Armada Kapal Tentera Penyerang AS Ke Laut China Selatan Ketika Ketegangan Kian Meningkat
2021.01.25
Kuala Lumpur

Amerika Syarikat mengerahkan armada kapal tentera penyerangnya ke Laut China Selatan, hanya beberapa hari selepas Presiden Joe Biden menerajui kepimpinan negara itu, yang menyebabkan China bertindak balas terhadap Washington kerana menampilkan kekuatannya.
Tetapi pada hujung minggu lalu, China mempamerkan kekuatan ketenteraannya apabila ia sendiri mengerahkan sejumlah besar pesawat perang ke ruang udara di selatan Taiwan. China juga meluluskan satu undang-undang baru pada minggu lalu bagi membenarkan pengawal pantai bertindak terhadap kapal asing, yang menyebabkan timbulnya keresahan di Asia Tenggara.
Perkembangan yang melibatkan kedua-dua kuasa besar itu melonjakkan ketegangan di Laut China Selatan selepas kurang seminggu pelantikan Biden ke jawatan tertinggi itu pada 20 Januari, dengan beliau turut mewarisi hubungan keruh antara Washington dan Beijing.
Tentera Laut AS pada Sabtu mengumumkan bahawa Armada Kapal Penyerang Theodore Roosevelt memasuki Laut China Selatan untuk melakukan operasi rutin termasuk eksesais serangan maritim dan latihan taktikal yang diselaraskan antara unit permukaan dan unit udara.
"Dengan dua per tiga daripada perdagangan dunia merentasi rantau yang amat penting ini, kami perlulah sentiasa berada di sini dan menggalakkan perintah berdasarkan peraturan bagi membolehkan semua pihak terus makmur," kata komander armada itu, Laksamana Muda Doug Verissimo, dalam satu kenyataan.
Armada kapal penyerang itu merangkumi USS Theodore Roosevelt, sebuah kapal peluru berpandu, dua kapal pemusnah peluru berpandu serta aset lain.
Di Beijing, jurucakap Kementerian Luar China Zhao Lijian berkata "kekerapan Amerika Syarikat mengerah kapal dan pesawat tenteranya ke Laut China Selatan bagi menunjukkan kekuatannya tidak akan memberi sebarang manfaat kepada keamanan dan kestabilan rantau itu."
Washington pula berpendapat China yang sebenarnya berbuat demikian. Jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price pada Sabtu menyuarakan kebimbangannya mengenai usaha China untuk menakutkan negara-negara jirannya khususnya Taiwan, dan AS berjanji bahawa ia akan "bersama-sama rakan dan sekutunya dalam membawa kemakmuran, keselamatan dan nilai bersama di wilayah Indo-Pasifik."
Kapal CGC lebih besar
Filipina, sekutu perjanjian AS, pada Jumaat bersuara mengenai langkah China memberi kuasa kepada Pengawal Pantai China (CGG) untuk bertindak terhadap kapal asing yang memasuki kawalan luas yang dituntut China di Laut China Selatan.
Jurucakap presiden Harry Roque mengingatkan China mengenai tanggungjawabnya mematuhi undang-undang antarabangsa, dan menyuarakan harapan agar China dan pihak lain yang mempunyai tuntutan terhadap Laut China Selatan supaya menahan diri daripada melakukan "tindakan yang akan memburukkan lagi keadaan."
"Walaupun sesebuah negara mempunyai kuasa berdaulat untuk meluluskan undang-undang di negaranya, namun undang-undang itu perlulah selaras dengan tanggungjawabnya dalam mematuhi Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut dengan China adalah antara negara yang menandatanganinya," kata Roque kepada wartawan.
"Dan, mengikut undang-undang antarabangsa ini, penggunaan kuasa secara umum adalah dilarang kecuali dua pengecualian yang jelas menyatakan bahawa ia adalah untuk mempertahankan diri," katanya sambil menjelaskan bahawa tindakan itu hanya boleh dilakukan sekiranya tentera bersenjata memasuki China.
Malah, sebelum adanya undang-undang baru itu, CCG sering berkonfrontasi dan ada masanya bertempur dengan bot nelayan dan bot-bot lain dari negara-negara jiran di perairan yang menjadi pertikaian itu di Laut China Selatan.
China mempunyai pertikaian maritim dan wilayah dengan Brunei, Filipina, Malaysia, Vietnam dan Taiwan di Laut China Selatan. Walaupun Indonesia tidak menganggap dirinya sebagai pihak dalam pertikaian itu, namun Beijing menuntut kawasan yang bertindih dengan zon ekonomi eksklusif Indonesia.
Roque mendesak penyelesaian dan pematuhan Kod Tata Laku – yang merujuk kepada perjanjian bahawa Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan China sedang berunding untuk menguruskan ketegangan di Laut China Selatan. Kurangnya minat China untuk mencari penyelesaian pelbagai pihak terhadap pertikaian ini menyebabkan rundingan ini sukar diteruskan.
Kesan besar terhadap hubungan Malaysia-China
Para pakar menganggap undang-undang baru untuk pengawal pantai China, yang berkuat kuasa pada 1 Februari, akan terus meningkatkan lagi perbalahan yang membimbangkan di Laut China Selatan.
"Undang-undang baru itu membangkitkan risiko konfrontasi bersenjata di perairan tersebut antara kapal pesisir China dan agensi penguatkuasaan undang-undang maritim Asia Tenggara kerana CCG merupakan alat utama China bagi menegaskan tuntutan wilayah dan wilayah perundangannya di Laut China Selatan," kata Ian Storey, Felo Kanan di ISEAS-Yusof Ishak Institute di Singapura.
"Kapal CCG adalah jauh lebih besar dan mempunyai lebih banyak senjata berbanding kapal pengawal pantai rantau," kata Storey.
Dr Ramli Dollah, pakar keselamatan dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), berkata "isu ini akan memberi kesan besar kepada hubungan Malaysia-China di Laut China Selatan." Beliau memberitahu bahawa CCG sering bertembung dengan kapal agensi-agensi penguatkuasaan Malaysia.
Collin Koh, pakar keselamatan maritim dan geopolitik di S. Rajaratnam School of International Studies di Singapura, pula berkata undang-undang baru itu tidak menunjukkan dasar baru China, tetapi "ia sepatutnya memberikan perlindungan secara sah" terhadap tingkah laku sedia ada seperti menakutkan Filipina di Pulau Thitu dan Vietnam di Tebing Vanguard.
Senator pembangkang Risa Hontiveros berkata Jabatan Pertahanan Nasional Manila (DND) perlu bersedia untuk menghadapi lebih banyak pencerobohan daripada China.
"DND sepatutnya mempunyai strategi untuk berdepan saat buruk menjadi lebih buruk. Adakah undang-undang baru itu bermaksud mereka akan menembak bot nelayan kita? China harus meredakan ketegangan di Laut Filipina Barat dan bukannya menjadikan keadaan lebih tertekan,” kata Hontiveros dalam satu kenyataan semasa beliau menggesa kerajaan supaya memastikan Filipina mematuhi dasar luar yang bebas.
"Tidak perlu ada hubungan khusus dengan mana-mana negara pun sekarang ... terutamanya dengan China," katanya. "Negara kita tidak harus terikat kepada mana-mana kuasa asing, baik di Barat atau Timur."
Walaupun Filipina adalah sekutu AS sejak sekian lama, Presiden Rodrigo Duterte telah menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan Beijing sejak menyandang jawatan pada 2016, dan mengelak daripada berkonfrontasi dengan China berhubung tindakannya di laluan utama tersebut. Ini berlaku selepas Manila berjaya mengemukakan tuntutannya di Laut China Selatan yang meluas sebelum Duterte mengambil alih jawatan itu selain adanya laporan berterusan mengenai tindakan China terhadap nelayan-nelayan Filipina.
"Kerajaan Filipina perlu tegas menolak undang-undang ini dan melindungi rakyat Filipina daripada tindakan buruk China," kata pemimpin kumpulan nelayan Pamalakaya, Fernando Hicap, mengenai undang-undang baru China itu. Beliau menggambarkannya sebagai "ancaman serius" terhadap nelayan Filipina.
Kedutaan Besar China tidak membalas permintaan bagi mendapatkan komen mengenai perkara ini.
Minggu lalu, Duta Besar China Huang Xilian menegaskan mengenai manfaat yang bakal diperoleh Manila hasil daripada kerjasama ekonomi antara China dan Filipina memandangkan adanya lonjakan pertumbuhan eksport Filipina ke China dan pelaburan China di Filipina.
Jojo Rinoza di Dagupan City, Filipina, dan Hadi Azmi & Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.