Lima Belas Anggota Tentera Ditahan Berhubung Aktiviti Keganasan Sejak 2013
2016.10.03
Kuala Lumpur

Lima belas anggota tentera Malaysia telah ditahan kerana didakwa terbabit dalam aktiviti keganasan sejak 2013, kata Ketua Anti-Keganasan Polis negara, Ayob Khan Mydin Pitchay.
Daripada 15, tiga telah dibebaskan selepas siasatan dijalankan, lima didakwa kerana terlibat dalam aktiviti berkaitan keganasan, dan tujuh yang lain masih ditahan di bawah undang-undang anti-jenayah yang meliputi tindakan keganasan, Ayob memberitahu BeritaBenar.
"Kami sedang bekerjasama dengan pihak tentera mengenai perkara ini. IS mempengaruhi semua orang; anggota tentera dan polis tidak terkecuali, " katanya, merujuk kepada apa yang dipanggil kumpulan Negara Islam.
Pada 26 September lalu, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein dipetik sebagai berkata bahawa kira-kira satu peratus daripada mereka yang dipercayai menyokong IS yang telah ditangkap setakat ini adalah anggota tentera.
Beliau bagaimanapun, tidak memberikan angka sebenar anggota tentera, atau jumlah mereka yang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan IS. Tetapi beliau berkata, pihaknya memandang perkembangan tersebut dengan serius.
"Kami sedang berusaha bersungguh-sungguh. Kor Agama Tentera (Kagat) dan Perisikan Tentera telah ditugaskan untuk memantau dan mengumpul risikan terhadap anggota tentera yang mungkin dipengaruhi oleh propaganda militan, " akhbar tempatan The Star memetik beliau sebagai berkata. "Sesiapa yang mempunyai akses kepada komputer terdedah kepada ancaman Daesh," katanya, dengan menggunakan nama lain bagi IS.
"Sama ada mereka anggota tentera, anak lelaki kita, anak-anak kita, atau seorang pemandu bas - mereka berpotensi mempunyai keupayaan untuk menjalankan ancaman itu," katanya selepas satu seminar ketenteraan peringkat antarabangsa di Kuala Lumpur.
Sembilan puluh rakyat Malaysia telah menyertai kumpulan militan di Syria dan Iraq, dengan kira-kira 230 orang, yang dipercayai anggota atau penyokong IS ditahan di Malaysia, kata pegawai.
Dilahirkan kembali
Tahap pendidikan rendah dan pengetahuan mengenai agama yang cetek membuatkan beberapa anggota tentera menjadi sasaran mudah bagi IS yang radikal, kata bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia Hamid Bador kepada BeritaBenar.
"Pada masa yang sama beberapa anggota tentera yang sesat kembali ke arah Islam dan cuba mengambil jalan mudah untuk menebus dosa. Maka, jalan yang paling mudah ke syurga adalah untuk menjadi seorang mujahidin dan mati syahid," katanya memberitahu BeritaBenar.
Beliau berkata terdapat keperluan untuk program deradikalisasi yang khusus bagi anggota tentera. "Gerakkan mereka yang berpangkat rendah dalam aktiviti ketenteraan masa aman. Jangan biarkan mereka melepak terlalu lama," katanya.
Ahmad El-Muhammady, seorang penganalisa yang membantu pihak berkuasa Malaysia dalam program deradikalisasi, berkata, latar belakang suspek yang terlibat di dalam keganasan dari pelbagai latar belakang dan ini menunjukkan bahawa propaganda IS telah menular di setiap lapisan masyarakat.
"[Bagi] saya ini bukan mengenai jumlah dan peratusan. Ini adalah mengenai kewujudan ideologi radikal yang menyerap ke dalam tentera dan pasukan keselamatan, tidak kira berapa ramai daripada mereka yang terlibat," katanya kepada BeritaBenar.
Majoriti tahanan adalah mereka bersimpati dengan penderitaan umat Islam di negara-negara yang dilanda perang seperti Syria dan mereka "cuba untuk membantu dengan ikhlas," katanya.
"Dalam kes anggota tentera, mereka merasakan bahawa mereka boleh memberi bantuan di dalam perjuangan rakyat Syria kerana mereka mempunyai kemahiran dalam pertempuran dan pakar menggunakan senjata, serta mempunyai kecergasan fizikal. Dengan sengaja atau tidak sengaja, mereka telah melanggar undang-undang negara, "katanya.
Menurut Ayob, seramai 58 rakyat Malaysia kini berjuang untuk IS di Syria atau Iraq: 32 lelaki, 10 wanita dan 16 kanak-kanak.
Daripada 90 orang yang menyertai kumpulan pelampau di Timur Tengah sejak 2013 itu, 24 dipercayai telah mati terbunuh di medan perang, dengan lapan ditahan apabila kembali ke Malaysia, kata Ayob.
Sejak 2013, pihak berkuasa telah menahan sekurang-kurangnya 230 orang yang disyaki anggota IS di negara itu, dan telah memberi amaran bahawa rakyat Malaysia yang kembali dari perjuangan di medan pertempuran di Syria atau Iraq, boleh melancarkan serangan keganasan di tanah air.
Pada akhir Jun, IS mendakwa melakukan serangan pertama di Malaysia apabila dua penunggang motosikal melemparkan bom tangan yang meletup dan mencederakan lapan orang di sebuah kelab malam di bandar Puchong, Kuala Lumpur.