Malaysia Hantar Pulang Wartawan Australia Tanpa Didakwa

Hata Wahari
2016.03.15
Kuala Lumpur
160314-my-australian620 Menteri Luar Australia, Julie Bishop (kiri) berjabat tangan dengan rakan sejawatannya dari China Wang Yi selepas sidang media di Beijing, Feb 17, 2016. Minggu ini, Julie telah menyuarakan kebimbangan mengenai tahanan ringkas dua wartawan Australia di Malaysia.
AFP

Malaysia pada Selasa menghantar pulang tanpa mendakwa dua wartawan Australian Broadcasting Corporation (ABC) yang ditahan polis negara itu, selepas didakwa menyeberangi garisan keselamatan untuk menyoal Perdana Menteri Najib Razak berkaitan skandal kewangan melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Wartawan program Four Corners, Linton Besser dan jurukamera Louie Eroglu yang ditahan pada malam Sabtu lepas, dihantar pulang mengikut Seksyen 8(3)(h) Akta Imigresen dengan menaiki pesawat pada pukul 10.25 pagi dari Kuching ke Singapura.

Di bawah seksyen itu, imigran atau mereka yang berada di Malaysia perlulah mengikut undang-undang yang telah ditetapkan oleh negara itu.

Linton dan Louie ditahan di Kota Sentosa, Kuching, selepas mengingkari arahan polis supaya tidak melanggar laluan keselamatan ketika Najib melawat sebuah masjid.

Peguam tempatan bagi kedua wartawan berkenaan, Albert Tang ketika dihubungi BeritaBenar menegaskan tindakan mengusir keluar Linton dan Louie adalah hak kerajaan tetapi bukanlah satu tindakan yang perlu dilakukan.

Albert menambah tindakan polis menahan dan menyoalsiasat, pada dasarnya, tidak perlu memandangkan mereka hanya mengajukan soalan kepada Najib.

“Apa salahnya untuk bertanya soalan? Saya melihat ramai wartawan berbuat demikian setiap masa tetapi mereka tidak ditahan, disoalsiasat serta didakwa di mahkamah,’’ persoal peguam itu.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Dev Kumar berkata, kedua-dua wartawan tersebut dilepaskan dengan jaminan polis selepas kenyataan mereka diambil polis.

“Siasatan terhadap dua lelaki itu dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan Selasa.

Beliau menambah, kertas siasatan polis telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Isnin dan keesokannya mendapat arahan bahawa tiada pendakwaan akan dibuat terhadap mereka.

"Sebaliknya Timbalan Pendakwa Raya mengarahkan kedua-duanya keluar dari negara ini," katanya.

Pada malam Isnin, polis melalui sistem pesanan ringkas Whatsapp memaklumkan wartawan tempatan yang kedua-dua wartawan Australia itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuching pada pagi Selasa.

‘Kembali sebagai pelancong’


Mengulas mengenai insiden itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamed berkata, kedua-dua wartawan ABC itu bebas untuk kembali ke Malaysia sebagai pelancong.

“Bila mereka dihantar pulang, bermakna mereka telah melakukan sesuatu yang salah, apabila mereka kembali semula, kita akan lihat, selagi mereka tidak melanggar sebarang undang-undang mereka amat dialu-alukan,’’ katanya sambil menambah Linton dan Louie sepatutnya memohon permit terlebih dahulu sebelum menjalankan tugas mereka.

“Di Malaysia, wartawan asing tidak boleh sekadar masuk ke negara ini dan menganggap mereka boleh membuat kerja mereka tanpa melihat peraturan yang ditetapkan, terutamanya soal imigran,” tambah Nur Jazlan.

Sementara itua, ABC yang berpangkalan di Australia mempertahankan tindakan dua kru penerbitan beritanya menerusi satu kenyataan yang disiarkan di laman web syarikat media itu.

"Mereka tidak melakukan sebarang kesalahan di Kuching. Mereka hanya menjalankan tugas-tugas kewartawanan. Kejadian ini membuktikan adalah penting mempertahankan kebebasan media, termasuk hak untuk menyoal pihak kuasa.

"Linton dan Louie akan meneruskan kerja mereka, menyiasat apa yang berlaku untuk Four Corners. Kami harap untuk melihat laporan penuh mereka dalam minggu akan datang,” kata pengarah beritanya Gaben Morris.

Menteri Luar Australia Julie Bishop semasa mengadakan lawatannya ke Fiji berkata, negara itu telah membangkitkan kes dua wartawan ABC di peringkat tertinggi dengan kerajaan Malaysia, lapor agensi berita Associated Press.

"Saya sentiasa mengambil berat di mana terdapat contoh tindakan keras ke atas kebebasan bersuara, dalam sistem demokrasi umpamanya, dan saya juga bimbang mengenai kebebasan terhadap wartawan yang perlu menjalankan tugas mereka di merata tempat di seluruh dunia," AP memetik Julie sebagai berkata.

Phil Robertson, Timbalan Pengarah, Bahagian Asia, Human Rights Watch berkata, walaupun polis menyatakan kedua-dua wartawan Australia itu tidak didakwa tetapi ia tidak mengubah hakikat bahawa reaksi awal tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa menahan mereka amat mengejutkan.

“Ini menunjukkan sejauh mana pihak berkuasa sanggup melindungi Perdana Menteri daripada sebarang bentuk soalan tegas mengenai tindakannya. Adalah memalukan apabila kerajaan Malaysia nampaknya bersedia untuk mencarik lagi reputasinya yang sudah pun terjejas sebagai negara demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Belia berkata, dengan penutupan The Malaysian Insider dan penangkapan dua wartawan Australia itu membuktikan kebebasan media menjadi semakin terancam di Malaysia.

Linton yang ditemui wartawan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, semasa hendak berlepas ke Singapura memberitahu yang mereka tidak merasa marah terhadap negeri itu ataupun penduduknya.

“Kami menyukai Sarawak, negeri ini cantik dan penduduknya ramah, kami juga merasa gembira dakwaan terhadap kami telah digugurkan,’’ katanya seperti dilaporkan media tempatan.

Linton bagaimanapun enggan mengulas mengenai soalan yang hendak dikemukakannya kepada Najib, sambil memohon maaf berkata “Saya juga wartawan tetapi saya tidak boleh menjawab soalan tersebut, tidak boleh pada masa ini,’’

Dalam laman twitternya, Linton menulis, @Johnnyturk [Louie] dan saya akan berlepas dari Kuching, Sarawak. Beberapa hari yang sangat pelik di pekan pinggir sungai yang menawan. Terima kasih kepada semua.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.