Menteri-Menteri Luar ASEAN Gesa Keganasan Dihentikan di Myanmar

Sesetengah negara anggota mendesak agar Aung San Suu Kyi segera dibebaskan dalam satu mesyuarat khas.
Ronna Nirmala & Muzliza Mustafa
2021.03.02
Jakarta & Kuala Lumpur
Menteri-Menteri Luar ASEAN Gesa Keganasan Dihentikan di Myanmar Menteri-menteri Luar dan wakil-wakil Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) termasuk dari Myanmar, kelihatan di skrin semasa mesyuarat secara dalam talian berlangsung di Putrajaya, Malaysia, 2 Mac 2021.
[Ihsan Kementerian Luar Malaysia]

Negara-Negara Asia Tenggara pada Selasa meminta agar keganasan yang sedang meningkat di Myanmar dihentikan segera dan satu dialog diadakan bagi menamatkan krisis di negara itu manakala sesetengah negara mendesak agar pemimpin masyarakat Aung San Suu Kyi dan lain-lain yang ditahan segera dibebaskan selepas tentera merampas kuasa bulan lepas.

Bagaimanapun, satu mesyuarat khas menteri-menteri luar yang berlangsung bagi membincangkan isu Myanmar dan dihadiri wakilnya turut mendedahkan perbezaan pendapat dalam kalangan anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), yang menyaksikan Singapura memberi amaran bahawa kegagalan mencapai kata sepakat berhubung rampasan kuasa yang berlaku akan menjejaskan kredibiliti dan kerelevanan blok 10 negara itu.

“Kami telah menzahirkan kebimbangan kami berhubung situasi di Myanmar dan menggesa semua pihak agar mengelak daripada terus melakukan kekerasan, dan agar semua pihak bertenang dan melaksanakan kefleksibilan sepenuhnya,” kata Brunei yang merupakan pengerusi ASEAN ketika ini dalam kenyataan yang merumuskan mesyuarat itu.

“Kami juga menggesa agar semua pihak mencari penyelesaian aman menerusi dialog yang konstruktif dan rekonsiliasi yang praktikal demi kepentingan rakyat kehidupan mereka.”

Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh apabila pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di bandar-bandar di seluruh Myanmar pada Ahad, hari yang menyaksikan pertumpahan darah dalam demonstrasi besar-besaran terhadap tindakan tentera menggulingkan kerajaan Suu Kyi yang dipilih rakyat.

Mesyuarat khas diplomat tinggi ASEAN diadakan secara maya dan berlangsung apabila Malaysia dan Indonesia menggesa agar ia dibuat beberapa hari selepas tentera Myanmar merampas kuasa pada 1 Feb lalu.

Susulan kritikan bahawa kumpulan serantau itu gagal membuat pendirian kukuh secara kolektif berhubung isu Myanmar, Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan berkata adalah penting bagi ASEAN bahawa blok itu bersatu dalam mendukung prinsip demokrasi, kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia.

“Adalah penting bagi ASEAN untuk terus mengulangi prinsip yang menjadi pegangan kita itu susulan tragedi yang sedang berlaku di Myanmar,” menurut Vivian dalam satu kenyataan.

“Jika tidak, kita tidak akan mempunyai pilihan selain menyatakan pandangan berhubung situasi itu sebagai Negara Anggota ASEAN secara individu. Namun jujurnya, ini secara jelas akan memperlihatkan ketiadaan perpaduan dalam kalangan kita dan menjejaskan kredibiliti serta kerelevanan kita sebagai sebuah organisasi.”

Dalam kenyataan individu yang dikeluarkan selepas mesyuarat khas pada Selasa itu, Malaysia, Indonesia, Filipina dan Singapura menggesa agar pemerintah tentera Myanmar membebaskan Suu Kyi serta pemimpin politik lain yang ditahan semasa rampasan kuasa pada 1 Feb itu.

“Malaysia menggesa pembebasan segera dan tanpa syarat pemimpin politik yang ditahan di Myanmar termasuk Daw Aung San Suu Kyi, U Win Myint serta sekutu mereka, dan menggalakkan dialog dibuat antara pihak-pihak yang berkaitan,” kata Menteri Luar Malaysia Hishammuddin Hussein kepada rakan sejawatnya dalam ASEAN semasa mesyuarat secara dalam talian tu berlangsung.

Singapura turut menggesa agar pasukan bersenjata Myanmar berjanji tidak akan menggunakan kekerasan yang boleh membawa maut terhadap penunjuk perasaan.

Suu Kyi dan Win Myint, yang masing-masing menyandang jawatan sebagai penasihat negara dan presiden Myanmar dari 2018 sehingga rampasan kuasa pada 1 Feb, telah ditahan sejak kerajaan negara itu digulingkan. Rampasan kuasa itu berlaku selepas beberapa minggu ketegangan yang disusuli pilihan raya umum pada 8 Nov yang menyaksikan parti Suu Kyi meraih kemenangan mudah namun didakwa tentera telah dicemari dengan penipuan undi.

Sejak rampasan kuasa itu, sekurang-kurangnya 22 orang, kebanyakannya adalah penunjuk perasaan prodemokrasi, telah terbunuh manakala lebih 30 lagi dicederakan oleh pasukan keselamatan Myanmar. Pada Selasa, tentera dan polis Myanmar melepaskan tembakan peluru hidup, peluru getah dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan antirampasan kuasa, menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang cedera parah, lapor beberapa agensi berita.

Dalam satu kenyataan yang luar biasa keras daripada Filipina, Manila pada Selasa menggesa tentera Myanmar agar mengembalikan kuasa kepada kerajaan yang telah dipilih secara demokratik pada November.

“Kami menggesa agar pengembalian sepenuhnya kuasa yang wujud sebelum ini dilakukan dengan penuh hormat kepada Daw Aung San Suu Kyi; bersama-sama pihak tentera, bapanya telah mewujudkan perlindungan kepada rakyat yang dipimpinnya ke arah kebebasan dan negara yang beliau sanggup korbankan nyawanya,” kata Setiausaha Luar Teodoro Locsin Jr dalam satu kenyataan.

“Ini adalah perkara yang perlu dilakukan. Dan langkah pertama ialah pembebasan Daw Aung San Suu Kyi dan selepas itu mengadakan dialog dengan pihak yang terlibat dalam menentukan nasib negara mereka.”

Bagi Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi, meskipun anggota ASEAN perlu mematuhi prinsip yang didukung oleh blok itu iaitu tidak akan campur tangan, mereka memikul tanggungjawab untuk menghormati nilai-nilainya terhadap demokrasi, hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang dan kerajaan berperlembagaan.

“Jika ASEAN gagal mendukung dan melaksanakan semua prinsip ini, Indonesia bimbang ASEAN tidak akan berjaya sepenuhnya untuk berkhidmat kepada rakyatnya, yang seterusnya akan menjejaskan aspirasi bagi membina Komuniti ASEAN … Indonesia yakin ASEAN sedia memainkan peranannya ketika diperlukan,” kata Retno.

Terdapat kritikan keras terhadap “diplomasi ulang-alik” beliau minggu lepas semasa diplomat negara terbesar ASEAN itu bertemu rakan sejawatnya dari Myanmar yang dilantik tentera di Bangkok.

Minggu lepas, apabila Reuters melaporkan bahawa Indonesia telah menyokong satu rancangan oleh junta Myanmar untuk mengadakan pilihan raya baharu – yang dinafikan Jakarta – beratus-ratus penunjuk perasaaan berhimpun di luar Kedutaan Indonesia di Yangon. Mereka berkata Myanmar sudah memiliki kerajaan yang sah dan dipilih secara demokratik empat bulan lepas.

Hishammuddin dari Malaysia pula pada Selasa turut mencadangkan agar ASEAN membentuk satu kumpulan yang terdiri daripada “tokoh terkemuka atau pakar dalam isu pilihan raya bagi membantu merapatkan jurang yang dikesan dalam pilihan raya umum yang terakhir.”

Myanmar, katanya, mungkin mempertimbang untuk membenarkan setiausaha agung dan pengerusi ASEAN melawat negara itu dan memberikan akses kepada semua pihak yang terlibat.

ASEAN: Dilema antara Barat dan China

Penganalisis menyifatkan bahawa apa yang sebenarnya mereka cuba katakan ialah kedudukan rumit ASEAN berhubung isu Myanmar.

Dengan mengeluarkan satu kenyataan yang ‘mendatar dan normatif’ merumuskan mesyuarat itu, pengerusi ASEAN iaitu Brunei seolah-olah cuba “mengelak meletakkan Myanmar dalam keadaan yang rumit,” kata Teuku Rezasyah, seorang pensyarah dalam hubungan antarabangsa di Universiti Padjajaran di Bandung, Indonesia.

“Lagipun kedudukan ASEAN ketika ini agak rumit serta berada dalam dilema antara Barat dan China. Jadi apa yang saya bimbangkan ialah jika ASEAN mengambil pendirian yang agak keras dan tidak cuba untuk bertoleransi, Myanmar akan memilih untuk berunding dengan China.”

Aaron Connelly, seorang felow penyelidik di Institut Antarabangsa bagi Pengajian Strategik di Singapura, berkata blok serantau itu tidak mahu berlaku satu lagi bencana kemanusiaan seperti insiden yang menyaksikan lebih 700,000 pelarian Rohingya melarikan diri dari Myanmar semasa kekerasan tentera di negeri Rakhine pada 2017.

“Adalah penting bagi ASEAN untuk terus membuka pintunya dari segi komunikasi dengan Tatmadaw selagi ia memegang tampuk kekuasaan, jika bukan untuk alasan selain menggunakan saluran ini bagi menggesa tentera agar segera kembali ke tempat asalnya,” kata Connelly yang menggunakan nama rasmi tentera Myanmar.

Bagaimanapun, semasa melibatkan diri berunding dengan junta Myanmar, “ASEAN berdepan risiko memberikan pengesahkan kepada rampasan kuasa yang mendatangkan risiko ini,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.