Timbalan Gabenor Bank Negara Ganti Zeti

Haireez Azeem Azizi
2016.04.27
Kuala Lumpur
160427-my-bank-gavernor620 Gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz semasa mengeluarkan Laporan Tahunan Bank 2015 di Kuala Lumpur, 23 Mac, 2016.
AFP

Kerajaan Malaysia mengumumkan pelantikan Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Muhammad Ibrahim sebagai Gabenor baru bagi menggantikan Zeti Akthar Aziz yang akan bersara, sekali gus mengakhiri spekulasi berbulan dalam industri kewangan negara.

Zeti, yang akan bersara pada hujung bulan ini, telah berkhidmat sebagai Gabenor Bank negara sejak Mei 2000. Beliau dilantik sebagai pemangku gabenor bank pusat itu pada September 1998 iaitu semasa kemuncak krisis kewangan Asia.

Zeti, 68, merupakan wanita pertama di Malaysia dan di Asia yang menjawat jawatan gabenor bank negara. Beliau juga telah disenaraikan sebagai Ketua Bank Pusat Terbaik di Dunia pada tahun 2009 oleh majalah Global Finance.

Pengumuman yang amat dinantikan itu dibuat pada Rabu, yang menghentikan kejatuhan nilai mata wang Ringgit sejak empat hari lalu, iaitu kerugian yang paling lama sejak November, dengan saham turut menjunam ke paras terendah dalam tempoh enam minggu.

Imej negara dalam pasaran modal turut menerima tamparan pada Selasa apabila dana pelaburan kerajaan Malaysia yang dibebani hutang, 1Malaysia Development Bhd (1MDB), mengumumkan bahawa ia telah lewat membuat pembayaran beberapa bon.

Zeti dan siasatan 1MDB

Pada 13 Julai 2015, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata pihaknya akan menyiasat semua anggota pasukan petugas khas termasuk kakitangan Bank Negara untuk mengenal pasti punca kebocoran "dokumen rahsia kepada warganegara asing" berkenaan 1MDB.

Khalid yang turut berada dalam pasukan petugas bersama Zeti, Peguam Negara pada masa itu  Abdul Gani Patail dan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Abu Kassim Mohamed.

Najib menamatkan perkhidmatan Gani, sebagai Peguam Negara dua minggu selepas siasatan berkaitan 1MDB diumumkan dan menggantinya dengan Mohamed Apandi Ali. Pada Januari lepas, Apandi membersihkan Najib daripada potensi tuduhan rasuah yang dikaitkan dengan jumlah hampir $700 juta didepositkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, mengeluarkan kenyataan mengucapkan terima kasih kepada Zeti atas sumbangannya terhadap sistem kewangan negara dengan turut memuji Muhammad, yang mengambil alih jawatan itu berkuatkuasa 1 Mei ini.

“Saya yakin di bawah kepimpinan Muhammad, Bank Negara Malaysia akan meneruskan sumbangannya dalam membantu kerajaan serta memberi nasihat dan pandangan bagi memacu perkembangan ekonomi negara, serta dapat mentadbir dasar monetari dan mengawal selia industri kewangan negara, termasuk meneruskan usaha bank pusat membangunkan industri kewangan dengan sewajarnya,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan dalam satu kenyataan pada Rabu.

Najib berkata, pelantikan Muhammad adalah bagi tempoh lima tahun dan beliau akan menguruskan dasar monetari kewangan, menyelia dan membangunkan negara dan industri kewangan bank pusat.

Najib dalam kenyataan itu turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Zeti di atas semua sumbangan  cemerlang beliau  sepanjang menjadi Gabenor ketujuh Bank Negara.

Zeti puji Muhammad

Sementara itu, Zeti, dalam satu kenyataan berkata , pelantikan Muhammad adalah “sememangnya amat positif buat negara”.

"Dengan menjadi sebahagian daripada pasukan dasar kami di bank pusat ini, beliau akan dapat meneruskan kesinambungan dan kepastikan yang sangat diperlukan dalam tempoh yang tidak menentu ini. Saya mempunyai keyakinan tinggi terhadap  keupayaan Muhammad untuk mengetuai Bank Negara pada masa hadapan,” katanya.

Pelbagai spekulasi mengenai masa depan beliau meningkat tahun lepas apabila Zeti memberitahu  pemberita pada sidang media bahawa "16 tahun adalah terlalu panjang."

Baru-baru ini, beliau bercakap mengenai penggantinya yang berpotensi.

"Terdapat banyak lagi yang perlu dilakukan - sistem kewangan perlu memanfaatkan teknologi, termasuk pembayaran elektronik. Terdapat begitu banyak perkara yang perlu dilakukan bagi bank pusat sebagai pemangkin, "katanya kepada pemberita.

Semasa menerima pelantikan dari Perdana Menteri, Muhammad menegaskan dengan rendah diri bahawa ia satu panggilan untuk berkhidmat bagi negara.

Muhammad dalam satu kenyataan berkata, beliau menerima pelantikan itu dengan rendah hati dan menganggapnya sebagai pelantikan untuk berkhidmat kepada negara.

“Saya akan berusaha menjalankan tugas Gabenor Bank Negara Malaysia dengan sebaik mungkin. Saya ingin menzahirkan  penghargaan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan  di atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan kepada saya," kata Muhammad dalam kenyataan.

Beliau berkata, bank pusat itu perlu mengekalkan kestabilan kewangan dengan memberi fokus terhadap agenda strategik.

Berita positif

Izzudin Yussof,  ahli ekonomi penyelidikan di Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) berkata pelantikan Muhammad adalah berita positif untuk industri itu kerana beliau merupakan insan yang biasa dengan cara pengendalian bank negara dan akan dapat meneruskan legasi Zeti.

"Dengan pelantikan ini, kami menjangkakan bahawa laluan dasar monetari semasa era Zeti akan diteruskan dan sentimen negatif  terhadap ekonomi Malaysia dapat diperbaiki lagi," katanya kepada BeritaBenar.

Muhammad yang menyertai bank pusat itu pada 1984, dilantik sebagai Timbalan Gabenor pada tahun 2010. Beliau dilihat menjadi pilihan utama untuk menggantikan Zeti.

Muhammad adalah graduan ijazah sarjana dari Universiti Harvard dengan diploma lepasan ijazah dalam perbankan dan kewangan Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau juga merupakan ahli jawatankuasa dasar monetari Bank Negara dan merupakan pengarah bebas dalam lembaga pengarah syarikat minyak nasional Malaysia, Petronas.

Nama lain yang turut disebut ialah Menteri yang bertanggungjawab bagi perancangan ekonomi Abdul Wahid Omar, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Awang Adek Hussin.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.