Jabatan Kastam Amerika Syarikat Arah Sita Sarung Tangan Top Glove
2021.03.29
Kuala Lumpur

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) telah mengarahkan para pegawai di semua pintu masuk ke negara itu untuk menyita sarung tangan pakai buang yang dihasilkan oleh syarikat berpangkalan di Malaysia, Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) atas dakwaan penggunaan buruh paksa.
Larangan terhadap produk syarikat itu, kata Washington tidak memberi kesan yang signifikn kepada jumlah import sarung tangan pakai buang AS yang sangat kritikal semasa pandemik COVID-19.
Arahan terbaharu AS itu juga merupakan tamparan kepada pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu yang sedang dalam proses merayu membatalkan keputusan perintah sekatan yang dikenakan CBP terhadap produknya sejak 15 Julai tahun lalu.
"Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) hari ini (Isnin) mengumumkan bahawa pihaknya telah mengarahkan para pegawai di semua pintu masuk ke AS untuk mula menyita sarung tangan pakai buang yang dihasilkan di Malaysia oleh Top Glove Corporation Bhd (Top Glove).
“Pejabat Perdagangan CBP, selepas merujuk kepada Setiausaha Perbendaharaan, menerbitkan penemuan aktiviti buruh paksa terhadap sarung tangan pakai buang yang dihasilkan di Malaysia oleh Top Glove dalam Buletin Kastam dan di dalam Pendaftaran Persekutuan,” kata kenyataan media CBP yang dikeluarkan di Washington pada Isnin.
Menurut penemuan tersebut, CBP mempunyai maklumat yang mencukupi untuk mempercayai bahawa Top Glove menggunakan khidmat buruh paksa dalam pengeluaran produk sarung tangan pakai buang. Sebarang barangan yang tersenarai di dalam penemuan buruh paksa, termaktub kepada rampasan sebaik sampai di mana-mana pintu masuk AS.
"Penemuan mengenai buruh paksa pada hari ini adalah hasil daripada siasatan selama berbulan-bulan oleh CBP yang bertujuan menghalang barangan yang dihasilkan melalui penghambaan moden daripada memasuki penjualan dalam pasaran AS,” menurut Troy Miller yang memangku tugas Pesuruhjaya CBP dalam kenyataan tersebut.
Ujarnya lagi, CBP tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat dari negara luar yang melakukan eksplotasi pekerja untuk menjual barangan yang murah, produk yang dihasilkan secara tidak beretika daripada dijual kepada pengguna di Amerika Syarikat," ujarnya.
“CBP telah menggerakkan langkah bagi memastikan yang tindakan penguatkuasaan secara bersasar ke atas Top Glove tidak akan memberi impak signifikan terhadap jumlah keseluruhan sarung tangan pakai buang yang diimport oleh AS,” menurut John Leonard, pemangku Eksekutif Pembantu Pesuruhjaya bagi Perdagangan dalam kenyataan yang sama.
“Kami terus menjalankan tugas dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan bagi memastikan dengan secepat mungkin bahawa peralatan pelindung peribadi, peralatan perubatan dan farmaseutikal yang diperlukan bagi menangani COVID-19 adalah dibenarkan dibawa masuk ke negara ini, serta memastikan mereka selamat dan dibenarkan pengunaannya,” katanya lagi.
Penemuan ini, menurut CBP, adalah peluasan kepada Perintah Penahanan Pelepasan (WRO) yang telah dikeluarkan agensi itu pada Julai 2020. WRO berkenaan adalah bersandarkan kepada maklumat yang memuaskan tetapi belum konklusif, mengenai buruh paksa sememangnya wujud dalam proses pengeluaran, pengurusan kewangan, kerja lebih masa berlebihan, keadaan di ruang kerja dan tempat tinggal dan penahanan dokumen pengenalan.
Hampir 44,000 jangkitan koronavirus baharu yang dicatatkan di AS pada Isnin, dengan jumlah keseluruhan lebih 30 juta kes serta kira-kira setengah juta kematian berkaitan virus tersebut di laporan sejak pandemik itu bermula menurut pakar di Universiti Johns Hopkins.
BeritaBenar telah menghubungi Top Glove untuk mendapatkan respon mereka mengenai tindakan terbaharu yang diambil CBP terhadap syarikat berkenaan dan seorang jurucakap memaklumkan bahawa Top Glove dijangka mengeluarkan kenyataan mereka pada Selasa.
Pada Julai tahun lalu, AS telah mengeluarkan larangan import ke atas sarung tangan keluaran Top Glove, berikutan adanya "bukti munasabah" penggunaan buruh paksa.
"Bukti menunjukkan pelbagai petunjuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa mengenai penggunaan buruh paksa termasuk tunggakan hutang, kerja lebih masa melampau, penyimpanan dokumen pengenalan diri serta keadaan pekerjaan dan kehidupan yang buruk," kata jurucakap CBP dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada 16 Julai itu.
Susulan daripada itu, Top Glove telah mengambil langkah membuat pembayaran pemulihan kepada para pekerja migran yang menyertai syarikat berkenaan sebelum mereka melaksanakan Dasar Pengambilan Sifar Kos pada Januari 2019.
Pada 10 Ogos 2020, syarikat itu memaklumkan bahawa mereka telah membuat pembayaran balik pertama yuran berjumlah RM4.4 juta, iaitu sebahagian daripada pakej RM53 juta (AS$12.5 juta) yang perlu dibayarnya kepada kakitangan migrannya, untuk dikeluarkan daripada sekatan import oleh AS.
Masalah mengenai layanan terhadap pekerja asing membabitkan Top Glove tidak hanya menyaksikan syarikat itu berdepan dengan masalah di luar negara.
Pada 16 Mac lalu, gergasi pengeluar sarung tangan telah dihadapkan ke mahkamah Malaysia atas pertuduhan gagal menyediakan tempat tinggal bagi pekerjanya mengikut garis panduan minimum yang telah ditetapkan Jabatan Buruh.
Syarikat itu dilaporkan menghadapi 10 pertuduhan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990, atau lebih dikenali sebagai Akta 446, dan menghadapi hukuman denda tidak melebihi RM50,000 bagi setiap pertuduhan.
Selain itu, kerajaan Malaysia pada Nov lepas juga telah mengarahkan supaya Top Glove menghentikan operasi 28 kilangnya selepas lebih 1,000 jangkitan baharu coronavirus dikesan dalam kalangan pekerjanya di Klang, yang terletak 36 kilometer dari Kuala Lumpur