Darurat: Anwar Ibrahim Disoal Siasat Polis Berhubung Kenyataan Majlis Presiden PH
2021.02.26
Kuala Lumpur

Pihak berkuasa Malaysia telah menyoal siasat Ketua Pembangkang berhubung kenyataan bersama Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang mempersoalkan keputusan mengisytiharkan darurat di seluruh negara serta alasan yang diberikan Perdana Menteri yang kuasa-kuasa darurat diperlukan untuk menyelamatkan Malaysia dari ancaman COVID-19.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis DiRaja Malaysia, Bukit Aman, Huzir Mohamed mengesahkan kepada BeritaBenar mengenai rakaman keterangan terhadap Anwar Ibrahim manakala peguam pemimpin tersebut, Ramkarpal Sing turut mengeluarkan kenyataan media memaklumkan mengenai perkara berkenaan.
"Ya saya mengesahkan satu kertas siasatan dibuka berhubung kenyataan bersama yang dikeluarkan Majlis Presiden Pakatan Harapan, pada bulan lalu dan keterangan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dirakam pada jam 3.30 petang hari ini (Jumaat)," katanya kepada BeritaBenar.
Menurut Huzir, rakaman keterangan daripada pemimpin pembangkang itu diambil di Ibupejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) oleh pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berhubung kenyataan bersama oleh Anwar sebagai Presiden PKR, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bertarikh 12 Januari lalu.
"Siasatan keatas beliau [Anwar] dibuat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998," tambahnya.
Mengulas lanjut Huzir berkata, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan digunakan untuk menyiasat kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegusaran awam yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
"Manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan," katanya.
Alasan tidak boleh diterima
Majlis Presiden PH dalam kenyataan bersama itu telah menolak keputusan kerajaaan mengisytiharkan darurat di seluruh negara serta alasan yang diberikan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin tidak boleh diterima.
“Majlis Presiden mengambil pendirian menolak rasional serta alasan-alasan yang telah diberikan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kononnya kuasa-kuasa darurat diperlukan untuk menyelamatkan Malaysia dari COVID-19…. alasan yang dikemukakan Tan Sri Muhyiddin dalam isu ini tidak dapat diterima sama sekali.
“Malah kami melihat tindakan menggantung Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri pada ketika pihak eksekutif dan kehakiman masih boleh berfungsi seperti sedia kala menjejaskan proses semak imbang, merencat demokrasi negara dan menafikan suara rakyat.
“Kuasa darurat ini bermakna memberi kuasa mutlak kepada Perdana Menteri untuk melakukan hampir apa sahaja, sewenang-wenangnya.
“Majlis Presiden turut menimbulkan kerisauan bahawa perisytiharan darurat ini akan menjejaskan usaha menghidupkan semula ekonomi serta keyakinan pelabur, dan tidak akan membantu mengatasi masalah pengangguran dan kehilangan pendapatan di kalangan rakyat.
“Oleh itu, kami berpandangan bahawa tindakan Tan Sri Muhyiddin mengusulkan darurat pada ketika beliau sudah kehilangan sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen, termasuk (Parlimen) Machang dan Padang Rengas, bermaksud langkah ini tidak boleh diterima sama sekali. Jangan berselindung di sebalik COVID-19 dan membebankan rakyat dengan perisytiharan darurat demi menyelamatkan diri sendiri.” kata kenyataan bersama itu.
Terdahulu itu, Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan pengisytiharan darurat di seluruh Malaysia sehingga Ogos depan berikutan penularan pandemik COVID-19 yang berada ditahap kritikal, demikian menurut kenyataan Istana Negara pada awal 12 Januari.
Al Sultan Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut memperkenankan cadangan Kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan yang berkaitan bagi memantau situasi negara, dengan ianya akan mengesyorkan kepada Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal.
"Al-Sultan Abdullah berpandangan bahawa penularan wabak COVID-19 di negara ini berada di tahap yang amat kritikal dan adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
"Perlu dimaklumkan bahawa perkenan ini juga telah mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu. Perkenan ini turut mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara.” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan pada 12 Januari itu.
Muhyiddin dilapor menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari bagi memohon perkenan Baginda untuk pengisytiharan darurat berikutan situasi semasa pandemik COVID-19.
Kenyataan Peguam Anwar
Ramkarpal Singh yang mengesahkan rekod keterangan diambil daripada Anwar berkata, "polis merekod keterangan daripada Anwar di Ibupejabat PKR sekitar 3.30 petang, Jumaat, dan siasatan tersebut berkaitan dengan kenyataan rasmi Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dikeluarkan oleh Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bertarikh 12 Jan 2021,"
Beliau juga memberitahu yang pihak polis telah menghubungi Lim untuk merakam kenyataannya berhubung isu yang sama dengan beliau dijadualkan menemui polis di Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut di Pulau Pinang pada Rabu lalu tetapi ditangguhkan ke tarikh lain.
Pada 2 Feb lalu, seperti dilaporkan Bernama, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin mengesahkan polis telah membuka siasatan terhadap Anwar susulan 13 laporan diterima berhubung rayuan untuk menggugurkan pengisytiharan darurat.
Hamzah berkata, turut disiasat beberapa individu yang senada dengan ketua pembangkang itu.
"Bukan Anwar seorang, malahan beberapa lagi kita siasat," katanya pada sidang akhbar di kementeriannya seperti dilaporkan Bernama.
Pada 20 Januari lalu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan mendakwa majoriti ahli Parlimen sudah mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi meminta perkenan Seri Paduka Baginda menggugurkan pengisytiharan darurat.
Warkah itu, katanya bukan untuk membantah sebaliknya merayu ihsan serta kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong bagi mengkaji semula alasan dikemukakan oleh Perdana Menteri sebelum ini.