Malaysia Kerah Tentera Bantu 20,000 Mangsa Banjir di Enam Negeri
2021.01.05
Kuala Lumpur

Malaysia telah mengerah kira-kira 5,000 anggota pasukan tenteranya bagi membantu lebih 20,000 orang mangsa banjir di enam negeri yang terpaksa berpindah keluar daripada rumah mereka semasa negara itu dilanda musim tengkujuh, demikian menurut Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob pada Selasa.
Dua negeri yang paling teruk terkesan dengan banjir adalah Pahang dan Johor dengan melibatkan lebih 18,000 mangsa, termasuk dua kematian telah dilaporkan setakat ini, dengan masing-masing kes lemas di Jerantut, Pahang dan Kluang, Johor.
Ismail berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menggerakkan lebih 1,000 aset mereka termasuk 800 buah trak, serta bot dan helikopter dalam operasi yang dinamakan ‘Ops Murni’ bagi pemindahan mangsa banjir serta kerja-kerja bantuan kemanusiaan, dengan hujan lebat masih berterusan dan air terus naik sehingga ke paras 12 kaki di kebanyakan kawasan.
"Pagi tadi saya telah mengumumkan aturgerak anggota dan aset-aset ATM bagi membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di negeri-negeri yang terjejas banjir melalui pelaksanaan Op Murni.
“Seramai 4,983 pegawai dan anggota ATM serta pelbagai aset termasuk 800 trak, 197 bot, dua pesawat pengangkut, enam helikopter serta 10 bailey bridge telah dan akan diaturgerak," kata beliau dalam sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur pada pagi Selasa.
Berdasarkan statistik NADMA, sehingga jam 8 pagi Selasa, pihak berkuasa merekodkan seramai 20,838 mangsa banjir dengan 13,218 daripada mereka di negeri Pahang, manakala seramai 5,484 lagi di negeri Johor.
Empat lagi negeri yang terkesan adalah Terengganu dengan 1,062 mangsa, Perak (812 mangsa), Kelantan (78 mangsa) dan Selangor (184 mangsa).
Kesemua mangsa dari 5,642 keluarga itu kini berlindung di 272 pusat pemindahan sementara di enam negeri berkenaan.
Bencana alam itu turut menyaksikan kehilangan dua nyawa kerana lemas, manakala seorang lagi mangsa masih hilang setelah dibawa arus deras.
Menurut laporan media tempatan, kejadian pertama melibatkan seorang lelaki berusia 58 tahun yang dihanyutkan arus deras ketika melintasi kawasan banjir berhampiran Sungai Gintong di Jerantut bersama tiga anak lelakinya pada Ahad lepas.
Mayat lelaki itu telah dijumpai namun salah seorang anaknya masih hilang, manakala dua lagi anak mangsa telah berjaya diselamatkan orang awam.
Kejadian kedua berlaku pada tengahari Isnin di Kampung Bentong, Kluang (Johor) membabitkan seorang pelajar universiti berumur 20 tahun dengan mayat mangsa ditemui tidak jauh dari lokasi kereta beliau dilaporkan terjatuh ke dalam parit.
Pertembungan angin sebabkan banjir
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, jumlah hujan yang turun sehingga menyebabkan banjir di negeri-negeri itu adalah melangkaui jangkaan mereka sebelum ini.
Ketua Pengarahnya Jailan Simon memberitahu jumlah hujan yang turun dalam tempoh antara tiga dan empat hari kebelakangan ini menyamai jumlah taburan hujan yang dijangkakan bagi tempoh satu bulan.
"Jumlah hujan kali ini sama dengan hujan pada Disember, iaitu jumlah sebulan hujan tetapi turun dalam tempoh tiga empat hari (sahaja), dan ini yang menyebabkan banjir yang mengejut.
Perkara ini berlaku disebabkan pertembungan angin dari Timur Laut dan Timur," kata beliau semasa ditemuramah oleh stesen televisyen agensi berita nasional, Bernama TV.
Walaupun cuaca kelihatan semakin baik sejak semalam, Jailan berkata masih terdapat risiko kejadian banjir berulang sepanjang musim tengkujuh ini.
Sementara itu, kerajaan turut mengeluarkan garis panduan bagi pengurusan bencana banjir ketika pandemik COVID-19, bagi mencegah penularan pandemik itu di kalangan mereka yang terlibat dengan banjir di seluruh negara, kerana negara itu masih bergelut dengan peningkatan jumlah kes positif COVID-19 yang tinggi di beberapa negeri termasuk Selangor dan Johor.
Setakat jam 12 tengah hari Selasa, Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan 2,027 kes positif baharu serta lapan kematian, di mana Selangor mencatatkan kes baru tertinggi dengan 509 kes, diikuti Johor (428), dan Kuala Lumpur (313).
Negeri-negeri lain yang terkesan banjir turut merekodkan pertambahan kes positif iaitu Pahang (25), Terengganu (13), Kelantan (42) dan Perak (25).
Ismail memberitahu pemberita bahawa antara prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang digariskan kerajaan dalam pengurusan banjir termasuk memastikan semua pusat pemindahan sementara (PPS) mempunyai fasiliti yang berfungsi dengan baik dan bersedia, serta mempunyai ruang untuk menempatkan mangsa banjir yang berstatus PUS, atau individu yang di dalam pemantauan.
"Setiap PPS perlu dilengkapi Kod QR MySejahtera dan setiap petugas serta mangsa banjir yang terlibat perlu menggunakan aplikasi tersebut. Juga perlu dipastikan bahawa peralatan perlindungan diri (PPE) serta peralatan yang bersesuaian bagi pengendalian operasi adalah mencukupi," kata beliau.
Selain itu, setiap mangsa yang dipindahkan ke PPS juga perlu disaring, sebelum ditempatkan dengan mematuhi aspek penjarakan fizikal dan mereka hendaklah dibekalkan pelitup muka, serta dikehendaki memakai pelitup muka pada setiap masa.
Kerajaan tidak membenarkan sebarang aktiviti memasak dijalankan di PPS, dan penyediaan makanan serta minuman kepada mangsa banjir hanyalah dengan cara makanan berbungkus.
Aktiviti berkumpulan yang melanggar aspek penjarakan fizikal turut dilarang, termasuk aktiviti ziarah sesama mangsa banjir.