar itu.
Mahathir telah meninggalkan UMNO, dan menyertai Anwar, dengan kedua-dua pemimpin itu menyingkirkan perbezaan mereka dan bersetuju membentuk satu pakatan pembangkang yang dipanggil Pakatan Harapan dengan Anwar dilantik sebagai ketua de fakto. Kedua-dua pemimpin itu bersatu untuk mengkritik kepimpinan Najib yang diselubungi skandal rasuah dan salah guna kuasa
Keluarga Anwar bersyukur
Sementara itu, Anak lelaki Anwar, Muhamad Ihsan Anwar, mengeluarkan satu kenyataan pada Jumaat yang mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri yang membuat lawatan ke atas bapanya itu di hospital, sambil menekankan yang kecederaan bahu bapanya semasa berada di bawah jagaan kerajaan bulan lalu akan menjadi "semakin teruk jika terus berada di penjara".
“Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon supaya Kerajaan Malaysia mempertimbangkan agar ayah kami dibenarkan berada di kemudahan perubatan di luar penjara untuk menjalani rawatan selama mana yang diperlukan untuk sembuh sepenuhnya seperti yang dicadangkan oleh panel doktor yang merawat beliau,” kata Ihsan dalam kenyataan itu.
Lawatan Najib ke hospital itu dibuat lima hari selepas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu satu perhimpunan politik bahawa pilihan raya umum negara akan berlangsung dalam tempoh enam bulan.
"Pilihan raya akan berlangsung paling lambat 180 hari dari sekarang," katanya. "Mereka yang mengatakan bahawa pilihan raya akan berlaku kemudian daripada itu, sebenarnya berada di luar realiti."
Pada 26 Ogos 2009, akhbar tempatan Utusan Malaysia menyiarkan laporkan penafian Anwar yang beliau ada bertemu Perdana Menteri Najib Razak.
Anwar yang juga Penasihat PKR berkata, beliau mengakui pernah bertemu secara peribadi dengan Najib satu ketika dulu tetapi bukan baru-baru ini.
''Siapa kata (saya jumpa Perdana Menteri), Datuk Seri Najib ada kata begitu?'' katanya kepada pemberita selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan Penanti, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semasa Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir pada masa itu seperti yang dilaporkan oleh akhbar berkenaan.