1MDB: Mahkamah Tolak Permohonan Menteri Besar Selangor
2018.01.24
Kuala Lumpur

Sebuah mahkamah Malaysia pada Rabu menolak permohonan semakan kehakiman Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali yang mahu mengklasifikasikan semula laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 sebagai dokumen awam.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Kamaludin Md Said dalam keputusannya menegaskan permohonan yang dibuat oleh Azmin itu tidak mempunyai merit serta beliau tidak mempunyai hak di sini undang-undang “locus standi” untuk mencabar keputusan ketua audit negara serta membuat semakan tersebut.
“Sebab-sebab yang dikemukakan oleh pemohon menunjukkan bahawa beliau tidak mempunyai locus standi dan membawa tindakan ke mahkamah adalah sangat remeh,” kata Kamaludin semasa menolak permohonan semakan yang dibuat oleh Azmin, yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat [PKR].
Di mahkamah yang sama juga, Hakim yang sama turut menolak permohonan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Muhammad Zahid Md Arip yang turut membuat permohonan semakan yang sama.
Azmin telah memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menuntut suatu deklarasi bahawa tindakan Perdana Menteri, Najib Razak mengarahkan Ketua Audit Negara Ambrin Buang untuk meletakkan laporan audit 1MDB sebagai 'rahsia rasmi' merupakan ‘konflik kepentingan’yang menguntungkan Najib sebagai pengerusi lembaga penasihat 1MDB.
Beliau juga menuntut laporan audit akaun 1MDB yang diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi menurut Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) ditukar status kepada ‘dokumen awam’.
Azmin turut menuntut satu perintah mandamus yang memerlukan responden atau agennya mengklasifikasikan semula laporan 1MDB yang patut didedahkan kepada orang ramai.
Najib, Ambrin dan Kerajaan Malaysia dinamakan responden kepada semakan kehakiman tersebut.
Sementara itu, Muhammad Zahid dalam permohonannya meminta mahkamah membuat deklarasi bahawa keputusan untuk meletakkan laporan audit itu dibawah OSA menyalahi undang-undang dan di luar skop undang-undang seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, OSA dan Akta Audit 1957.
Muhammad Zahid juga memohon deklarasi bahawa keputusan untuk meletakkan laporan audit itu dibawah OSA tidak mengikut perlembagaan.
Azmin ketika ditemui menegaskan bahawa laporan audit akaun 1MDB seharusnya ditukar klasifikasi sebagai dokumen awam bagi mendapatkan penjelasan sebenar mengenai isu dana negara sarat dengan hutang itu.
“Sebagai ahli parlimen saya amat terkejut kerana tidak dibenar untuk mendapatkan akses bagi menyemak laporan itu, dan sekaligus memberi penjelasan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui di bangunan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Rabu.
Azmin bagaimanapun memberitahu beliau akan mengadakan rundingan dengan barisan peguamnya untuk membuat keputusan sama ada untuk membuat rayuan dengan membawa kes berkenaan ke Mahkamah Rayuan.
Azmin diwakili peguam Tommy Thomas manakala Najib, Ambrin dan kerajaan diwakili oleh Timbalan Ketua Bahagian Sivil II Jabatan Audit Negara, Suzana Atan.
Najib semasa merasmikan InvestMalaysia 2018 mengakui bahawa memang berlaku kegagalan dan berlaku kelemahan urus tadbir dalam syarikat dana negara 1MDB yang kini sarat hutang sehingga RM52 bilion.
“Saya tidak akan ketepikan isu ini, memang benar syarikat itu gagal, terdapat kelemahan dalam urus tadbir dan memang patut saya merasa bimbang,” katanya semasa merasmikan InvestMalaysia 2018 di Kuala Lumpur pada Selasa.
Dana pelaburan 1MDB yang diilhamkan oleh Najib itu telah disiasat di sekurang-kurangnya enam buah negara.
Najib yang mempengerusikan lembaga penasihat dana pelaburan itu telah menafikan sebarang salah laku sejak Wall Street Journal melaporkan mengenainya pada Julai 2015.
Hampir AS$700 juta wang 1MDB telah didepositkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri itu menjelang pilihanraya umum Malaysia pada 2013.
Di Singapura, selain larangan ke atas individu dan bank berkaitan 1MDB, negara berkenaan juga telah mengenakan penalti kewangan berjumlah S$29.1 juta ke atas lapan buah bank, iaitu BSI Bank, Falcon Bank, DBS, UBS AG, Standard Chartered Bank, Coutts, Credit Suisse dan UOB kerana melanggar pelbagai peraturan anti pengubalan wang haram [AML].
Sementara itu, di Malaysia, masih tiada pendakwaan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam skandal 1MDB, yang turut menjadi tumpuan pihak berkuasa beberapa buah negara lain seperti Singapura, Switzerland dan juga Amerika Syarikat (AS)