Indonesia Kemas Kini Rakan ASEAN Mengenai Inisiatif Anti-Militansi ‘Our Eyes’
2019.07.11
Bangkok & Jakarta

Menteri Pertahanan Indonesia Ryamizard Ryacudu mengemas kini rakan dalam ASEAN di Bangkok pada Khamis mengenai usaha kerjasama dalam menangani militansi dan pelbagai cabaran keselamatan serantau lain ketika membentangkan kertas kerja berkaitan inisiatif antipengganas ‘Our Eyes’ yang dipelopori Jakarta.
Sepuluh anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara kemudian menerima pakai terma rujukan rasmi bagi "Our Eyes," [Mata Kita] yang diluluskan ASEAN pada Oktober lalu yang diusahakan enam negara anggotanya untuk berkongsi perisikan serta membina pangkalan data bagi mencegah keganasan ekstremisme di rantau itu.
Keganasan, separatisme, pengedaran dadah, bencana alam dan penularan wabak penyakit adalah antara ancaman keselamatan yang dihadapi Asia Tenggara, Ryacudu memberitahu rakan-rakannya semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN ke-13 yang berlangsung selama sehari dan dihoskan Thailand.
"Menteri-menteri Pertahanan ASEAN telah bersetuju untuk membentuk kumpulan kerja bagi menangani kesemua masalah ini, termasuk kerjasama perisikan melalui inisiatif ‘Our Eyes’," kata Ryacudu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan Indonesia. "Ini adalah satu daripada contoh jelas kejayaan kerjasama ASEAN dalam bidang pertahanan.
"Di samping itu, langkah-langkah trilateral dalam bentuk rondaan bersama laut dan udara sememangnya berkesan dan akan diperluas kepada operasi darat bersama melibatkan Indonesia, Malaysia dan Filipina."
Semasa pembentangannya, Ryacudu turut menonjolkan kepelbagaian rantau itu bersama sumber semula jadi dan boleh diperbaharui yang menarik negara lain ke rantau itu, lapor agensi berita nasional Indonesia, Antara.
"Oleh itu, tidak hairanlah jika masyarakat dunia juga berminat untuk bekerjasama di rantau ini. Kami juga bersetuju untuk mewujudkan komuniti kolaboratif bagi menangani pelbagai isu keselamatan yang berpotensi menjejaskan kestabilan di rantau ini, yang mana beberapa langkah kerjasama telahpun diambil termasuk pencegahan keganasan dan lain-lain," kata beliau.
Sebelum ini, Kementerian Luar Indonesia berkata "Our Eyes" bertujuan untuk merevolusikan usaha negara-negara Asia Tenggara dalam memerangi usaha balas pengganas. Lima negara anggota ASEAN lain yang bersetuju menjalin kerjasama dalam inisiatif ini ialah Filipina, Malaysia, Thailand, Singapura dan Brunei.
Usaha bersama itu dilihat sebagai satu cara untuk meningkatkan kerjasama antara cawangan-cawangan perisikan di setiap negara sambil menghalang usaha perekrutan militan. Semasa mesyuarat pemimpin ASEAN pada Oktober 2018, para pegawai Indonesia menegaskan bahawa rondaan bersama dengan tentera laut Filipina telah mengurangkan ancaman keganasan di rantau ini.
"Akan ada cabaran untuk bekerjasama, tetapi keinginan para pemimpin kerajaan untuk mengatasi halangan tradisional dan memperluas kerjasama antarabangsa berpotensi mengubah landskap antikeganasan di Asia dengan mencegah insiden seperti Marawi daripada berulang," kata Kementerian Luar Indonesia ketika itu.