Banjir: Hampir 24 Ribu Mangsa Dipindahkan Di Kelantan dan Terengganu
2017.01.04
Kuala Lumpur

Hampir 24,000 mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu yang kini sedang dilanda banjir telah dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan yang terdapat di kedua-dua negeri tersebut walaupun hujan lebat sudah berkurangan sejak beberapa hari lepas.
Menurut aplikasi InfoBanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat, jumlah mangsa di Kelantan dan Terenganu kini mencecah 23, 502 orang, iaitu terdiri daripada 7,566 keluarga kini berada di sebanyak 195 pusat pemindahan di seluruh kedua-dua negeri berkenaan.
Daripada jumlah itu, 12,557 mangsa adalah dari Kelantan manakala 10,937 lagi mangsa dari Terengganu, menurut maklumat di aplikasi itu setakat petang Rabu.
Malaysia kini dilanda musim tengkujuh dengan dilaporkan hujan lebat melanda negeri-negeri di timur Semenanjung itu, hampir setiap hari sejak Tahun Baru. Keadaan cuaca bagaimanapun dilaporkan semakin baik oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, namun pihak berkuasa masih berwaspada kerana cuaca masih lagi tidak menentu setakat ini.
Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia dalam laman web Info Banjirnya memaklumkan bahawa berlaku peningkatan aras air di kesemua 11 stesen status paras air di kedua-dua negeri.
Di Terengganu, tahap air di lima stesennya Jerangau, Jerteh, Kuala Jengai, Kampung Langkap dan Kuala Ping berada pada paras bahaya manakala Sungai Golok dan Sungai Kelantan serta lima lagi stesen di Kelatan berada pada catatan paras amaran.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan melaporkan perkhidmatan keretapi di laluan pantai Timur akan terus terganggu disebabkan keadaan banjir dan tanah runtuh di Kuala Krai, Kelantan.
“Disebabkan oleh paras air yang semakin naik, perkhidmatan tren shuttle hanya akan beroperasi diantara Kuala Lipis – Dabong sahaja manakala perkhidmatan tren shuttle Kuala Krai - Tumpat telah dibatalkan sehingga dimaklumkan kemudian,” kata kenyataan itu.
Perkhidmatan tren ke bandar-bandar di Pantai Timur telah mula terganggu sejak Disember 31 lepas.
Kementerian Pendidikan Malaysia juga mengambil keputusan menutup lebih 100 buah sekolah di kedua-dua negeri yang dilanda banjir itu yang melibatkan lebih 30 ribu orang murid.
Salur bantuan
Perdana Menteri Najib Razak dalam satu kenyataan memohon semua pihak bertanggungjawab memberi kerjasama terhadap anggota keselamatan yang menyalurkan bantuan..
“Saya sudah mendapat laporan terkini mengenai keadaan banjir di Pantai Timur, - Kelantan dan Terengganu. Langkah-langkah telah pun diambil oleh agensi Kerajaan untuk membantu mangsa banjir dan memastikan keselamatan mereka,” katanya dalam satu muatnaik status di Facebook.
Manakala, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pula melancarkan misi bantuan sukarelawan bagi membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu dengan negeri lain diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.
"Saya berharap misi ini dapat meringankan beban mangsa banjir ketika berada di pusat pemindahan sementara, atau di kampung atau rumah yang dinaiki air dan terputus hubungan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena misi itu.
Dalam pada itu, Arifin Jalaluddin, seorang jurutera di Kemaman berkata banjir di kawasannya bermula sejak petang Selasa selepas menerima hujan lebat tanpa hentinya.
“Sekarang dah mula banjir tapi hujan sudah mula reda. Harap-harap kemungkinan air akan surut semula,” katanya kepada Berita Benar.
Selain itu, lebih sepuluh buah kampung di utara Sabah turut dilapor dilanda banjir sehingga lebih 150 orang telah dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.
Pada tahun 2014, Malaysia dilanda banjir paling buruk sejak tahun 1969 apabila hampir kesemua negeri terutamanya di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor, Kedah dan Perlis serta Sabah menghadapi musibah tersebut.
Lebih 200, 000 terpaksa dipindahkan dengan Kelantan menghadapai keadaan paling teruk selepas banjir yang berlakukan itu, telah memusnahkan lebih 1500 buah rumah dan hampir melumpuhkan keseluruhan negeri berkenaan.