Ahli Politik Asia Tenggara: ASEAN Perlu Kenakan Sekatan Ke atas Myanmar Jika Tentera Tidak Berganjak

Ketepikan prinsip tidak campur tangan yang menyebabkan blok rantau Asia Tenggara itu menjadi “tidak berdaya”.
Ronna Nirmala
2021.03.17
Jakarta
Ahli Politik Asia Tenggara: ASEAN Perlu Kenakan Sekatan Ke atas Myanmar Jika Tentera Tidak Berganjak Beberapa penunjuk perasaan Myanmar mengusung seorang lelaki yang ditembak oleh anggota pasukan keselamatan semasa tindakan keras terhadap demonstrasi menentang rampasan kuasa tentera di Yangon, 17 Mac 2021.
[AFP]

Enam ahli politik terkemuka Asia Tenggara pada Rabu mendesak negara-negara rantau itu supaya mengenakan sekatan ke atas Myanmar jika kerajaan tenteranya tidak membebaskan tahanan politik, mengembalikan kerajaan yang digulingkan dalam rampasan kuasa bulan lalu serta mendakwa mereka yang bertanggungjawab membunuh penunjuk perasaan awam.

Dalam kenyataan bersama yang amat tegas, kesemua ahli politik itu mengecam Persatuan Negara-negara Tenggara (ASEAN) yang “tidak berdaya” dan menuntut blok itu supaya mengetepikan prinsip tidak campur tangannya kerana ia menjadi penghalang dalam memastikan demokrasi dan melindungi hak asasi rakyat di rantau itu.

Semua "kerajaan ASEAN harus bersatu dan menghantar mesej yang jelas kepada junta tentera Myanmar supaya segera membebaskan semua tahanan politik, memulihkan keadaan politik di Myanmar seperti sebelum rampasan kuasa 1 Februari 2021 dan menghormati suara rakyat pada pilihan raya umum November 2020,” menurut kenyataan ahli politik berkenaan.

Kesemua ahli politik itu juga menuntut agar pihak yang bertanggungjawab terhadap "pembunuhan orang yang tidak bersalah" di Myanmar – yang merupakan negara anggota ASEAN - dibawa ke muka pengadilan.

"Jika gagal, kesemua kerajaan ASEAN yang lain harus bersatu dan menggantung keanggotaan Myanmar dalam ASEAN dan setelah itu, mengenakan sekatan perdagangan dan ekonomi bersasar terhadap junta tentera dan sekutu mereka," menurut kenyataan itu.

Mereka yang menandatangani kenyataan itu ialah Sam Rainsy iaitu pemimpin pembangkang Kemboja dalam buangan, pemimpin pembangkang Malaysia Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Indonesia Fadli Zon, Senator Filipina Kiko Pangilinan, bekas Timbalan Speaker Singapura Charles Chong dan bekas Menteri Luar Thailand Kasit Piromya.

Kenyataan mereka dibuat lebih dua minggu selepas mesyuarat khas menteri-menteri luar ASEAN gagal mencapai kata sepakat untuk menuntut pembebasan segera pemimpin awam Myanmar Aung San Suu Kyi serta pemimpin lain yang ditahan pihak tentera.

Sebaliknya, ASEAN hanya menggesa supaya dihentikan keganasan di Myanmar dan mendesak diadakan dialog bagi mengakhiri krisis itu.

Ahli-ahli politik terkemuka rantau itu menyatakan bahawa ASEAN lemah dalam tindak balasnya.

"Kejadian yang berlaku di Myanmar menunjukkan, sekali lagi, bahawa kerajaan ASEAN tidak berdaya untuk menangani krisis serantau," kata Rainsy, yang membacakan kenyataan itu pada satu sidang berita maya.

"Kami, yang menandatangani kenyataan ini, mendesak kerajaan-kerajaan ASEAN supaya mengetepikan doktrin lama mengenai tidak campur tangan dan menerima pendekatan baru bagi penglibatan secara konstruktif dan kritis dengan memilih untuk mengenakan sekatan perdagangan dan ekonomi terhadap junta tentera Myanmar," kata kenyataan ahli politik itu.

Doktrin tidak campur tangan itu "telah menjadi penghalang utama dan rintangan bagi pembangunan demokrasi penyertaan dan perlindungan hak-hak asas rakyat ASEAN."

Ia termasuklah hak untuk melakukan bantahan, tetapi tentera dan polis Myanmar telah mengerahkan penggunaan senjata mereka terhadap rakyat negara itu yang melakukan tunjuk perasaan kerana membantah rampasan kuasa tersebut.

Pada Rabu, Pejabat PBB bagi Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia (OHCHR) menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 149 orang telah terbunuh semasa tunjuk perasaan menentang rampasan kuasa “akibat daripada penggunaan kuasa tidak sah sehingga membawa maut."

Radio Free Asia iaitu entiti BeritaBenar melaporkan bahawa jumlah kematian itu adalah lebih tinggi iaitu sebanyak 181 orang.

Ahli-ahli politik serantau itu juga berkata bahawa kerajaan-kerajaan ASEAN gagal menangani kekerasan yang kian meningkat di Myanmar dengan berkesan.

"Ketika para penunjuk perasaan pro-demokrasi Myanmar yang berani dibunuh oleh junta tentera, semua kerajaan ASEAN yang lain tidak menunjukkan kemahuan politik dan kesatuan mereka dalam memberi tekanan terhadap junta tentera supaya menghentikan pembunuhan tersebut," kata kenyataan itu.

Sementara itu, tunjuk perasaan terus berlanjutan di Myanmar pada Rabu dengan aktivis pro-demokrasi membalas tindakan junta tentera dengan melepaskan tembakan dan melemparkan bahan letupan Molotov terhadap pasukan keselamatan, lapor Associated Press.

Sekurang-kurangnya dua orang lagi mati ditembak, lapor agensi itu.

Sejak rampasan kuasa berlaku pada 1 Februari, seramai 2,191 orang telah ditangkap, didakwa atau dijatuhkan hukuman manakala 1,872 orang ditahan dan berdepan perbicaraan, kata Persatuan Bantuan Tahanan Politik di laman webnya yang sentiasa dikemas kini.

‘Jangan percayakan junta’

Jurucakap Kementerian Luar Negeri Indonesia Teuku Faizasyah pada Rabu enggan mengulas kenyataan ahli politik serantau itu, tetapi memberitahu bahawa Jakarta akan mengeluarkan kenyataan baru mengenai Myanmar.

Sebagai negara terbesar di ASEAN dan satu daripada negara pengasas blok itu, Indonesia sentiasa melakukan gesaan diplomatik bagi melibatkan negara anggota ASEAN dalam menangani rampasan kuasa di Myanmar.

Dalam kenyataannya pada mesyuarat menteri luar ASEAN itu, Menteri Luar Negeri Indonesia Retno Marsudi berkata selain mematuhi prinsip dasar tidak campur tangan, negara-negara anggota ASEAN juga berperanan dalam menghormati nilai-nilainya terhadap demokrasi dan hak asasi manusia.

Pada mesyuarat itu, Menteri Luar Malaysia Hishammuddin Hussein menyarankan ASEAN supaya menubuhkan kumpulan "tokoh terkemuka atau pakar pilihan raya untuk membantu dalam memperbetulkan perbezaan yang terdapat pada pilihan raya umum lalu" di Myanmar.

Tentera Myanmar mendakwa pilihan raya umum 8 November itu dicemari dengan penipuan, dan mereka menggunakan alasan itu untuk mewajarkan tindakan rampasan kuasa tersebut dengan menyatakan bahawa ia akan mengadakan pilihan raya yang baru.

Tetapi Rainsy, pemimpin pembangkang Kemboja, pada Rabu menyuarakan keraguan mengenai janji-janji pihak junta.

"Peralihan demokrasi mestilah berdasarkan keputusan pilihan raya pada November 2020. Kami tidak boleh percayakan junta yang berjanji mahu mengadakan pilihan raya baru pada tahun depan," katanya.

“Menjelang waktu itu, mereka akan membubarkan Liga Nasional Demokrasi [parti Suu Kyi] dan pilihan raya tidak lagi bermakna."

Kasit, bekas menteri luar Thailand, pula memberi amaran bahawa ASEAN berdepan risiko yang boleh menjejaskan kedudukannya di peringkat antarabangsa jika ia gagal mencari jalan penyelesaian bagi krisis Myanmar.

Manakala Fadli, yang merupakan penggubal undang-undang Indonesia, berkata ASEAN mesti mempunyai pendirian yang sama dalam isu hak asasi manusia dan demokrasi di Myanmar.

"Yang paling utama ialah kemahuan politik untuk mendesak pihak junta tentera supaya mematuhi prinsip-prinsip itu," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.