Guna Perairan Selat Melaka Seludup Dadah, Dua Warga Indonesia Ditahan
2020.12.07
Kuala Lumpur

Pengawal pantai Malaysia pada Isnin berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah bernilai RM10.53 juta (AS$2.58 juta) yang dipercayai dibawa masuk dari sebuah negara jiran, dengan tertangkapnya dua lelaki warga Indonesia selepas insiden kejar mengejar di perairan Selat Melaka, berdekatan Pulau Betong, di Pulau Pinang.
Ketua Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pulau Pinang, Abdul Razak Mohamed berkata tangkapan itu dilakukan pada Khamis lepas (3 Disember) dalam satu operasi yang dijalankan selepas menerima maklumat mengenai kegiatan sindiket penyeludupan dadah yang menggunakan laluan perairan berhampiran Pulau Betong, di Pulau Pinang untuk membawa masuk dadah ke negara itu.
"Maritim Negeri Pulau Pinang berjaya mematahkan kegiatan menyeludup masuk dadah jenis Methamphetamine dan Ecstasy dalam satu operasi pada 8.20 malam 3 Disember 2020, di sekitar perairan Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul berikutan maklumat yang diterima menyatakan terdapatnya aktiviti penyeludupan dadah di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan empat hari selepas penangkapan berkenaan.
Beliau berkata bot pemintas Maritim Negeri Pulau Pinang telah menemukan sebuah bot rekreasi dalam pergerakan mencurigakan di sekitar 3.0 batu nautika barat daya Pulau Betong dan apabila diminta untuk berhenti, bot tersebut sebaliknya memecut laju dan cuba meloloskan diri.
"Ketika anggota bot pemintas AMPP cuba untuk memberhentikan bot suspek, berlaku aksi kejar-mengejar selama 30 minit di mana suspek cuba melakukan pergerakan yang merbahaya.
“Dua individu yang dikesan berada di dalam bot berkenaan telah mencampakkan beberapa objek ke laut sebelum mereka terjun ke laut dengan bot yang dinaiki terus memecut laju sebagai helah untuk tidak ditangkap," tambah Abdul Razak.
Tambah beliau, anggota penguatkuasa maritim kemudiannya merampas dan memeriksa kesemua sembilan beg pakaian yang dicampak ke laut itu dan menemui hablur kristal dipercayai dadah jenis Methamphetamine dalam lapan daripada beg berkenaan, manakala satu lagi beg mengandungi tujuh bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi pil pelbagai warna, disyaki dadah jenis Ecstasy.
Turut dirampas adalah bot yang digunakan suspek bersama dua enjin sangkut dengan kekuatan 500 kuasa kuda, katanya.
“Siasatan awal mendapati kesemua hablur kristal mempunyai berat anggaran 240 kilogram manakala pil Ecstasy anggaran berat 9.3 kilogram dengan kesemua dadah yang dirampas itu mempunyai nilai pasaran RM10.53 juta," kata beliau dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin.
Abdul Razak berkata, kedua-dua suspek yang berusia 30 dan 40an yang terjun ke laut bagi mengelak ditahan telah diserahkan kepada pihak berkuasa oleh nelayan tempatan selepas terapung lebih 10 jam di sekitar perairan tersebut.
Katanya kedua mereka ditahan reman selama 12 hari sehingga 17 Disember bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori sekiranya didapati bersalah kerana menyeludup dadah berbahaya.
Menurut Abdul Razak, salah seorang suspek juga telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan, dipercayai mengalami kecederaan ketika cuba melarikan diri dari pihak berkuasa.
"Rampasan dadah ini adalah kejayaan terbesar direkodkan APMM Pulau Pinang, tahun ini dan dadah dipercayai dibawa masuk dari negara jiran," tambah beliau.
Dadah jenis methamphetamine, atau lebih dikenali sebagai syabu, dan pil ecstacy adalah antara bahan terlarang yang terkenal di kalangan penagih di Malaysia dan mempunyai harga pasaran yang tinggi.
Menurut sidang media oleh APMM negeri Johor pada Jun lalu, satu gram syabu mempunyai harga pasaran di antara RM80 (AS$19.70) hingga RM100(AS$24.63), manakala pil ecstacy pula dijual di antara RM20 (AS$4.93) hingga RM30 (AS$7.39) setiap biji.
Sebelum ini, pada Mei lalu, APMM pernah mematahkan satu cubaan menyeludup syabu dan pil ecstacy bernilai RM7.2 juta(AS$1.77 juta) di Selat Melaka apabila pasukan itu menahan empat lelaki tempatan dan tiga lelaki warga Indonesia di Teluk Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan dengan pihak berkuasa percaya dadah yang dirampas itu cuba diseludup ke Indonesia.
Kawasan perairan luas
Sementara itu, seorang penganalisis keselamatan dari Universiti Malaysia Sabah Ramli Dollah berkata pihak berkuasa Malaysia menghadapi kesukaran dalam mengekang aktiviti penyeludupan di perairan negara kerana kawasan yang luas serta kekurangan aset.
Menurutnya, selain penambahan aset, cara terbaik untuk mengekang masalah berkenaan adalah dengan memberi keutamaan kepada aspek perisikan.
"Saya rasa kesukaran utama dalam mengawal isu penyeludupan di kawasan maritim Malaysia kerana laluan tersebut merupakan kawasan yang biasa digunakan penduduk tempatan kedua-dua negara untuk menyeberang antara kedua-dua negara maka oleh itu wujud kesukaran untuk membezakan antara orang awam dan penyeludup yang menyamar sebagai orang awam.
"Kedua, kawasan laut yang luas menyukarkan kepada pengawalan. Dengan jumlah aset yang ada, adalah mustahil untuk mengawal perairan negara yang poros," kata beliau.