Himpunan Rakyat Bersatu Di Kuala Lumpur Tercemar
2015.09.16
Perhimpunan Rakyat Bersatu yang diadakan di ibu negara Kuala Lumpur pada sambutan Hari Malaysia untuk menyatakan sokongan terhadap kerajaan yang sepatutnya diadakan secara aman bertukar menjadi kecoh apabila beberapa peserta berlaku kasar dan merempuh anggota Polis yang menghalang mereka daripada memasuki kawasan Petaling Street.
Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa menembak meriam air terhadap peserta perhimpunan yang enggan mematuhi arahan selepas peserta perhimpunan yang memakai baju merah cuba memecahkan sekatan Polis di sekitar jalan berkenaan dan mahu memasuki kawasan Chinatown.
Tinjauan BeritaBenar di sekitar kawasan berkenaan mendapati kekecohan berlaku apabila kira-kira 1,000 peserta perhimpunan berkenaan tidak mahu mematuhi arahan polis serta berkeras untuk memasuki kawasan larangan.
Mereka yang sepatutnya melalui kawasan itu sebelum menghadiri perhimpunan dengan berkumpul di Padang Merbok enggan bersurai dan membaling botol air dan memaki hamun polis sehingga menyebabkan pihak berkuasa mengambil tindakan melepaskan air dan gas pemedih mata bagi mengawal keadaan.
Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, SAC Roslan Abd Wahid memberitahu, pihak polis telah memberikan amaran yang secukupnya kepada para peserta untuk bersurai.
"Ini memandangkan kawasan ini tidak disenaraikan dalam permit yang diberi kepada mereka, kami hanya menggunakan kekerasan yang minima iaitu memancutkan air berkimia memandangkan terdapat wanita dan kanak-kanak di kalangan para peserta.
"Para peserta melemparkan botol air, batu dan kon trafik ke arah polis apabila mereka gagal merempuh halangan polis, malahan rempuhan mereka juga menyebabkan beberapa anggota polis cedera," katanya pada Rabu.
Katanya, terdapat juga peserta yang melanggar arahan polis supaya tidak melalui Jalan Bukit Bintang ke Padang Merbuk.
Perhimpunan itu, yang dianjurkan Persatuan Seni Silat Kebangsaan (Pesaka) dan akan disertai 250 badan bukan kerajaan (NGO) lain, diadakan sebagai membantah penganjuran perhimpunan Bersih 4.0 yang diketuai pembangkang, baru-baru ini.
50,000 peserta
Ketua Polis Kuala Lumpur Tajuddin Md Isa dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, berkata dua peserta perhimpunan telah ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan manakala dua anggota polis mengalami kecederaan ketika menjalankan tugas.
Beliau turut mengesahkan 50,000 orang menghadiri perhimpunan itu.
Mereka terdiri daripada ahli-ahli Pesaka dan NGO berhimpun serta berarak melalui beberapa kawasan pelancong utama sekitar Kuala Lumpur seperti Bukit Bintang, Petaling Street sebelum berhimpun di Padang Merbok.
Presiden Pesaka, Ali Rustam, pada Selasa memberi jaminan perhimpunan itu akan diadakan secara aman, namun berkata, pihaknya tidak akan bertanggungjawab jika berlaku kekecohan.
"Siapa yang melanggar (undang-undang), dia sendirilah yang bertanggungjawab. Kita penganjur hanya akan (menguruskan) perhimpunan di Padang Merbok,” katanya.
Terdahulu itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Zainol Samah terpaksa mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin penganjur termasuk Timbalan Menteri Luar, Reezal Merican Naina Merican dan Mohd Razlan Rafii meminta supaya Petaling Street tidak dijadikan tempat berhimpun.
Mohd Razlan bagaimanapun enggan bersurai dengan menegaskan bahawa Petaling Street bukan kawasan larangan dan para peserta amat matang dan tidak akan melakukan kekecohan di kawasan tersebut.
Sementara itu perhimpunan yang berlangsung di Padang Merbuk berjalan dengan aman di mana para pemimpin penganjur bersilih ganti berucap di hadapan kira-kira 50,000 peserta.
Ahli Parlimen Ketereh, Kelantan, Anuar Musa dalam ucapannya mengkiritik mereka yang menyatakan perhimpunan Baju Merah itu sebagai perhimpunan perkauman dengan menegaskan bahawa mempertahankan sesuatu kaum itu dibenarkan di dalam Islam.
"Kita bertimbang rasa terhadap kaum lain, kita benarkan mereka mendapatkan pendidikan dan mencari rezeki di sini, apa salah bersikap perkauman apabila kita tidak kejam terhadap lain,’’ katanya diakhir perhimpunan dengan menyatakan ia satu perhimpunan yang berjaya ketika rakyat Malaysia menyambut Hari Malaysia.
Beliau juga mengaku bahawa para peserta dibayar untuk datang kesini dengan menegaskan apa salahnya untuk membayar mereka.
"Saya tidak menafikan mereka dibayar, apa salahnya mengenai itu, saya tahu Bersih 4.0 juga membayar orang untuk menyertai perhimpunan tersebut, malahan mereka bayar lebih banyak," katanya.
Sebelum itu, para peserta tiba dari seluruh negara dengan menaiki kira-kira 2,000 buah bas yang menurunkan mereka di Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan Jalan Conlay.
Mereka kemudian berarak ke Padang Merbuk dan berlangsung dari pukul 3 petang hingga 5.30 petang sebelum para peserta bersurai.
Hari ini adalah cuti umum kerana 16 September adalah Hari Malaysia dan tahun ini merupakan sambutan yang ke 52 tahun selepas, Semenanjung Tanah Melayu bergabung dengan Sabah dan Sarawak serta Singapura membentuk Malaysia.
Polis DiRaja Malaysia turut menggerakkan sejumlah besar pegawai dan anggotanya untuk bertugas sepanjang perhimpunan itu bagi memastikan ia berjalan lancar dan berdispilin.
Seramai 773 penjaja dan 500 pekedai di Petaling Street bersetuju menghentikan perniagaan selama sehari bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku sempena perhimpunan itu.
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur Ang Say Tee berkata, keputusan itu dilakukan selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan beberapa NGO pada 5 Sept lepas.
"Sebanyak 90 peratus peniaga telah mengambil keputusan untuk menutup perniagaan pada hari berkenaan bagi memastikan keselamatan mereka terjamin selain mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku," katanya.