Malaysia Sahkan Pembekuan RM48 Juta dari Tujuh Akaun Milik Bapa Jho Low
2019.04.02
Kuala Lumpur, Malaysia

Malaysia mengesahkan pada Selasa bahawa tujuh akaun bank milik ahli perniagaan Pulau Pinang, Larry Low Hock Peng yang juga bapa kepada pembiaya kewangan dalam buruan, Low Taek Jho, telah dibekukan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan dana 1Malaysia Development Berhad.
Timbalan Ketua Polis Negara, Hamid Bador semasa dihubungi BeritaBenar memberitahu bahawa kesemua tujuh akaun bank milik Larry Low yang mempunyai simpanan tunai kira-kira 48 juta ringgit (AS$12 juta) telah dibekukan.
Beliau walaubagaimanapun tidak dapat menyatakan tarikh sebenar kesemua akaun itu dibekukan.
“Ia dilakukan beberapa hari lepas, setelah kerajaan membuat permohonan untuk membekukan akaun itu di mahkamah,” tambah Hamid.
Larry Low dan anaknya Taek Jho yang juga dikenali sebagai Jho Low, serta ibunya Goh Gaik Ewe masih tidak diketahui keberadaan mereka dan sedang diburu pihak berkuasa Malaysia dan juga beberapa negara lain.
Dalam pada itu, menurut sumber, seorang pegawai kanan polis, tiga daripada akaun tersebut merupakan akaun simpanan tetap manakala empat lagi akaun simpanan semasa.
“Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis DiRaja Malaysia sudah membekukan kesemua akaun berkenaan, yang dibuka atas nama bapa Jho Low, berjumlah kira-kira 48 juta ringgit.
“Kami percaya wang itu datangnya dari dana 1MDB dan siasatan masih berjalan untuk mengenalpasti bagaimana wang tersebut dipindahkan ke dalam akaun Larry Low Hock Peng, samada menggunakan pemindahan melalui bank antarabangsa,” kata sumber itu kepada BeritaBenar pada Selasa.
Dalam pada itu, Hamid juga memberitahu yang kes pembekuan tersebut disiasat di bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) di mana akta berkenaan membenarkan kerajaan merampas aset hartanah tanpa melalui pendakwaan.
Dakwaan Jho Low
Pada 28 Mac lalu, Putrajaya turut memfailkan satu tindakan undang-undang untuk membeku akaun milik Hock Peng iaitu sehari selepas, Jho Low mengeluarkan satu kenyataan yang mendakwa tindakan Putrajaya itu adalah satu bentuk pendakwaan politik dan gangguan.
“Sekali lagi, rejim Mahathir telah menidakkan peraturan undang-undang yang jelas menunjukkan penyalahgunaan kuasa yang mengeksploitasikan pejabat Peguam Negara dan polis untuk menyerang musuh dalam menjalankan arahan peribadi dari rejim Mahathir,
“Ini juga merupakan satu lagi contoh perbicaraan oleh media yang dilakukan oleh rejim Mahathir dan juga merupakan bukti bahawa adalah sukar untuk mendapatkan perbicaraan yang adil di Malaysia,” kata Jho Low dalam kenyataan yang dikeluarkan melalui jurucakapnya.
Pada 21 Mac lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil telah merampas banglo tiga tingkat bernilai 15 juta ringgit, milik ibu Jho Low, Gaik Ewe yang terletak di Tanjung Bungah Park di Pulau Pinang.
Malaysia pada Ogos tahun lalu telah mendakwa Jho Low di sebuah mahkamah di Kuala Lumpur atas kesalahan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB.
Jho Low yang masih dalam buruan itu didakwa dengan tiga pertuduhan menerima dana dan lima pertuduhan menyalurkan dana berjumlah 1 bilion ringgit (AS$261 juta) di bawah Akta Pembiayaan Anti Pengubahan Wang Haram dan Anti Keganasan.
Bapa beliau turut didakwa kerana menyalurkan wang itu kepada anaknya itu dibawah akta yang sama menurut dokumen pendakwaan.
Jho Low telah dikenalpasti sebagai rakan rapat kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak, individu yang mengasaskan 1MDB pada 2009, iaitu sebuah dana kekayaan negara yang bertujuan mendapatkan pelbagai projek bagi memanfaatkan rakyat Malaysia.
Najib, yang berulang kali menafikan sebarang salah laku berhubung isu 1MDB, berkata dalam satu temu bual dengan Reuters Jun lepas bahawa beliau tidak tahu jika beratus-ratus juta dolar yang berada dalam akaun bank peribadinya adalah milik 1MDB.
Jabatan Kehakiman AS menyifatkan kes 1MDB sebagai kes skandal kleptokrasi yang paling teruk di abad ini dan menuduh Jho Low telah mengubah lebih dari AS$400 juta (1.6 bilion ringgit) yang dicuri dari 1MDB dengan membeli hartanah dan harta di California, New York dan London.
Antara yang dibeli itu adalah kapal layar mewah dan jet bernilai AS$35 juta.
Sementara itu, pasukan peguam bela Najib pada Isnin telah memfailkan semakan kehakiman ke atas keputusan Mahkamah Persekutuan yang menarik semula penangguhan perbicaraan seperti yang telah dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini.
Perbicaraan terhadap Najib yang sepatutnya didengar pada 12 Februari lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah ditangguhkan sebanyak dua kali selepas Najib memfailkan rayuan berkaitan kes tersebut di Mahkamah Rayuan.
Bekas perdana menteri itu berhadapan dengan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan salahguna kuasa melibatkan 42 juta ringgit [AS$10.3 juta] yang didakwa didepositkan ke akaun bank peribadinya oleh SRC International, anak syarikat milik 1MDB.
Bercakap kepada BeritaBenar, peguam Najib, Harvinderjit Singh berkata kes semakan kehakiman adakan didengar pada 4 April.
Pihak pendakwaan dalam kes Najib itu walaubagaimanapun berkata, mereka sudah bersedia untuk mendengar perbicaran pertama bagi kes Najib pada Rabu itu.
“Kami sudah bersedia untuk perbicaraan yang akan bermula esok. Bagi pihak peguambela, ia terserah kepada hakim mahkamah tinggi yang akan membuat keputusan. Itu sahaja yang saya boleh katakan,” kata V Sithambaram kepada BeritaBenar.
Sithambaram merupakan seorang peguam jenayah terkemuka negara yang dibawa ke dalam pasukan pendakwaan bagi pihak kerajaan dalam kes Najib itu.
Radzi Razak di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.