Azam Baki teraju Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia setahun lagi

Pelantikan semula kali kedua Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu disemak di Parlimen bagi menggalakkan akauntabiliti dan elak pengaruh kerajaan, kata pakar.
Minderejeet Kaur & Iman Muttaqin Yusof
2024.05.10
Kuala Lumpur
Azam Baki teraju Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia setahun lagi Perdana Menteri, Anwar Ibrahim (kiri) bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki (kanan) pada Sidang Kemuncak Anti-Rasuah Kebangsaan 2024 di Kuala Lumpur, 29 Februari 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Ketua agensi anti-rasuah Malaysia, Azam Baki telah dilanjutkan tempoh perkhidmatannya sehingga Mei tahun depan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim di tengah-tengah kebimbangan ia berpotensi mendorong tangkapan bermotif politik ke atas para pengkritik kerajaan.

Keputusan itu diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali yang menyatakan pelantikan semula Azam ke jawatan tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan berkuat kuasa mulai 12 Mei. Ia juga merupakan sambung perkhidmatan kedua bagi Ketua Pesuruhjaya itu.

Selain itu, pelanjutan tempoh perkhidmatan Azam mendapat kritikan daripada badan pemantau rasuah negara itu yang mengatakan perlantikan semula tersebut sepatutnya dibuat oleh Parlimen sebagai sebuah badan yang bebas dan tidak menjadi kuasa mutlak perdana menteri untuk membuat pilihan.

"Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan semula Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tempoh satu tahun berkuat kuasa mulai 12 Mei 2024," kata Mohd Zuki dalam kenyataan pada Jumaat.

Azam yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-61 pada 12 Mei, sebelum ini terlibat dalam kontroversi pada 2022 membabitkan pemilikan hampir dua juta saham dalam sebuah syarikat tersenarai meskipun penjawat awam hanya dihadkan pemegangan ekuiti sejumlah RM100,000.

Beliau telah menafikan sebarang salah laku atas dakwaan itu, dengan orang awam mempersoal kemampuan seorang penjawat awam seperti Azam yang mengetuai agensi pencegahan negara itu mampu membeli saham bernilai jutaan ringgit.

Bagaimanapun, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah membersihkan nama Azam daripada sebarang dakwaan rasuah atau salah guna kuasa selepas berpuas hati dengan penjelasannya.

Pada tahun yang sama isu itu menjadi hangat, Azam menjelaskan bahawa adiknya membuat pembelian menggunakan akaun sahamnya dan beliau tidak mendapat manfaat kewangan daripada saham tersebut.

Azam mengetuai usaha membanteras rasuah membabitkan tokoh politik terkemuka seperti bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dan juga bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang berusia 98 tahun, yang dilihat sebagai musuh lama Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau telah dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Latheefa Koya selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan, dengan tahun lepas, kontrak Azam telah disambung oleh pentadbiran Anwar selama setahun.

Sambil melahirkan rasa terima kasih, Azam menyampaikan komitmennya untuk menjunjung amanah yang diberikan kepadanya dan melaksanakan tugas dengan penuh integriti.

"Menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan pelantikan semula saya ke jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

"Saya akan terus memastikan amanah ini dilaksanakan sepenuhnya dan menjalankan tanggungjawab itu dengan penuh integriti," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau turut menggesa semua rakyat Malaysia dan agensi kerajaan agar bersama dengan SPRM untuk mewujudkan negara bebas rasuah.

Dipuji penganalisis, dikritik pemerhati

Sementara itu, Pengerusi badan pemantau kerajaan Engage, Thomas Fann menyatakan kebimbangan terhadap kebebasan SPRM.

“Kebebasan SPRM sentiasa menjadi kebimbangan utama dan kerajaan Madani [kerajaan Anwar] yang dipimpin oleh Perdana Menteri yang kononnya “reformis” yang sepatutnya mengambil langkah untuk menjadikan agensi ini lebih bebas.

"Calon bagi jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu ditapis oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen merentas parti bagi memastikan hanya mereka yang layak sahaja disenarai pendek untuk dipilih oleh Perdana Menteri," katanya kepada BeritaNews.

Beliau berkata pelanjutan perkhidmatan Azam yang aktif bertindak terhadap musuh politik perdana menteri seperti Mahathir, Daim dan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, memberikan persepsi kepada orang ramai bahawa SPRM di bawah terajunya terbukti menjadi senjata yang berguna.

Katanya persepsi sedemikian menyumbang kepada kestabilan politik di Malaysia kerana ahli politik pembangkang, terutamanya yang terpalit dengan dakwaan rasuah beralih sokongan kepada parti pemerintah untuk mengelakkan diri daripada siasatan SPRM.

Cynthia Gabriel, Pengarah Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) berkata pelantikan semula itu "sangat mengecewakan" kerana kerajaan Madani telah berjanji untuk mengkaji semula proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Beliau berkata perdana menteri tidak seharusnya mempunyai hak mutlak dalam proses pelantikan ketua suruhanjaya itu.

"Parlimen adalah badan yang lebih bebas kerana terdapat banyak semak dan imbang.... melibatkan Parlimen dalam proses [pelantikan] menggalakkan akauntabiliti dan mengurangkan pengaruh kerajaan ke atas jawatan penting tersebut," katanya kepada BenarNews.

Azmi Hassan dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, berkata: "Seperti apa yang Anwar katakan, beliau sangat berpuas hati dengan prestasi Azam pada tahun lalu dan ia menjadi sebab utama untuk dilanjutkan setahun lagi perkhidmatannya.”

"Anwar melihat bahawa beliau boleh bekerjasama dengan Azam," katanya kepada BenarNews, sambil menambah bahawa hubungan kerja yang baik adalah penting untuk memastikan program dan inisiatif rasuah seperti baru-baru ini kerajaan melancarkan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) untuk berfungsi dengan berkesan.

Oleh kerana itu, beliau berkata inisiatif NACS yang bertujuan untuk meningkatkan tadbir urus dan integriti dalam perkhidmatan awam dikaitkan dengan SPRM dan Anwar mungkin mahu memastikan ia diikuti.

Oh Ei Sun, felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata di bawah kepimpinan Azam, SPRM telah bersungguh-sungguh dalam mendakwa tokoh yang terpalit rasuah, sama ada besar atau kecil, menunjukkan bahawa beliau melaksanakan tugas dengan baik.

Mengenai dakwaan bahawa SPRM digunakan untuk mencantas saingan lama Anwar, Oh berkata Malaysia adalah sebuah negara membangun, di mana rasuah dan pakatan sulit merupakan perkara biasa.

"Tidak hairanlah ramai ahli politik atau kroni mereka akan disiasat dan didakwa sebaik sahaja mereka tidak lagi berkuasa," katanya kepada BenarNews.

Pada 8 Mei, badan pemantau, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berkata, janji ke-15 dalam Buku Harapan, manifesto Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Umum ke-15 bertujuan untuk memperkukuh integriti institusi.

Ia menyatakan bahawa pelantikan ke jawatan penting seperti dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), SPRM dan polis perlu menjalani semakan di Parlimen terlebih dahulu.

Pengguna sosial media Ismail Abinting telah mempersoalkan perlantikan semula itu di X dengan bertanya: "Di mana reformasi?", merujuk kepada pembaharuan yang dijanjikan pentadbiran Anwar.

Bagi Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berkata pelanjutan tempoh perkhidmatan Azam itu benar-benar tidak kelihatan baik kepada kerajaan apabila digandingkan dengan gesaan untuk meletakkan jawatan sebelum ini.

“Pelantikan semula pertama tahun lalu sudah bermasalah tetapi dikompromi demi kes yang berterusan. Tetapi pelantikan semula kedua mengundang kritikan kepada kerajaan. Tiada orang lain lagikah yang layak menyandang jawatan itu?

“Saya tidak berada dalam kedudukan untuk mengulas sebab pelanjutan itu, tetapi syak wasangka saya ialah beliau (Azam) bekerja dengan baik dengan kerajaan sekarang.

“Saya tidak pasti sama ada prestasinya cemerlang tetapi ia pastinya selari dengan agenda kerajaan dalam memerangi rasuah termasuk jerung besar,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.