Bekas Wartawan Laksana Misi Berbasikal Demi Selatan Thailand Yang Lebih Aman

Afif Adree
2016.03.17
Kuala Lumpur
160317-my-astora620 Astora Jabat mengayuh basikalnya berhampiran Sri Petaling, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Afif Adree/BeritaBenar

Hassan Abdul Rahman, yang nama penanya ialah Astora Jabat, adalah nama yang dikenali ramai di media Malaysia kerana hasil penulisan kontroversi beliau dalam Mingguan Malaysia, edisi Ahad bagi akhbar tempatan berbahasa Melayu, Utusan Malaysia

Penulisannya amat kontroversi sehinggakan Jabatan Kemajuan Islam negara itu melabel bekas wartawan Utusan itu sebagai penyokong "liberalisme dan pluralisme" pada 2013.

Satu daripada penulisannya  yang paling kontroversi ialah "Nabi mengarahkan kita menolak hudud" yang diterbitkan pada Ogos 2002. Sejak itu, pihak yang tegas menganggap karya-karyanya sebagai sesat.

Astora juga menulis mengenai konflik Selatan Thailand - topik lazim bagi lelaki itu yang berasal dari Narathiwat.

Ke udara

Astora berkata ruangan beliau dalam Mingguan Malaysia telah mendapat sekurang-kurangnya 8,000 e-mel dan surat bersama-sama dengan dua peluru daripada pengkritiknya.

Pada 2013, Astora membawa hasil penulisannya ke udara, menjadi hos utama bagi stesen Media Selatan, stesen radio politik di Thailand yang menggalakkan perbahasan mengenai konflik. Astora mempunyai lebih daripada 2 juta pengikut di seluruh Asia.

Baru-baru ini, Astora bercuti daripada menulis dan menutup mikrofonnya, bagi memberi perhatian kepada basikalnya.  Lelaki berusia 62 tahun itu berbuat demikian bagi ekspedisi berbasikalnya ke negara-negara ASEAN untuk menyebarkan mesej menerusi ‘Bike for Peace’ (Berbasikal Demi Keamanan) susulan pemberontakan di Selatan Thailand.

Dalam beberapa minggu lalu, keganasan telah meningkat di wilayah itu menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh sejak 10 Februari lalu. Serangan terbaru berlaku semasa ulang tahun ke-56 Barisan Revolusi Nasional - yang kekal menjadi kumpulan pemisah bersenjata terbesar dan paling berkuasa di Selatan Thailand yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Pada  Ahad, pejuang pembebasan melanggar undang-undang antarabangsa apabila merampas sebuah hospital dan melakukan serangan terhadap markas tentera di wilayah Narathiwat,  kata Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Human Rights Watch.  

Pejabat Hak Asasi Manusia PBB bagi Asia Tenggara (OCHCR) mengeluarkan kenyataan pada Rabu yang menyuarakan rasa kesalnya dengan tindakan  antara 10 dan 50 pejuang pembebasan yang dilaporkan merampas Hospital Cho-Irong di Narathiwat selama kira-kira 30 minit semasa  pesakit dan kakitangan perubatan masih berada di dalamnya.

BeritaBenar bertemu Astora di Kuala Lumpur, yang sudah mencatatkan kayuhan sejauh 1,400 kilometer (870 batu) sejak lebih dua bulan perjalanannya dari Thailand.

Beliau bertemu dengan orang ramai sepanjang perjalanannya itu dan meluangkan masa untuk "menerangkan dan membuatkan mereka memahami tentang konflik," dengan menekankan bahawa keamanan adalah satu-satunya cara.

Ekspedisi itu, yang ditajanya sendiri, dilaksanakan daripada semangatnya bagi mendapatkan keamanan di tanah airnya. Walaupun ia hanyalah sumbangan kecil, beliau percaya semua orang perlu memainkan peranan mereka di Selatan Thailand.

"Dalam usaha untuk mencapai keamanan, kita mesti mempelbagaikan cara kita untuk mencapainya, dan cara saya berbuat demikian adalah dengan berbasikal ke semua 10 negara ASEAN.

"Kita kini mempunyai lokomotif untuk mencapai pengisytiharan damai ... dan saya melakukan bahagian saya untuk membantunya dipercepatkan bersama-sama dengan NGO lain yang mahu pengisytiharan keamanan dilaksanakan  di Selatan Thailand," katanya kepada BeritaBenar dalam satu temu bual eksklusif.

Astora merancang untuk berkongsi hasil penulisan dan dokumentari video mengenai pengembaraannya itu.

"Mudah-mudahan, ia akan disiarkan di Thailand. Saya juga berharap orang ramai akan menikmatinya dan bersama-sama menyokong perjuangan saya mendapatkan keamanan," katanya.

Perjalanan berisiko


Astora berdepan dengan cabaran sepanjang pusingan pertama perjalanannya.

"Terdapat militan di Selatan Thailand dan anggota tentera yang menentang idea pengisytiharan damai kerana mereka fikir mereka belum cukup bersedia untuk menyelesaikannya," katanya.

Pengembaraan Astora bermula dengan kayuhan basikal selama enam hari dari Pattani ke Narathiwat bersama-sama dengan lebih 30 penunggang basikal dari Universiti Mahidol di Bangkok, Universiti Songkhla di Pattani dan penunggang basikal dari Selatan Thailand.

Pada mulanya, Astora terpaksa berpayah dalam kayuhannya dan sering ditinggalkan kerana beliau bukan seorang penunggang basikal jarak jauh.

"Ia adalah satu perjalanan yang berisiko kerana saya cenderung menjadi sasaran beberapa militan terbabit kerana mereka tahu siapa saya dan misi saya," katanya. "Akhirnya, pada hari terakhir ekspedisi ini di Selatan Thailand, saya dapat berbasikal dengan konsisten, menerajui seluruh pasukan itu sepanjang hari berkenaan."

Pada 1 Februari, Astora berpisah dengan pasukan itu dan menunggang solo dari Thailand ke Malaysia - perjalanan 17 hari membabitkan lebih daripada 800 km (497 batu) untuk sampai ke Kuala Lumpur.

"Berbeza dengan ekspedisi pertama saya di Thailand, saya tidak mengalami sebarang ancaman militan di Malaysia, tetapi saya terpaksa bersabar dengan cuaca yang melampau dan perlu menjaga diri sendiri sekiranya berlaku kecemasan," katanya.

Cabaran di sepanjang jalan

Kemudian, beliau bertemu penunggang basikal Malaysia yang lain. Astora menceritakan tentang keseronokannya menunggang basikal ke seluruh negeri-negeri di Malaysia, dan berkata beliau telah dilayan dengan penuh mesra oleh penduduk tempatan dan peminat penulisannya, terutamanya di kawasan luar bandar.

"Saya tidak menjangkakan layanan sedemikian daripada penduduk tempatan di sini. Mereka memberikan saya tempat tinggal untuk bermalam dan makanan serta saya bersyukur  dikelilingi oleh mereka yang bermurah hati," katanya.

Selain mesej keamanan, Astora berhasrat untuk menyebarkan idea tentang hidup sihat.

Setahun untuk keamanan

Astora meneruskan ekspedisinya ke selatan Malaysia, dengan berbasikal ke Singapura dan melakukan perjalanan pulang ke Thailand melalui negeri-negeri di Malaysia seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Astora menjangkakan perjalanannya mengambil masa setahun dengan  melalui Kemboja, Vietnam, Laos, Myanmar, Indonesia, Brunei, Filipina dan Timor Leste.

Sambil Astora berbasikal demi mencapai keamanan, junta Thai terus cuba memujuk kumpulan dan puak pembebasan supaya meneruskan rundingan damai rasmi sejak diadakan  buat pertama kalinya pada Disember 2013, semasa dipimpin kerajaan awam.

Kerajaan menetapkan Jun 2016 sebagai tarikh akhir untuk menandatangani perjanjian damai, tetapi Leftenan Jeneral Nakrob Boonbuathong, ahli pasukan perunding Thailand, tidak menyatakan apa yang akan berlaku jika kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan.

Konflik di wilayah itu berlanjutan sejak sekian lama dan telah menyaksikan lebih daripada 6,000 orang terbunuh sejak 2004.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.