Baitulmuqaddis: Malaysia, Negara Islam Asia Lain Kutuk Tindakan Amerika Syarikat

Staf BeritaBenar
2017.12.07
Washington DC
171207-Jerusalem-reacts-620.jpg Beberapa lelaki Yahudi ortodoks berdoa di sebuah tanah perkuburan Baitulmuqaddis di hadapan Masjid Al-Aqsa, kota suci Islam ketiga bagi umat Islam, 7 Dis, 2017.
[AP]

Pemimpin-pemimpin Indonesia, Malaysia dan Bangladesh, dengan kesemua negara itu mempunyai majoriti penduduk Islam, pada  Khamis mengutuk tindakan Presiden Amerika Syarikat  Donald Trump mengisytiharkan secara rasminya Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan pengumumannya bahawa Amerika Syarikat akan memindahkan kedutaannya ke kota suci umat Islam itu dari Tel Aviv.

Perubahan besar dalam dasar Amerika Syarikat mengenai isu meruncing Baitulmuqaddis, yang diumumkan oleh presiden Amerika Syarikat  pada Rabu, mengejutkan dunia Islam, yang telah sekian lama memperjuangkan isu berhubung mendapatkan satus negara bagi Palestin. Tindakan Amerika Syarikat  akan menjejaskan usaha mendapatkan keamanan selain berpotensi mencetuskan keganasan, kata pemimpin dan pemerhati di Asia.

"Indonesia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan satu pihak yang dibuat oleh Amerika Syarikat  dalam mengisytiharkan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel. Kami menggesa Amerika Syarikat  untuk mempertimbangkan semula keputusan itu, "kata Presiden Indonesia Joko ‘Jokowi’ Widodo pada Khamis.

"Pengiktirafan satu pihak sedemikian telah melanggar resolusi Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di mana Amerika Syarikat  adalah ahlinya. Ini boleh menjejaskan kestabilan keselamatan dunia," kata pemimpin negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam yang terbesar di dunia itu.

Tindakan boleh galakkan radikalisme: Pemerhati

Semasa mengumumkan keputusan itu di White House, Trump berkata, Amerika Syarikat akan menyokong penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin mengenai kota suci bagi tiga agama utama iaitu Kristian, Yahudi dan Islam.

"Yang paling utama, kami amat berharap keamanan, kegembiraan sejagat membara dalam setiap jiwa manusia. Dengan tindakan hari ini, saya menegaskan kembali komitmen pentadbiran saya sejak dari dahulu lagi untuk mewujudkan keamanan dan keselamatan di rantau itu pada masa depan," kata Trump.

Israel mendakwa keseluruhan Baitulmuqaddis sebagai ibu negaranya manakala penduduk Palestin melihat Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara mereka pada masa depan. Umat ​​Islam di seluruh dunia melihat Masjid Al-Aqsa, yang terletak di tapak paling suci Judaisme iaitu di Temple Mount, sebagai kota suci ketiga umat Islam.

Lima puluh tahun yang lalu pada Jun 1967, Israel telah merampas Baitulmuqaddis Timur, Tebing Barat dan wilayah lain selepas ia mengalahkan militan tiga negara berjiran Arab - Jordan, Mesir dan Syria - dalam Perang Enam Hari.

Pada 1995, Kongres Amerika Syarikat mengguna pakai Akta Pemindahan Semula Kedutaan Baitulmuqaddis, dengan meminta kedutaan itu untuk berpindah ke sana dari Tel Aviv menjelang 1999. Sebelum pengumuman pada Rabu, presiden-presiden Amerika Syarikat termasuk Trump telah mengeluarkan pengecualian setiap enam bulan untuk mengekalkan kedutaan itu di Tel Aviv, demi kepentingan keselamatan nasional.

"Ini akan menjadikan keadaan dunia lebih buruk dan membawa kepada konflik yang tidak berkesudahan," kata Helmy Faishal Zaini, setiausaha agung Nahdlatul Ulama (NU), pertubuhan terbesar Islam Indonesia, semasa memberi reaksi kepada pengumuman Trump.

"Keputusan itu akan menggalakkan radikalisasi di kalangan umat Islam sebagai tindak balas terhadap radikalisme yang dicipta Amerika Syarikat selain ketidakadilan global," kata seorang pemimpin Islam terkemuka Indonesia, Din Syamsuddin, Ketua Prakarsa Persahabatan Indonesia-Palestina (PPIP).

Bantahan anti-Amerika susulan pengumuman itu dijangka diadakan selepas solat Jumaat di Jakarta dan Kuala Lumpur, dan Kedutaan Amerika Syarikat di ibu negara Malaysia memberi amaran kepada warga Amerika supaya berhati-hati.

Tindakan ‘pencerobohan’ terhadap Islam: Najib

Di Kuala Lumpur pada Khamis, Perdana Menteri Malaysia Najib Razak bercakap mengenai pengumuman Trump itu, semasa menyampaikan ucapan dasar pada perhimpunan agung tahunan parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang memerintah.

"Minggu ini, kita terkejut mendengar rancangan Amerika Syarikat untuk mengiktiraf satu daripada tiga kota suci untuk umat Islam ... sebagai ibu negara Israel. Saya yakin, kita sebagai umat Islam tidak boleh menerima ini ," kata Najib.

"Kita mesti bersuara dengan jelas supaya dunia mendengar suara umat Islam di Malaysia, bahawa kita menolak sekeras-kerasnya cadangan menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel sampai bila-bila."

Kerajaan Najib turut mengeluarkan kenyataan mengenai pengumuman Amerika Syarikat itu.

“Ia akan memberi kesan amat buruk  bukan sahaja kepada keselamatan dan kestabilan di rantau berkenaan, tetapi turut menyemarakkan sentimen, sekali gus semakin menyukarkan usaha memerangi keganasan,”kata kenyataan itu. Ia menambah bahawa Malaysia mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai teras kepada perjuangan rakyat Palestin.

"Sebarang percubaan untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, menubuhkan atau memindahkan sebarang misi diplomatik ke kota itu, dianggap sebagai pencerobohan bukan sahaja terhadap umat Islam dan Islam tetapi juga melanggar hak-hak umat Islam dan Kristian," kata kenyataan itu.

Di Bangladesh, Perdana Menteri Sheikh Hasina menyertai gesaan dunia Islam yang mengutuk dan mempersoalkan tindakan Presiden Amerika Syarikat itu.

"Saya fikir dunia Islam tidak akan menerima pengumuman ‘suo moto’ [satu pihak] yang dibuat oleh Presiden Amerika Syarikat," kata Hasina. "Saya akan mendesak semua negara Islam dan umat Islam supaya bersatu bagi membolehkan rakyat Palestin mendapat hak mereka secara adil."

'Peluang untuk keamanan berkekalan'

Keputusan Trump, bagaimanapun, mendapat sokongan rasmi daripada setiausaha negaranya, Rex Tillerson, yang sebelum ini tidak sependapat dengan presiden itu mengenai bidang utama dasar luar Amerika Syarikat, menurut laporan media Amerika.

"Keputusan Presiden Trump untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel adalah selaras  kesedaran Amerika Syarikat  dengan realiti bahawa Baitulmuqaddis adalah tempatnya bagi badan perundangan, Mahkamah Agung, Pejabat Presiden, dan Pejabat Perdana Menteri Israel," kata Tillerson dalam satu kenyataan.

"Kami telah berunding dengan ramai rakan, rakan perkongsian dan sekutu sebelum presiden membuat keputusannya. Kami yakin adanya peluang bagi mendapatkan keamanan yang berkekalan. "


N. Nantha di Kuala Lumpur, Ismira Lutfia Tisnadibrata di Jakarta dan Kamran Reza Chowdhury di Dhaka turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.