Pegawai ASEAN Bertemu Ketua Junta Myanmar, Serah Nama Calon Utusan Khas

Buat pertama kalinya, pengerusi Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri badan serantau itu meminta pembebasan semua tahanan politik di negara berkenaan.
Shailaja Neelakantan
2021.06.06
Washington
Pegawai ASEAN Bertemu Ketua Junta Myanmar, Serah Nama Calon Utusan Khas Pemimpin tentera Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, (kanan) bertemu dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei, Erywan Yusof, (kiri) di Naypyidaw, 4 Jun 2021.
[Edaran Agensi Berita Myanmar melalui AFP]

Pegawai-pegawai tinggi ASEAN mengadakan pertemuan dengan ketua junta Myanmar Min Aung Hlaing di negara itu pada hujung minggu lalu di mana mereka menyerahkan nama calon yang boleh dilantik oleh badan serantau itu sebagai utusan khas ke Myanmar selain menggesa pembebasan semua tahanan politik, kata badan serantau itu dalam satu kenyataan.

Buat pertama kalinya, Pengerusi Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN, Erywan Pehin, meminta pembebasan semua tahanan politik kerana Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), sebagai badan serantau, setakat ini belum membuat permintaan sedemikian mengenai mereka yang dipenjarakan oleh junta Myanmar selepas rampasan kuasa tentera berlaku pada 1 Februari.

"Isu-isu yang dibincangkan adalah termasuk mengenai pelantikan dan peranan Utusan Khas Pengerusi ASEAN," menurut kenyataan yang dikeluarkan pada lewat Sabtu mengenai pertemuan Min Aung Hlaing dan ahli Majlis Pentadbiran Negara lain dengan Pengerusi Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN, Erywan Pehin, dan Setiausaha Agung ASEAN, H. Lim Jock Hoi pada Jumaat hingga Sabtu.

"Berikutan itu, Pengerusi Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN menyerahkan kepada Myanmar nama calon yang dicadangkan oleh Negara-negara Anggota ASEAN untuk jawatan Utusan Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar. Beliau turut meminta pembebasan semua tahanan politik termasuk wanita dan kanak-kanak serta rakyat asing. "

Erywan merupakan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei dan Brunei adalah Pengerusi ASEAN bagi tahun ini.

Kenyataan itu tidak menyatakan mengenai maklum balas junta Myanmar berhubung nama calon utusan khas atau pembebasan tahanan.

Namun, menurut kenyataan itu, pengerusi ASEAN "menyambut baik" komitmen Myanmar untuk meneruskan "usaha kemanusiaan bersama ASEAN" walaupun ia tidak memberikan sebarang garis masa bagi pelaksanaannya. Badan serantau itu menyatakan bahawa ia juga "menyambut baik" komitmen Myanmar "dalam mengekalkan saluran komunikasi yang terbuka dan berkesan."

Tetapi, junta Myanmar telah menyatakan bahawa ia tidak bersetuju dengan kunjungan Utusan Khas ASEAN kecuali selepas ia dapat mewujudkan "kestabilan" di negara itu. Pihak junta itu mengulangi bahawa pihaknya juga tidak akan melaksanakan konsensus lima perkara badan serantau itu yang dicapai pada 24 April sehinggalah wujudnya "kestabilan" di negara tersebut.

Myanmar membuat kenyataan itu walaupun Min Aung Hlaing adalah antara pihak yang sepakat membuat konsensus tersebut dan menghadiri pertemuan para pemimpin ASEAN di Jakarta di mana perjanjian itu dicapai. Myanmar adalah antara 10 negara anggota ASEAN.

Konsensus itu antara lain menggesa supaya dihentikan segera keganasan, yang masih belum dipatuhi oleh junta Myanmar.

ASEAN masih belum menamakan Utusan Khasnya selepas lima minggu mesyuarat pemimpin badan serantau itu diadakan. Pengkritik pula menyalahkan ketidakmampuan ASEAN untuk menamakan utusan khas berikutan perpecahan dalam blok serantau kitu.

Dan kumpulan-kumpulan hak asasi antarabangsa serta penganalisis politik secara menyeluruhnya mengkritik ASEAN kerana berusaha mengendurkan resolusi PBB yang turut merangkumi satu klausa meminta supaya menghentikan penjualan senjata ketenteraan kepada Myanmar. BenarNews adalah yang pertama melaporkan mengenai perkara itu pada 27 Mei.

Dalam pada itu, kerajaan bayangan Myanmar menyatakan pada Jumaat bahawa ia tidak mengharapkan ASEAN untuk membantu Myanmar kerana badan serantau itu hanya berhubungan dengan pihak junta dan telah mengetepikan kerajaan awamnya, lapor media serantau The Irrawaddy.

"Sejujurnya, kami tidak lagi yakin dengan usaha ASEAN, dan kami tidak meletakkan sebarang harapan," kata Timbalan Menteri Luar Negeri Kerajaan Perpaduan Nasional U Moe Zaw Oo.

ASEAN, katanya, "tidak mempunyai perancangan yang kukuh berdasarkan kredibiliti mereka."

Mesyuarat pemimpin-pemimpin ASEAN pada 24 April tidak menjemput sesiapa pun dari NUG, dan tindakan itu menerima kritikan beberapa kumpulan hak asasi.

Objektif pertemuan para pegawai tinggi ASEAN dengan ketua junta Myanmar di negara itu adalah untuk membincangkan pelaksanaan konsensus lima perkara tersebut, kata kenyataan badan serantau itu.

"Matlamat lawatan kerja itu adalah untuk membincangkan bagaimana ASEAN dapat membantu Myanmar dalam mencapai penyelesaian damai demi kepentingan rakyatnya melalui pelaksanaan Konsensus Lima Perkara yang efektif dan tepat masanya, khususnya berhubung pelantikan dan peranan Utusan Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar, ” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat itu turut diadakan untuk membincangkan bagaimana ASEAN dapat "membantu dalam memudahkan pelaksanaan dialog yang membina antara semua pihak di Myanmar dan memberikan bantuan kemanusiaan ASEAN kepada Myanmar."

ASEAN dan China

Sementara itu, menteri-menteri luar negeri dari negara-negara ASEAN dan China akan mengadakan pertemuan bersemuka pada Isnin dan Selasa, yang pertama selepas lebih setahun, di tengah-tengah krisis politik di Myanmar.

Menteri Luar Negeri China Wang Yi, kata beberapa pemerhati, akan "membantu" menteri-menteri luar negeri ASEAN dalam mencapai persetujuan mengenai utusan khas ke Myanmar pada mesyuarat itu yang akan diadakan di Chongqing, China.

Beijing mempunyai pengaruh besar di kebanyakan negara Asia Tenggara berikutan jarak kedekatan selain pelaburan China yang besar di negara-negara di rantau itu. China juga mempunyai banyak pelaburan yang signifikan di Myanmar.

Pada Sabtu, Duta Besar China ke Myanmar bertemu dengan ketua junta Myanmar yang dilaporkan berkata bahawa beliau bersedia untuk bekerjasama dengan ASEAN, menurut kenyataan kedutaan itu yang dimuat naik dalam Facebook.

"Pihak Myanmar bersedia bekerjasama dengan ASEAN untuk memelihara kestabilan domestik Myanmar dan melaksanakan konsensus yang relevan," kata kenyataan Kedutaan China di Myanmar.

"China amat berharap agar... pemulihan keamanan dan kestabilan dapat dilakukan di Myanmar, dan menyokong pelaksanaan konsensus oleh ASEAN dan Myanmar. China akan terus memainkan peranan yang membina dalam hal ini."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.