Indonesia: Dua Anak Kapal Yang Diculik Berjaya Melarikan Diri Dari Abu Sayyaf
2016.08.17
Jakarta dan Balikpapan, Indonesia

Dua anak kapal Indonesia yang diculik kumpulan pengganas Abu Sayyaf, hampir dua bulan lepas, berjaya melepaskan diri daripada menjadi mangsa tebusan kumpulan berkenaan, pegawai Indonesia dan Filipina mengesahkan pada Rabu.
Manakala di tempat lain, anak kapal sebuah kapal tangki minyak ‘melarikan’ kapal yang belayar dari Malaysia ke Pulau Batam, Indonesia, berikut pertikaian dengan majikan mereka, kata pegawai Malaysia dan Indonesia.
Muhamad Sofyan, salah seorang daripada tujuh anak kapal tunda Charles 001, berjaya melepaskan diri dari penculik Abu Sayyaf (ASG), kata jurucakap Kementerian Luar Negeri Indonesia, Lalu Muhammad Iqbal kepada wartawan di Jakarta.
"Pada kira-kira pukul 1 petang Rabu, Menteri Luar Indonesia berkomunikasi dengan Menteri Luar Filipina, dan menerima pengesahan mengenai kejayaan dua warga Indonesia melarikan diri daripada menjadi mangsa tebusan," katanya, sambil menambah bahawa Sofyan telah dibawa ke Balai Polis Sulu.
Penduduk tempatan menemui Sofyan, 28, pada kira-kira pukul 7:30 pagi, menurut polis Filipina. Beliau berjaya melarikan diri daripada kumpulan Abu Sayyaf selepas militan itu mengugut untuk memotong kepalanya.
Sofyan berenang untuk menyelamatkan diri dan berjaya ditemui penduduk apabila dia terperangkap dalam jaring ikan dalam bakau di Pulau Jolo, selatan Filipina itu, menurut Associated Press, yang memetik Maj. Filemon Tan, seorang jurucakap Western Mindanao Command sebagai berkata.
Pada kira-kira pukul 4:30 petang, Tan memberitahu CNN bahawa seorang lagi anak kapal tunda yang juga mangsa culik kumpulan berkenaan yang dikenali sebagai Ismail, ditemui di Barangay Bual, kawasan yang sama di mana Sofyan ditemui.
Kedua-dua warga Indonesia itu adalah dua daripada tujuh rakyat negara itu yang menjadi mangsa culik dari kapal tunda Charles 001 di perairan antara Jolo dan Tawi Tawi pada 20 Jun lepas. Tiga lagi warga Indonesia telah diculik dari sebuah kapal Malaysia di perairan Sabah, di negeri timur Malaysia pada 9 Julai lepas oleh militan Abu Sayyaf.
Manakala pada 3 Ogos lalu, kapten warga Indonesia dari sebuah kapal milik Malaysia diculik oleh empat lelaki bersenjata berhampiran Sabah dengan kejadian seterusnya melibatkan empat anak kapal Malaysia, diculik di perairan Sabah pada 18 Julai. Kesemua mereka kini berada dalam tawanan kumpulan Abu Sayyaf.
Kapal MT Vier Harmoni, yang ‘dilarikan’ dari Malaysia ke Pulau Batam, Indonesia selepas anak kapal bertikai dengan majikan mereka, 17 Ogos, 2016. [Ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia]
Anak kapal tangki belayar dari Pelabuhan Kuantan
Sementara itu, sekumpulan anak kapal tangki yang membawa hampir 1 juta liter (264,000 gelen) bahan api diesel meninggalkan Pelabuhan Kuantan, Malaysia, dan ‘melarikan’ kapal berkenaan ke perairan Indonesia selepas bertikai dengan majikan, seorang pegawai tertinggi maritim Malaysia mengesahkan kepada BeritaBenar pada Rabu.
Anak kapal MT Vier Harmoni sengaja ‘melarikan’ kapal berkenaan selepas pertikaian berkenaan, berkata Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)
Ahmad Puzi Ab Kahar.Tentera laut Indonesia mengesahkan laporan bahawa kapal itu berada di perairan Batam."Kapal berkenaan tidak dirampas sebaliknya telah dilarikan oleh anak kapal untuk dibawa ke Batam," kata Laksamana Pertama Edi Sucipto kepada BeritaBenar dalam satu kenyataan bertulis.
Sucipto memuji penyelarasan di antara Western Fleet Quick Response, tentera laut Indonesia yang beroperasi di wilayah Riau dengan APMM. Malaysia menghantar kapal dan helikopternya dalam mencari kapal tangki itu manakala Singapura turut menyalurkan bantuan dalam usaha mencari di perairan Malaysia dan Indonesia.
APMM memberhentikan pencarian kapal MT Vier Harmoni tengah hari tadi apabila rakan sejawat dari Indonesia mengesahkan bahawa kapal tangki itu telah berlabuh di perairan Batam, kata Ahmad Puzi.
Pegawai sempat berkomunikasi dengan anak kapal yang kebanyakannya warga Indonesia, dan mendapati bahawa kapal itu tidak dirampas. Para pegawai Indonesia mengesahkan bahawa kapal itu dimiliki oleh PT Vierlines, sebuah syarikat Indonesia, dan telah disewa oleh sebuah syarikat dari Malaysia.
Ahmad Puzi berkata pemilik tidak membuat bayaran bon kepada pihak berkuasa Malaysia untuk membenarkan kapal tersebut belayar di perairannya dan pembayaran bon berkenaan penting bagi memastikan sesebuah kapal bertanggungjawab atas setiap kejadian seperti penumpahan minyak.
"Kami masih menyiasat kejadian itu dengan teliti dan berharap kedua-dua pihak bekerjasama supaya tindakan lanjut boleh diambil," katanya.
Pengarah Penguatkuasaan APMM, Mohammad Taha Ibrahim berkata, kesemua 10 anak kapal selamat semasa agensi berkenaan menghubungi kapten kapal pada petang Rabu.
Hata Wahari di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.