Utusan Khas PBB Mahu Bertemu Pemimpin ASEAN Di Luar Sidang Kemuncak Khas Mengenai Myanmar
2021.04.21
Kuala Lumpur, Jakarta, Manila & Washington

Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar akan berada di Jakarta pada hujung minggu ini untuk berbincang dengan pemimpin-pemimpin Asia Tenggara di luar sidang kemuncak khas mengenai pergolakan di Myanmar, kata badan dunia itu pada Rabu.
Namun, sidang kemuncak yang dijadualkan pada Sabtu, terpaksa berdepan tamparan besar berikutan keputusan Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha, untuk tidak menghadirinya, kata penganalisis.
"Utusan Khas Setiausaha Agung, Christine Schraner Burgener, masih berada di rantau itu dan akan berada di Jakarta bagi berbincang dengan para pemimpin ASEAN di luar sidang kemuncak khas pada Sabtu, dengan memberi tumpuan kepada satu penyelesaian politik," kata Stéphane Dujarric, jurucakap setiausaha agung PBB António Guterres.
Setiausaha Agung itu "mendesak para pemimpin ASEAN supaya membantu dalam membendung peningkatan krisis dan kemungkinan berlakunya implikasi kemanusiaan yang lebih besar melangkaui sempadan Myanmar," kata Dujarric pada taklimat harian media di pejabat PBB di New York, menurut satu transkrip.
Schraner Burgener tiba di rantau itu pada awal bulan ini untuk mengadakan perbincangan mengenai Myanmar tetapi pihak tentera negara itu tidak bersedia menerimanya, kata utusan khas itu dalam catatan Twitter beliau pada 9 April.
Setakat ini, pemimpin enam daripada 10 negara anggota badan serantau itu, termasuk pemimpin rejim tentera Myanmar, telah memberikan komitmen mereka untuk menghadiri sidang kemuncak itu.
Tetapi, ketiadaan Prayuth, yang merupakan bekas ketua junta, telah mengendurkan keupayaan sidang kemuncak itu dalam memberi tekanan terhadap junta Myanmar agar menghentikan tindakan membunuh orang awam dan berusaha memulihkan demokrasi, kata para penganalisis.
"Saya rasa mesyuarat itu harus memberi keutamaan kepada kehadiran pemimpin tertinggi negara-negara anggota bagi menunjukkan kekuatan dan keprihatinan penuh ASEAN mengenai isu itu," kata penganalisis politik Malaysia, Azmi Hassan.
"Jika hanya pemimpin kedua atau ketiga tertinggi yang menghadiri sidang kemuncak itu, ia akan memberi isyarat kepada pihak junta Myanmar bahawa ASEAN tidak berbicara sebagai satu suara. Adalah amat penting bagi ASEAN untuk menunjukkan bahawa mereka berbicara sebagai satu suara mengenai setiap keputusan yang diambil berhubung Myanmar,” kata Azmi kepada BenarNews.
Lebih daripada 700 orang - kebanyakannya penunjuk perasaan anti rampasan kuasa - telah dibunuh oleh pasukan keselamatan Myanmar sejak rampasan kuasa berlaku pada 1 Februari, menurut statistik terbaru Persatuan Bantuan Tawanan Politik yang merupakan kumpulan hak asasi manusia Myanmar yang berpusat di Thailand.
Siapa yang akan hadir
Setakat Rabu, pemimpin Brunei, Kemboja, Indonesia, Malaysia dan Vietnam secara rasminya mengesahkan bahawa mereka akan menghadiri sidang kemuncak itu yang akan diadakan di pejabat sekretariat ASEAN di ibu negara Indonesia.
Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh juga akan menghadirinya, kata pihak Kedutaan Vietnam di Amerika Syarikat kepada BenarNews pada Rabu.
Thailand akan menghantar Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri Don Pramudwinai ke mesyuarat itu. Kementerian Luar Negeri Filipina menyatakan bahawa ia akan mengeluarkan kenyataan pada Khamis mengenai sama ada Presiden Rodrigo Duterte akan menghadiri sidang kemuncak tersebut. Pejabat Duterte telah menangkis spekulasi mengenai kesihatan pemimpin berkenaan.
Tidak ada kenyataan rasmi daripada Laos dan Singapura mengenai siapa yang akan mewakili kerajaan masing-masing pada sidang kemuncak khas itu.
Tetapi, ketidakhadiran Prayuth akan memberi kesan besar kepada sidang kemuncak ASEAN, kata Syed Hamid Albar yang merupakan bekas menteri luar Malaysia.
Prayuth tidak menyatakan sebarang alasan berhubung keputusannya untuk tidak menghadiri mesyuarat itu ketika beliau memberitahu wartawan pada Selasa bahawa wakilnya akan dihantar ke Jakarta.
Ketidakhadiran Prayuth akan memberi kesan memandangkanThailand amat rapat dengan kerajaan Tatmadaw, kata Syed Hamid kepada agensi berita Malaysia, Bernama, dengan merujuk kepada angkatan bersenjata Myanmar yang menggunakan nama ibunda mereka.
Pada 2018, Thailand mengurniakan anugerah diraja “King Grand Cross of the Most Exalted Order of the White Elephant” kepada Min Aung Hlaing.
Pada ketika itu, ketua tentera Myanmar tersebut memberitahu media bahawa beliau diberi penghormatan berkenaan kerana "hubungan baik yang terjalin antara angkatan bersenjata kedua-dua negara," lapor Bangkok Post.
Pada masa itu, Prayuth berada di tahun keempatnya sebagai pemimpin Thailand, setelah melakukan rampasan kuasa pada 2014 ketika menjadi panglima tentera.
Pemimpin tentera Myanmar dan Thailand mempunyai "keserasian" yang "telah melonjakkan hubungan mereka ke tahap baru", menurut satu artikel pada Disember 2015 yang disiarkan dalam Global Asia, iaitu penerbitan suku tahunan Yayasan Asia Timur.
"(Pada masa itu) Jeneral Prayuth Chan-o-cha, perdana menteri Thailand, memilih Myanmar sebagai negara luar pertama yang dilawatinya selepas rampasan kuasa pada Mei 2014," menurut artikel itu.
Ketidakhadiran Prayuth pada mesyuarat ASEAN berkenaan tidak memberikan petanda baik kepada para pemimpin badan serantau itu yang mahu menghantar mesej tegas kepada junta Myanmar, kata Hunter Marston, felow bukan pemastautin di Forum Pasifik iaitu institut penyelidikan dasar luar.
"Ia adalah "tamparan besar bagi sebarang harapan untuk menyatupadukan ASEAN, yang tahapnya sudah pun amat tipis," kata Marston dalam catatan Twitter beliau.
Pada Mac lalu, menteri-menteri luar ASEAN gagal mencapai kata sepakat untuk menuntut pembebasan Aung San Suu Kyi dan pemimpin lain Myanmar yang dipilih secara demokrasi yang ditahan pihak tentera sejak rampasan kuasa itu.
“Tidak menghadiri sidang kemuncak itu sebenarnya mengutuskan mesej yang jelas kepada Min Aung Hlaing bahawa beliau menyokongnya...[Ini merupakan satu] isyarat bahawa beliau [Prayuth] tidak mahu terlibat dalam memberi mesej tegas kepada Myanmar bahawa ASEAN menentang tindakan rampasan kuasa,” kata Marston.
"Beralah"
Pada ketika ini, ASEAN dikecam kerana menjemput Min Aung Hlaing ke sidang kemuncak itu. Badan serantau tersebut turut membisu mengenai siapa yang dijemput dan siapa yang telah menerima jemputan.
Brunei, selaku Pengerusi ASEAN, tidak menyatakan sama ada ia telah mengundang wakil-wakil Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) iaitu kerajaan yang dilancarkan pada Jumaat dengan dianggotai ahli parlimen yang memenangi kerusi pada pilihan raya November 2020 tetapi digulingkan oleh tentera Myanmar.
Romeo Abad Arca, penolong pengarah perhubungan awam di Sekretariat ASEAN, memberitahu BenarNews pada Rabu bahawa beliau tidak mempunyai maklumat mengenai siapa yang akan menghadiri sidang kemuncak tersebut.
Pegawai Brunei dan Indonesia juga tidak segera membalas e-mel daripada BenarNews.
Oh Ei Sun, felow kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata Min Aung Hlaing mungkin tidak akan menghadiri sidang kemuncak khas itu sekiranya wakil NUG hadir.
"NUG tidak dijemput mungkin sebab tidak mahu membangkitkan kemarahan pemimpin junta, kerana beliau mungkin menolak untuk hadir jika NUG juga berada di sana," kata Oh kepada BenarNews.
“Oleh itu, ASEAN nampaknya perlu tunduk bagi memenuhi kehendak dan keinginan jeneral itu dan secara umumnya pihak junta. Saya rasa istilah tradisional bagi perkara ini disebut beralah. ”
Sementara itu, keputusan pemimpin junta Myanmar untuk menghadiri sidang kemuncak tersebut menunjukkan "bahawa beliau cukup yakin dengan kestabilan rejimnya hingga sanggup meninggalkan negara itu dan tidak gusar ia dirampas," kata Marston.
"Beliau mahukan pengesahan bahawa sidang kemuncak itu amat penting sehinggakan sanggup mengambil risiko itu," kata Marston.
Tiada satu pun yang mengejutkan Bridget Welsh iaitu saintis politik di Universiti Nottingham di Malaysia.
"Saya tidak mengharapkan apa-apa daripada sidang kemuncak ini kerana ASEAN sudah pun berpecah-belah. Vietnam, Laos, Kemboja dan Thailand adalah negara yang menyokong junta manakala pendirian Singapura tidak jelas kerana ia boleh menerima junta. Ini membuatkan hanya ada sekumpulan kecil yang menentangnya,” kata Welsh kepada BenarNews.
Sementara itu, pemerhati hak antarabangsa, Human Rights Watch, mendesak ASEAN supaya membatalkan jemputan kepada pemimpin junta Myanmar "berikutan peranannya dalam kekejaman pihak tentera dan tindakan keras terhadap penunjuk perasaan yang pro-demokrasi."
Hadi Azmi di Kuala Lumpur, Ronna Nirmala di Jakarta, Jason Gutierrez di Manila dan Shailaja Neelakantan di Washington menyumbang kepada laporan ini.