Sidang Kemuncak Bali Beri Tumpuan Hentikan Empat Sumber Pembiayaan Pengganas
2016.08.11
Nusa Dua, Bali, Indonesia

Pemimpin-pemimpin dari 26 negara yang menghadiri Sidang Kemuncak Menangani Pembiayaan Pengganas (CTF) 2016 di Bali, Indonesia membincangkan usaha untuk mengukuhkan perisikan domestik dan antarabangsa bagi menyekat sumber pembiayaan, walaupun perlu berdepan militan yang menukar kaedah menyampaikan wang tunai.
Mereka yang antaranya mewakili Thailand, Malaysia dan negara tuan rumah Indonesia, menyifatkan sumber pembiayaan itu sebagai: pembiayaan sendiri dari sumber yang sah; pertubuhan bukan mencari keuntungan(NPO) yang berisiko; pembiayaan menerusi pengumpulan dana melalui media sosial dan orang ramai; serta aktiviti jenayah.
"Perlu ada satu peraturan supaya badan amal tidak menyalahgunakan derma, termasuk menyalurkan dana untuk keganasan," kata Muhammad Yusuf, Pengerusi Pusat Laporan dan Analisis Transaksi Kewangan Indonesia (PPATK) kepada pemberita pada akhir sidang kemuncak empat hari itu, yang dianjurkan bersama dengan Australia.
Peserta juga membangkitkan kemungkinan pengganas akan meningkatkan penggunaan kad nilai yang sama dengan kad hadiah setelah kaedah pembiayaan sebelum ini dapat dipatahkan oleh penguatkuasaan undang-undang.
Para pejuang pengganas asing telah menggunakan kad nilai sebelum dan setelah berlepas ke destinasi mereka. Kad itu boleh ditambah nilai dengan wang tunai menerusi kaedah elektronik tanpa lapor, mudah dibawa ke negara lain dan tidak tertakluk kepada keperluan pelaporan, demikian menurut laporan Penilaian Risiko Pembiayaan Keganasan Serantau 2016.
Wang boleh diperoleh melalui pengeluaran ATM yang hanya untuk had pengeluaran. Kad boleh dtambah nilai dari jauh dan tanpa nama oleh pihak ketiga, yang bermakna nilai muka beberapa kad boleh ‘mengecilkan’ nilai kad, kata laporan itu.
Tahap risiko
Laporan itu turut mengandungi carta yang meletakkan Indonesia sebagai berisiko tinggi untuk empat sumber itu, manakala Malaysia berisiko tinggi untuk pembiayaan sendiri dari sumber yang sah dan mengumpul dana melalui media sosial. Thailand pula berisiko tinggi untuk pembiayaan sendiri dan pertubuhan bukan mencari keuntungan yang berisiko.
Perkara utama yang dinyatakan termasuklah Indonesia menghadapi ancaman keganasan yang tinggi kerana 258 warganya terlibat dalam konflik Syria-Iraq dengan Negara Islam (IS) dan 183 orang daripada mereka dipercayai telah pulang ke tanahair. Laporan itu mengenal pasti 11 kumpulan pengganas yang aktif - dan beberapa kumpulan yang paling aktif telah dikaitkan dengan IS dan al-Qaeda.
Malaysia juga berdepan risiko keganasan dan pembiayaan pada 2014 kerana ancaman IS dan pengganas asing. Laporan itu menganggarkan 73 rakyat Malaysia telah menyertai atau cuba untuk menyertai kumpulan pengganas di Syria dan Iraq selain sekurang-kurangnya 19 rakyatnya telah terbunuh.
"Malaysia terus menjadi negara transit untuk rekrut bagi kumpulan pengganas yang aktif di negara-negara lain," nyata laporan itu.
Thailand, yang mendakwa tiadanya pejuang asing di negaranya, melihat keselamatan negara itu dipengaruhi oleh konflik di wilayah Selatan, tambah laporan itu.
"Sempadan negara berliang Thailand meningkatkan lagi pendedahan kepada pergerakan haram senjata api, manusia, wang tunai dan pertukaran barangan," kata laporan itu.
Sumber pembiayaan
Pembiayaan sendiri - risiko tinggi bagi ketiga-tiga negara peserta Asia Tenggara - mungkin "kekal menjadi risiko utama di seluruh rantau itu dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang," kata laporan itu.
Ia menyatakan bahawa di Malaysia, pembiayaan sendiri digunakan terutamanya untuk tujuan taktikal jangka pendek seperti tindakan serangan sendirian atau kecil-kecilan. Di Indonesia, sebuah kumpulan pengganas mengumpulkan secara sah sumber dana yang kemudiannya digunakan untuk membiayai latihan ketenteraan.
Tahap penyalahgunaan NPO untuk membiayai pengganas adalah lebih rendah daripada yang dijangkakan di seluruh rantau ini, kata laporan itu. Namun, beberapa NPO di Thailand telah memindahkan wang untuk membiayai propaganda bagi menyokong pemberontak di wilayah Selatan.
Laporan itu menyarankan supaya unit penyiasatan kewangan (FIU) saling bekerjasama dengan lebih rapat dengan: penyelia atau pengawal selia NPO berkaitan untuk meningkatkan pengawasan; institusi pelapor untuk memastikan usaha yang wajar; dan pemimpin NPO bagi membina keyakinan masyarakat.
Ia turut menyatakan tentang usaha positif Malaysia. "Berbeza dengan negara-negara serantau, Malaysia telah menjalankan penilaian risiko yang menyeluruh dalam sektor itu dan telah menerima pakai pendekatan sasaran untuk pengurangan risiko."
Pengumpulan sumbangan dalam talian
Menurut laporan itu, aktiviti dalam talian adalah minimum dan sebahagian besarnya adalah oportunis. Pengganas lebih cenderung untuk menggunakan media sosial sebagai saluran komunikasi bagi mendapatkan dan menyiarkan gesaan bagi mendapatkan pembiayaan, dan bukan sebenarnya mengumpul dana. Platform ini boleh digunakan oleh FIU untuk mengesan aktiviti pengganas dan aktiviti yang mencurigakan.
Aktiviti jenayah kekal menjadi sumber utama untuk membiayai kumpulan pengganas di rantau ini. Penculikan bagi mendapatkan wang tebusan kekal sebagai sumber pendapatan bagi kumpulan Abu Sayyaf di Filipina, manakala pengganas di Indonesia bergantung kepada rompakan ganas untuk mengumpul dana, kata laporan itu. Di Thailand, ekstremis wilayah Selatan mencuri kereta dan menyeludup minyak, namun tetap bergantung kepada peras ugut untuk mengumpul dana.
Walaupun peserta memberi tumpuan kepada Asia dan Australia, Menteri Dalam Negeri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan beliau untuk memerangi pengganas global mendapat sokongan daripada hadirin yang lain, lapor agensi berita Nasional Malaysia, Bernama.
Ahmad Zahid mencadangkan penubuhan sekretariat global untuk memerangi keganasan antarabangsa.
"Pengarah Eksekutif Interpol Jurgon Stock bertemu saya secara peribadi dan akan membawa cadangan itu untuk pelaksanaan dan penyelarasan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu," katanya kepada Bernama.