Malaysia Berdepan Dengan Tugas Jejaki Pemindahan Dana IS
2016.04.18
Penang

Pihak berkuasa Malaysia berdepan dengan tugas mencabar dalam menggagalkan pemindahan aliran wang tunai oleh kumpulan militan Negara Islam (IS) yang mungkin dihantar kepada sayapnya di Asia Tenggara bernama, Katibah Nusantara.
Pihak berkuasa mempunyai masalah sukar untuk mengesan dana itu kerana rangkaian pasaran wang gelap di Asia Tenggara, serta kemunculan sistem hawala yang sukar difahami.
"Ia akan menjadi satu kes mudah jika dana itu disalurkan melalui bank konvensional, kerana ia boleh dikesan melalui Rekod Transaksi Mencurigakan (STR) tetapi akan menjadi lebih sukar jika diedarkan melalui sistem lain," pegawai polis cegah keganasan Malaysia, Ayub Khan Mydin Pitchay memberitahu BeritaBenar.
"Mereka juga boleh menggunakan kaedah yang paling mudah dengan menggunakan perkhidmatan kurier atau cara purba yang sukar difahami dan rumit untuk memindahkan wang bernama sistem hawala," katanya.
Sistem hawala, yang sering digunakan di Timur Tengah dan Afrika Utara, adalah satu cara permindahan wang melalui rangkaian broker besar tanpa wang perlu bergerak.
Akhbar harian tempatan harian berbahasa Inggeris The Sun, baru-baru ini melaporkan bahawa IS telah memperuntukkan lebih daripada AS$73 ribu (RM 292,000) kepada Katibah Nusantara untuk membiayai pengeboman dan serangan di lokasi strategik di negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Para pemimpin Katibah Nusantara menekan pengikut mereka untuk melakukan serangan serupa dengan serangan 14 Jan di Jakarta yang mengakibatkan lapan orang terbunuh, The Sun melaporkan sambil memetik sumber bahagian perisikan Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang berkata, mereka mendapat maklumat dari rakan di peringkat antarabangsa.
Katibah Nusantara mempunyai pengikut IS di negara berbahasa Melayu negara - terutamanya Malaysia, Singapura dan Indonesia. Kira-kira 1,000 orang dari Asia Tenggara telah mengembara ke Syria dan Iraq untuk menyertai kumpulan militan di sana menjelang akhir 2015, kata Jabatan Negara AS.
Tiada negara tertentu
Ayub berkata, hasil risikan mendapati ada pindahan (wang) secara samar-samar. Beliau berkata polis tidak dapat mengesahkan sama ada dana itu telah dipindahkan ke mana-mana kumpulan dalam Malaysia.
"Kami hanya dimaklumkan bahawa ada dana yang kononnya telah disalurkan ke rantau Asia Tenggara, tetapi ia tidak khusus kepada negara mana," katanya.
Sementara itu, Professor Kriminologi Universiti Sains Malaysia (USM) P. Sundramoorthy berkata pergerakan dana dan pengagihan adalah rumit.
"Saya rasa ini bukan satu tugas yang mudah bagi pihak berkuasa untuk mengenal pasti dan mengesan pengedaran dana sebagaimana ianya berlaku, memandangkan hakikat bahawa mereka tidak diagihkan sekaligus, dengan jumlah besar.
"Dalam beberapa kes, dana tersebut dipindahkan dalam jumlah yang sangat kecil dan terdapat juga yang dana yang disalurkan menggunakan institusi kewangan konvensional," katanya kepada BeritaBenar pada Isnin.
‘Pemantauan diperlukan’
Malaysia mempunyai lebih daripada 400 pengurup mata wang, dan kebanyakan mereka menawarkan perkhidmatan pemindahan wang.
Persatuan Perniagaan Perkhidmatan Wang Malaysia (MAMBS), yang mewakili semua pemegang lesen di bawah Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011, menegaskan semua anggotanya meminta pelanggan mereka untuk mengemukakan dokumen pengenalan diri bagi urus niaga yang melebihi RM3,000 (AS$769), menurut satu kenyataan.
"Ini bertujuan untuk mematuhi peraturan, selaras dengan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang memerlukan pengurup berlesen untuk mengenal pasti serta mengesahkan transaksi pelanggan secara menggunakan perkhidmatan penghantaran wang," kata kenyataan akhbar yang tidak bertarikh di laman webnya.
Sundramoorthy berkata, adalah penting pemantauan ketat dijalankan, bersama-sama dengan perkongsian risikan antara agensi penguatkuasaan undang-undang untuk membendung ancaman organisasi keganasan.