Malaysia Destinasi Pilihan Lelaki Asing Yang Diusir Keluar Turki

N. Natha
2017.05.19
Kuala Lumpur
170503-MY-ARREST620.jpg Anggota Polis Diraja Malaysia dari Unit Elit Taktikal Berprofil Tinggi Memerangi Keganasan beraksi semasa mengambil bahagian dalam perarakan sambutan Hari Polis Ke-210 di Kuala Lumpur pada 25 Mac 2017.
AFP

Kira-kira 30 lelaki dari pelbagai negara yang dipercayai mempunyai kaitan dengan gerakan keganasan telah memasuki Malaysia sejak 2015, iaitu selepas dihantar pulang, dan ramai daripada mereka berasal dari Turki, kata Ketua Anti-Keganasan Polis Malaysia kepada BeritaBenar.

Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua Bahagian memerangi keganasaan, Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia berkata, kira-kira 10 orang lelaki telah ditahan dan disoal siasat oleh pihak berkuasa Malaysia.

Mereka yang dikehendaki di negara lain atau yang ada hubungan dengan kumpulan militan telah dihantar pulang oleh pihak berkuasa Malaysia, kata Ayob.

"Orang mencurigakan dari negara-negara Arab, Indonesia dan beberapa negara lain di dunia yang diarahkan keluar dari Syria menuju ke Malaysia, kerana negara ini adalah destinasi pilihan mereka," katanya kepada BeritaBenar lewat Khamis.

Ayob berkata kebanyakan lelaki memasuki Malaysia dari Turki, pintu masuk utama ke Syria bagi pejuang asing yang ingin menyertai kumpulan pengganas Negara Islam (IS) dan kumpulan pengganas lain. Undang-undang Turki membolehkan suspek yang ditangkap kerana cuba memasuki Syria, membuat pilihan ke mana mereka hendak dihantar.

"Kebanyakan mereka memilih Malaysia kerana ia merupakan salah satu destinasi dengan peraturan-peraturan yang selesa serta mengalu-alukan pelawat dari mana-mana negara," katanya.

Pada Jun 2016, Malaysia menjadi sasaran serangan pengganas apabila sebutir bom tangan dilemparkan ke arah kelab malam Movida yang mencederakan lapan orang. Dua lelaki Malaysia mengaku bersalah melakukan serangan berhampiran Kuala Lumpur, dan dijatuhkan hukuman penjara selama 25 tahun seorang.

Muhammad Wanndy Bin Mohamed Jedi, perekrut prolifik bagi IS di Malaysia sebelum beliau terbunuh dalam satu serangan pesawat ‘drone’ di Syria bulan lepas, mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Pengusiran


Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar pada 4 Mei lalu  mencabar warga asing yang cuba  mengelakkan daripada pihak berkuasa negara asal mereka dengan memasuki Malaysia.

"Kami tidak mengalu-alukan mereka yang menyebabkan masalah di sini. Kami tidak mengalu-alukan warga asing yang datang dan membawa masalah kepada rakyat dan negara kita, " katanya, mengulas mengenai penahanan tiga rakyat Turki yang telah pun dihantar pulang.

Ketiga-tiga mereka, ahli lembaga universiti Turki, pengetua sekolah antarabangsa di Ipoh dan seorang ahli perniagaan, telah dihantar pulang ke Ankara pada 11 Mei kerana dikatakan  mempunyai kaitan dengan kumpulan yang dilabel oleh kerajaan Turki sebagai Pertubuhan Pengganas Fethullah.

Kumpulan hak asasi dan organisasi antarabangsa menyelar keputusan Malaysia yang secara paksa menghantar pulang ketiga-tiga lelaki berkenaan ke Turki dengan berkata kehidupan mereka berada dalam bahaya. Anggota keluarga mereka menuduh pihak berkuasa gagal untuk memberitahu mereka tentang pengusiran orang yang tersayang yang dibuat 'di tengah-tengah malam.

Sementara itu, Ayob berkata pihak berkuasa Malaysia mempunyai masa yang sukar semasa berurusan dengan pengusiran berulang dari Turki, kerana pihak berkuasa di Kuala Lumpur sering tidak dimaklumkan.

"Malah pihak berkuasa Turki tidak [memberitahu kami]... Kadang-kadang polis menerima notis pada hari orang itu mendarat di sini, " katanya. " Selalunya terjadi pada saat akhir ... sudah terlambat."

Penguatkuasaan Undang-undang


Azmi Hassan, seorang penganalisa geo-politik di Universiti Teknologi Malaysia di Johor Bahru, memberitahu BeritaBenar bahawa undang-undang yang sedia ada telah membolehkan pegawai-pegawai untuk menangkap rakyat Malaysia dan warga asing sebelum tindakan keganasan boleh dilakukan.

"Atas sebab itu, perkongsian risikan di kalangan negara sangat penting, jadi bahagian memerangi keganasan E8 boleh mendapatkan maklumat awal dalam mengejar tetamu yang tidak diingini di sini," katanya, merujuk kepada unit polis. "Ini menunjukkan betapa seriusnya usaha pihak berkuasa dalam mengelak aktiviti militan."

Sejak 2014, sekurang-kurangnya 31 militan IS berkerakyatan Malaysia terbunuh di Syria atau Iraq. Pada masa ini kira-kira 56 rakyat Malaysia masih berjuang di Syria, menurut perangkaan kerajaan yang diperolehi dengan BeritaBenar. Sejak tahun 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 300 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, yang mana 66 telah pun dibebaskan.



Hata Wahari di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.