Najib: Tidak Jual Kesucian Agama Islam Walaupun Baik dengan Trump

Hareez Lee
2017.12.22
Putrajaya
171222-my-baitulmuqaddis-620.jpg Sebahagian peserta Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis, yang diadakan di Masjid Putra, Putrajaya, 22 Disember, 2017.
(Hareez Lee/BeritaBenar)

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak pada Jumaat berkata hubungan baik beliau dengan Presiden Amerika Syarikat [AS] Donald J. Trump, tidak bermakna beliau sedia ‘menjual’ kesucian agama Islam dan menjejaskan prinsipnya sebagai umat Islam terutamanya dalam isu Palestin.

Katanya, walaupun beliau menerima layanan baik semasa lawatannya ke Rumah Putih pada September lalu, beliau tetap dengan prinsip tidak akan menggadai kesucian dan kepentingan Islam.

"Ya, saya disambut baik di Rumah Putih tapi dari segi prinsip saya tidak akan gadai kesucian Islam dan kepentingannya,” kata Najib semasa berucap di Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis, yang diadakan di Masjid Putra, di Putrajaya.

"Dalam apa juga kewajipan itu, wajib bagi kita memegang kepada prinsip pertama maqasid syariah iaitu menjaga agama. Baitulmuqaddis dan Masjid al-Aqsa adalah kota suci umat Islam. Oleh itu wajib bagi kita untuk memperjuangkan Baitulmuqaddis supaya bebas dari cengkaman zionis," kata Perdana Menteri itu, beberapa jam selepas Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) meluluskan usul menolak pengiktirafan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel oleh kerajaan Amerika Syarikat.  

Beliau berkata, Malaysia bukan negara peminta sedekah daripada mana-mana negara termasuk Amerika walaupun negara itu adalah sebuah negara kuasa besar.

"Kita ada maruah dan kehormatan. Kita tidak minta pinjaman daripada Amerika Syarikat, dalam banyak hal AS minta daripada kita, dia boleh kata tolong beli kapal terbang dia, boleh melabur di sana, maknanya Malaysia sudah membangun ke tahap boleh menjadi model kepada negara lain. Kita bukan lemah. Kita ada kekuatan apatah lagi jika umat Islam bersatu dalam negara kita," tambahnya lagi.

Sehubungan itu, Najib meminta umat Islam di seluruh dunia supaya bersatu dalam mempertahankan Baitulmuqaddis kerana negara Islam tiada cara lain untuk menyelesaikan isu Palestin selain menyatukan umat di serata dunia.

“Ini bukan pilihan, dalam isu lain ada pilihan tapi dalam isu ini kita tidak ada pilihan, ini wajib. Wajib kita tentang mereka, wajib kita bersatu," katanya sambal menambah yang Malaysia akan terus menyokong usaha berterusan sebuah negara Palestin yang bebas dan berdaulat dengan kembalinya kepada persempadanan sebelum 1967.

“Kita tidak mahu Palestin yang semakin mengecil. Kita mahu Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin,” tambahnya pada perhimpunan yang dihadiri hampir 3,000 orang termasuk pimpinan parti-parti politik dari parti pemerintah Barisan Nasional dan pembangkang.

Antara pemimpin parti pembangkang yang hadir adalah bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad, Ketua Pemuda Parti Se-Malaysia (PAS) Khalil Abdul Hadi yang juga anak kepada presiden PAS Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat Saifuddin Nasution.

Kehadiran mengejut Mahathir mendapat perhatian ramai yang berbaris untuk bersalaman dengannya. Namun beliau tidak memberikan ucapan dalam perhimpunan itu.

Najib turut menambah dengan berkata, Islam mempunyai penganut kira-kira 1.6 bilion iaitu jauh lebih ramai berbanding Yahudi yang hanya kira-kira 13 juta orang, penyatuan ummah umat Islam akan dapat menyelesaikan masalah Palestin dan Baitulmuqaddis.

Semasa Perhimpunan Agung PBB yang berlangsung pada Khamis, sebanyak 128 negara termasuk beberapa rakan AS mengundi usul untuk menolak pengiktirafan yang dibuat kerajaan Amerika Syarikat pimpinan Trump.

Dalam pengundian itu, sembilan yang lain termasuk AS sendiri dan Israel menentangnya. Tiga puluh lima negara lagi termasuk Filipina mengambil keputusan untuk tidak berpihak manakala 21 tidak hadir.

Malaysia sertai komuniti antarabangsa

Wakil Tetap Malaysia ke PBB di New York, Mohd Shahrul Ikram Yaakob, semasa berucap berkata, Malaysia menyertai komuniti antarabangsa dalam menyatakan kebimbangan negara dan menolak keputusan Amerika Syarikat untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

"Ia juga merupakan pelanggaran hak rakyat Palestin dan hak mereka untuk menentukan nasib sendiri," katanya pada sidang pleno ke-37 sesi khas darurat Perhimpunan Agung PBB yang bertajuk "Tindakan Israel yang tidak sah di Baitulmuqaddis Timur dan seluruh Wilayah Palestin yang diduduki ".

Trump telah mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel pada 6 Disember lalu, dengan menyatakan pemindahan Kedutaan AS di Tel Aviv ke kota suci umat Islam itu.

Pengumuman Trump itu dilihat tersasar jauh daripada polisi luar negara AS yang telah menerima konsensus bahawa nasib Baitulmuqaddis wajar ditentukan melalui rundingan, turut menyebabkan protes di serata dunia terutamanya di negara-negara Islam.

Baitulmuqaddis dianggap sebagai bandar suci bagi tiga agama utama: Kristian, Yahudi dan Islam. Israel mendakwa kesemua kawasan Baitulmuqaddis adalah ibu negaranya, sedangkan rakyat Palestin melihat Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara masa depan mereka. Umat ​​Islam di seluruh dunia menganggap Masjid Al-Aqsa, yang dikatakan terletak di tapak suci Yahudi iaitu Temple Mount, sebagai kota suci Islam ketiga.

Najib kemudian mengumumkan bahawa Malaysia akan meneruskan bantahan dengan mengadakan perhimpunan di masjid-masjid di seluruh negara pada setiap Jumaat ketiga setiap bulan.

Sementara itu, media antarabangsa melaporkan yang Israel enggan menerima resolusi PBB yang mengisytiharkan pengiktirafan AS bahawa Baitulmuqaddis adalah ibu negara tersebut sebagai terbatal dan tidak sah.

Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu, berkeras bahawa Baitulmuqaddis 'sentiasa' menjadi ibu negara Israel.

"Kami tidak terima resolusi ini. Baitulmuqaddis adalah ibu negara kami. Namun, saya hargai hakikat bahawa semakin banyak negara telah menerima perkara ini," katanya dalam satu video di Facebook.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.