Malaysia Setuju Bina Hospital Bagi Pelarian Rohingya di Bangladesh
2017.10.03
Dhaka & Kuala Lumpur

Kerajaan Bangladesh pada Selasa berkata bahawa ia telah meluluskan cadangan Malaysia untuk membina sebuah hospital di wilayah tenggara negaranya di mana setengah juta Muslim Rohingya dari Myanmar melarikan diri sejak akhir Ogos lalu, dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa taun boleh merebak di kem-kem pelarian itu pada bila-bila masa sahaja.
Pada Selasa juga, Menteri Dalam Negeri negara itu mengumumkan bahawa beribu-ribu pelarian Rohingya telah memasuki Bangladesh dalam beberapa hari pertama Oktober. Sementara itu, media Myanmar melaporkan bahawa sekumpulan 10,000 Rohingya telah berhimpun di sepanjang sempadan antara kedua-dua negara itu ketika mereka berusaha menyeberang masuk ke negara jiran berkenaan, menurut laporan AFP.
"Dalam tempoh tiga hari yang lalu, kira-kira 30,000 lagi pelarian Rohingya masuk ke Bangladesh. Mereka menyeberangi sempadan ketika kami mengadakan perbincangan dengan menteri Myanmar," kata Menteri Dalam Negeri Asaduzzaman Khan Kamal kepada BeritaBenar.
Para pegawai kementerian kesihatan dan luar negara Bangladesh memberitahu BeritaBenar bahawa kerajaan Malaysia akan membiayai pembinaan hospital itu, yang kemungkinan di Ukhia iaitu daerah kecil dalam daerah Cox's Bazar, yang terpaksa menanggung kebanjiran masuk Rohingya. Pembinaan hospital itu dijangka bermula pada Khamis dan bakal dibuka dalam masa 15 hingga 20 hari lagi.
"Kerajaan Malaysia telah mencadangkan pembinaan dua hospital di Cox's Bazar. Kerajaan Bangladesh meluluskan cadangan itu. Buat permulaannya, mereka akan membina sebuah hospital sebagai projek perintis pada masa ini," kata Kazi Ehsanul Haque, seorang pengarah di kementerian luar negeri, kepada BeritaBenar.
Di Kuala Lumpur, seorang jurucakap kementerian luar negeri Malaysia berkata, cadangan itu menyarankan pembinaan sebuah hospital medan tentera yang dilengkapi dengan dewan pembedahan.
"Ia boleh menampung 100 buah katil," kata jurucakap itu kepada BeritaBenar. "Doktor dan jururawat tentera mempunyai pengalaman mengendalikan situasi seperti di Cox's Bazaar, di mana pelarian mempunyai luka tembakan dan menghidapi penyakit lain dalam kem. Kami bersedia pada bila-bila masa dan kini bersedia untuk memulakan langkah selepas mendapat kelulusan daripada kerajaan Bangladesh. "
Pada hari terakhir September, seramai 509,000 pelarian tiba di tenggara Bangladesh sejak 25 Ogos, selepas mereka melarikan diri daripada keganasan di negeri Rakhine di Myanmar, menurut satu laporan situasi yang diterbitkan pada Selasa oleh Inter Sector Coordination Group (ISCG). ISCG menyelaraskan maklum balas kemanusiaan bagi situasi pelarian di Bangladesh dalam kalangan agensi kerajaan dan antarabangsa serta kumpulan bantuan.
PBB beri amaran mengenai penyakit bawaan air
Secara keseluruhannya, sekurang-kurangnya 900,000 pelarian Rohingya sedang berlindung di tenggara Bangladesh, termasuk pelarian yang melarikan diri daripada kitaran keganasan terdahulu di Rakhine. Kehadiran terlalu ramai pelarian di sana, yang digabungkan dengan kepesatan masuk pendatang baru, telah mengehadkan lagi sumber-sumber di kem-kem pelarian dan penempatan.
Pada Selasa, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mengeluarkan kenyataan amaran mengenai potensi berlakunya isu-isu kesihatan yang berpunca daripada kekurangan keadaan sanitasi yang sewajarnya.
"Taun adalah endemik di Bangladesh dan ia mudah tersebar dalam kalangan beratus-ratus ribu orang yang tinggal dekat satu sama lain tanpa adanya sanitasi yang sewajarnya," kata jurucakap Andrej Mahecic dalam satu kenyataan.
UNHCR menyokong usaha kementerian kesihatan untuk memberi vaksin taun kepada pelarian itu.
"Belum ada statistik kukuh mengenai kes cirit-birit akut dalam kalangan pelarian yang baru tiba, dan kami mengambil tindakan untuk mencegah penyakit teruk dan kematian. Kami telah melihat trend peningkatan kes penyakit cirit-birit termasuk kes cirit-birit dengan dehidrasi yang teruk, "katanya.
"Setakat ini, pelarian dengan keadaan sedemikian telah dirawat di klinik-klinik yang dikendalikan oleh UNHCR dan agensi-agensi lain, serta di kemudahan kesihatan awam tempatan."
Pada Isnin, UNHCR membuka pusat rawatan cirit-birit yang mempunyai 20 buah katil di kem pelarian Kutupalong yang dikendalikan oleh unit kesihatan pelarian kerajaan Bangladesh, yang merupakan gabungan NGO tempatan dan antarabangsa.
"Menjelang akhir minggu ini, kami akan mempunyai 80 katil di pusat rawatan cirit-birit di tiga lokasi, dan kami merancang membuka dua lagi pusat itu minggu depan," kata agensi pelarian PBB itu dalam satu kenyataan.
UNHCR juga merancang untuk membuka pusat-pusat penghidratan di mana terdapatnya ramai daripada setengah juta pelarian yang tiba sejak 25 Ogos lalu. Pelarian yang mengalami dehidrasi sederhana akan dirawat serta-merta dan mereka yang memerlukan terapi yang lebih akan dirujuk ke pusat rawatan cirit-birit yang lebih besar.
Dalam perkembangan lain di tenggara Bangladesh, Menteri Dalam Negeri Khan pada Selasa berkata, seorang Rohingya telah terbunuh akibat letupan periuk api di sepanjang sempadan tenggara itu.
Lelaki itu, yang dikenal pasti sebagai Nurul Islam, pergi ke sempadan itu untuk memberi lembu-lembunya makan apabila periuk api itu meledak dan menyebabkannya maut, kata Khan, yang memetik pegawai polis.