Pemimpin ASEAN gesa nilai kemajuan pelan damai Myanmar

Pemimpin ASEAN pada Jumaat menggesa supaya dinilai kemajuan pelan damai yang mereka rancangkan untuk Myanmar, ketika kritikan kian memuncak berhubung kegagalan badan serantau Asia Tenggara itu untuk membendung konflik yang semakin meruncing di satu daripada 10 negara anggotanya itu.
Semasa sidang kemuncak Persatuan Negara-negara Asia Tenggara di ibu negara Kemboja itu, para pemimpin badan serantau tersebut menyuarakan komitmen mereka terhadap konsensus lima perkara yang disepakati pada April 2021 dengan matlamat untuk membawa keamanan dan memulihkan demokrasi di Myanmar. Negara itu dilanda konflik awam berdarah selepas tentera menggulingkan kerajaan yang dipilih rakyat pada awal tahun itu.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh sidang kemuncak Phnom Penh itu menggesa menteri luar ASEAN supaya menetapkan garis masa khusus untuk melaksanakan satu pelan yang akan merangkumi "petunjuk kemajuan yang lebih kukuh, praktikal dan boleh diukur". ASEAN berhak untuk mengkaji semula perwakilan Myanmar pada mesyuarat-mesyuarat yang diadakannya.
Gesaan supaya dinilai kemajuan pelan damai itu telah disuarakan ketika kumpulan hak asasi manusia mengecam kegagalan ASEAN untuk memberi tekanan kepada junta Myanmar, yang sebahagian besarnya mengabaikan konsensus lima perkara itu dan menentang dialog dengan wakil pentadbiran awam yang digulingkannya.
Sebaliknya, pihak tentera menganggap ramai saingan politik utamanya itu sebagai pengganas atau penjenayah dan melancarkan tindakan memburu dan pemusnahan secara meluas di ibu negara Myanmar itu.
Presiden Indonesia Joko “Jokowi” Widodo bercakap kepada pemberita semasa sidang kemuncak ASEAN di Phnom Penh, 11 Nov. 2022. [Apunam Nath/AP]
Terdahulu pada Jumaat, Presiden Indonesia Joko “Jokowi” Widodo menyuarakan “kekecewaan yang mendalam” mengenai keadaan yang semakin buruk di Myanmar. Indonesia bersedia untuk mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN daripada Kemboja, yang menghampiri penghujung tempoh 12 bulan penyandangannya itu. Jawatan pengerusi ASEAN disandang secara penggiliran di antara negara-negara anggotanya.
Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, yang mengetuai rampasan kuasa tentera di Myanmar, telah dilarang menghadiri sidang kemuncak itu. Jokowi memberitahu pemberita bahawa beliau mahu melanjutkan larangan itu terhadap wakil junta Myanmar, yang turut dihalang daripada menghadiri mesyuarat-mesyuarat pemimpin dan menteri luar ASEAN, lapor The Associated Press.
Kenyataan pada Jumaat itu bagaimanapun tidak menghalang junta tersebut daripada menghadiri mesyuarat ASEAN yang lain.
"Indonesia amat kecewa kerana keadaan di Myanmar yang semakin buruk," kata Jokowi. “Kita tidak boleh membiarkan keadaan di Myanmar menentukan takrifan ASEAN.”
Ferdinand Marcos Jr., presiden baharu Filipina, turut mendesak Myanmar supaya mematuhi dan melaksanakan konsensus tersebut.
“Walaupun Filipina berpegang kepada prinsip tidak campur tangan dan konsensus ASEAN, penderitaan berpanjangan rakyat di Myanmar, yang sebahagiannya berpunca daripada kurangnya kemajuan dalam pelaksanaan konsensus lima perkara ini, juga mencabar prinsip yang dihormati oleh ASEAN berhubung demokrasi dan penghormatan serta perlindungan hak asasi manusia dan kebebasan asasi yang termaktub dalam Piagam ASEAN,” kata Marcos, menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya.
Marcos merupakan anak kepada mendiang diktator yang memerintah Filipina selama lebih dua dekad dari 1965 hingga 1986 dan dituduh melakukan pencabulan hak asasi manusia secara besar-besaran sepanjang 14 tahun pelaksanaan undang-undang tentera.
Marcos Jr. turut menggesa kalangan pemimpin Asia Tenggara supaya terus mengambil pendekatan "membina" dalam perbincangan dengan pihak berkepentingan di Myanmar, sejajar dengan visi bersama ASEAN yang "berpaksikan rakyat dan berorientasikan rakyat."
“Ini termasuklah perbincangan langsung dengan pentadbiran tentera serta semua pihak berkepentingan lain termasuklah pihak pembangkang berdasarkan rangka kerja ASEAN ke arah pelaksanaan penuh konsensus lima perkara ini,” kata Marcos.
Menurut penganalisis, terdapat kesilapan yang ketara dalam kalangan 10 anggota ASEAN mengenai cara mereka menangani krisis Myanmar – dengan Indonesia, Malaysia dan Singapura dilaporkan mengambil tindakan yang lebih tegas berbanding negara anggota lain seperti Thailand, Kemboja dan Laos.
Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol (kiri) berbincang dengan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. semasa mesyuarat ASEAN-Korea Selatan di Phnom Penh, 11 Nov. 2022. [AP Photo/Anupam Nath]
Namun begitu, ketika Perdana Menteri Kemboja Hun Sen memulakan mesyuarat itu pada Jumaat, beliau menegaskan: "Moto kita 'ASEAN: Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti' masih teguh mendukung nilai-nilai tersebut."
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian dua sidang kemuncak yang diadakan pada hari yang sama. ASEAN perlu mengadakan dua mesyuarat pemimpin dalam masa setahun tetapi negara yang tidak mampu menanggung bayaran bagi penganjuran mesyuarat secara berasingan dibenarkan mengadakannya secara berturut-turut.
Agenda lain yang akan dibincangkan pada sidang kemuncak itu ialah mengenai isu keselamatan, pertumbuhan serantau dan geopolitik.
Marcos juga menyuarakan rasa bimbangnya terhadap kuasa global yang semakin mendapat pengaruh di rantau itu. Pemimpin Amerika Syarikat dan China – Presiden Joe Biden dan Perdana Menteri Li Keqiang – akan menghadiri sidang kemuncak di Phnom Penh pada minggu ini.
Hun Sen dan Marcos membuat kenyataan demikian sehari selepas diplomat tertinggi A.S bagi Asia Timur, Daniel Kritenbrink, berkata bahawa sidang kemuncak ASEAN-A.S, yang akan diadakan pada Sabtu, berusaha mempromosikan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik yang turut ditandatangani oleh Filipina.
Rangka kerja itu dilihat secara meluas sebagai usaha Washington untuk menentang pelaburan besar Beijing dalam infrastruktur dan industri di Asia Tenggara dan negara-negara lain.
"ASEAN jelas berada di tengah-tengah kerangka rantau ini, dan perkongsian strategik A.S dengan ASEAN adalah nadi strategi Indo-Pasifik kami," kata Kritenbrink.
Kesemua 10 negara anggota ASEAN memerlukan rakan kongsi perdagangan dan pelaburan antarabangsa apabila dunia pulih daripada kesan COVID-19. Hun Sen juga dilihat berhati-hati mengenai jangkaan pemulihan yang kukuh selepas pandemik itu.
“Sementara kita menikmati hasil usaha kita dan menuju ke arah pertumbuhan yang mampan, kita harus sentiasa berwaspada kerana keadaan sosioekonomi semasa di negara-negara ASEAN serta di seluruh dunia masih rapuh dan terbahagi,” kata pemimpin Kemboja itu.
Namun, semasa menarik perhatian kepada unjuran pertumbuhan ekonomi ASEAN yang dijangka mencecah 5.3 peratus tahun ini dan 4.2 peratus pada 2023, beliau menyatakan bahawa angka berkenaan adalah "mengagumkan berbanding negara lain di dunia."
Pada Jumaat juga, pemimpin ASEAN turut mengadakan perbincangan dengan China, Korea Selatan dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Pada Sabtu, ASEAN dijadual mengadakan perbincangan dengan India, Australia, Jepun dan Kanada.
Minggu depan, sidang kemuncak pemimpin blok Kumpulan 20 akan diadakan di Indonesia manakala mesyuarat APEC di Thailand.
Pada 2023, Indonesia akan menjadi tuan rumah bagi negara anggota ke-11 ASEAN. Para pemimpin badan serantau itu mengeluarkan kenyataan pada Jumaat bahawa mereka pada dasarnya telah bersetuju untuk menerima Timor Timur menyertai ASEAN.
Radio Free Asia, sebuah perkhidmatan berita yang bersekutu dengan BenarNews, menghasilkan laporan ini dengan sumbangan daripada koresponden BenarNews Manila, Aie Balagtas See.