Batu Puteh: Penubuhan RCI kaji cara kendalian dan kenapa rayuan semakan ditarik
2024.01.25
Kuala Lumpur

Keputusan kerajaan Malaysia untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pertikaian hak kedaulatan antara negara itu dengan Singapura bukanlah bertujuan untuk menentukan pihak yang berhak ke atas Pulau Batu Puteh, yang kini telah menjadi milik Singapura.
Suruhanjaya itu sebaliknya akan menyiasat tindakan kerajaan terdahulu tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan mahkamah antarabangsa yang menganugerahkan pulau itu kepada Singapura pada 2008, demikian menurut penganalisis, sementara menteri berkata siasatan itu boleh membantu menetapkan prosedur bagi kes lain di masa hadapan.
Azmi Hassan dari Nusantara Academy for Strategic Research ketika dihubungi BenarNews berkata penubuhan RCI secara asasnya adalah bagi mencari kebenaran di sebalik keputusan kerajaan tidak meneruskan rayuan pada 2018, sebelum jangka masa rayuan selama 10 tahun berakhir.
“Kita mahu tahu apakah sebab sebenar kerajaan tidak meneruskan permohonan semakan walaupun Peguam Negara pada ketika itu telah mengemukakan rayuan pada 2017 susulan penemuan tiga bukti baru oleh kerajaan Malaysia pada 2016.
“Pada pendapat saya, itu adalah perkara yang paling penting kerana pada 2022, apabila kerajaan menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat perkara tersebut, tidak terdapat sebarang maklumat yang diperolehi daripada Mahathir Mohamad (perdana menteri pada ketika itu) yang merupakan pemain utama (dalam kes tersebut). Beliau enggan turut serta dalam sesi temubual itu,” Azmi berkata kepada BenarNews pada Khamis.
Sehubungan dengan itu, Azmi berpandangan laporan tersebut tidak memuaskan sepertimana yang dikatakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berikutan ketiadaan maklumat daripada pemain utama.
“Dengan adanya RCI, sekiranya Mahathir dipanggil, beliau tidak lagi boleh menolak. Daripada penubuhan pasukan petugas dan kini diwujudkan pula RCI, ianya adalah untuk memaksa Mahathir memberikan kerjasama sambil menjelaskan mengapa beliau tidak meneruskan rayuan pada 2018 meskipun terdapat bukti yang kritikal dan penting pada pandangan Peguam Negara pada masa itu,” tambah Azmi lagi.
Seorang lagi penganalisis Salim Bashir optimis dengan kewujudan RCI, di mana siasatan lanjut dapat dibuat bagi mengenalpasti alasan sebenar penarikan balik Permohonan Semakan pada 2018 yang mana ianya melibatkan soal kedaulatan negara.
Sambil menegaskan RCI perlu bersifat telus dan adil dalam menangani isu berkaitan kedaulatan dalam siasatannya, bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia itu berkata orang awam perlu mendapat penjelasan berhubung proses bagaimana keputusan terbabit dicapai sebelum menyimpulkan yang kerajaan Malaysia tidak akan meneruskan semakan terhadap keputusan mahkamah antarabangsa.
“Pada 2017, Permohonan Semakan telah dibuat oleh Malaysia susulan dakwaan penemuan dokumen mengandungi fakta sejarah yang wujud ketika keputusan dikeluarkan pada 2008 namun tidak diambil kira oleh Mahkamah Keadilan Antarangsa (ICJ), yang mana (jika dilakukan sebaliknya) ianya dapat mengubah keputusan tersebut,” kata Salim kepada BenarNews.
Selain siasatan ke atas penarikan permohonan semakan, Salim menyarankan agar RCI turut menumpukan siasatan terhadap pengendalian isu pengurusan maritim di sekitar Batu Putih yang kini milik Singapura dan juga Batuan Tengah.
Pada 23 Mei 2008, ICJ telah menganugerahkan hak Pulau Batu Puteh kepada Singapura, manakala Batuan Tengah yang berjarak kurang satu kilometer dari pulau itu pula menjadi milik Malaysia.
Walaubagaimanapun, hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Pulau Batu Puteh akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Sebuah pasukan petugas kemudiannya ditubuhkan bagi mengkaji keputusan kerajaan Malaysia pada 2018 di bawah pentadbiran Mahathir untuk menggugurkan permohonan semakan keputusan ICJ yang dibuat pada 2017.
Siasat hal sebenar
Sementara itu, Menteri Undang-Undang Azalina Othman pada hari yang sama turut menjelaskan bahawa objektif RCI ditubuhkan adalah bagi menyiasat “hal sebenar” berhubung pengendalian kes kedaulatan melibatkan tiga buah pulau antara kedua buah negara tersebut dengan lebih terbuka.
Meskipun pasukan petugas telah pun ditubuhkan untuk menjalankan siasatan ke atas isu berkenaan, Azalina menjelaskan kekangan dari segi pendedahan hasil siasatan berikutan Akta Rahsia Rasmi 1972 menyebabkan perlunya satu platform yang lebih telus untuk diwujudkan.
“Pasukan Petugas mempunyai beberapa kekangan, dan keputusan hasil siasatan bukan ‘public domain’, maka belum lagi dimaklum pada rakyat dan masih lagi dibawah Akta Rahsia Rasmi.
“RCI pula (bersifat) lebih terbuka. Ia juga boleh membantu kerajaan mengenalpasti proses dan prosedur melibatkan kedaulatan sebagai contoh agensi manakah yang tertakluk dan bertanggungjawab untuk kedaulatan. Adakah Majlis Keselamatan Negara? Atau Kabinet?
“Namun begitu, kita tidak boleh memutuskan sesuatu tanpa mendapat keseluruhan proses hasil dapatan daripada pasukan petugas,” kata Azalina kepada pemberita semasa sidang media selepas melancarkan Program 'Justice On Wheels' di Sabah.
Menteri itu turut menekankan bahawa isu kedaulatan tidak boleh ditentukan oleh satu pihak atau individu semata kerana ia merangkumi pelbagai aspek termasuk sempadan dan kepulauan, justeru sebarang kesilapan dalam menangani hal tersebut perlu dielakkan.
“Sama ada suka atau tidak, kerajaan lalu telah melakukan kesilapan. Apa yang berlaku melibatkan Batu Puteh sebelum ini tidak boleh dibiarkan berlaku pada pulau lain di bawah kawalan kita (Malaysia) samaada di peringkat negeri atau persekutuan.
“Inilah perkara yang perlu kita kaji. Kita sebagai kerajaan berlaku adil dan oleh kerana itu kita nak tahu apa yang berlaku? Bagaimana kesilapan boleh berlaku? Di mana salahnya?” tambah Azalina.
Penubuhan RCI bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan dengan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan merupakan hasil keputusan perbincangan Mesyuarat Jemaah Menteri selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).
Setiausaha Jemaah Menteri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan media pada Rabu berkata cadangan keanggotaan RCI akan dibawa untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Cadangan ahli-ahli ini akan mengambil kira komposisi pakar-pakar yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang kehakiman, perundangan dan pentadbiran awam serta dapat melaksanakan siasatan dengan telus, adil dan saksama bagi mengelak sebarang isu yang melibatkan konflik kepentingan dengan pihak-pihak berkaitan,” demikian menurut Mohd Zuki.
Media tempatan pada Khamis melaporkan bahawa Kementerian Luar Singapura menyifatkan penubuhan RCI itu sebagai “isu dalaman Malaysia”.
Sumber kementerian itu dipetik sebagai berkata “Kami tidak melihat perkara ini akan memberi sebarang kesan terhadap hubungan baik dua hala antara Malaysia dan Singapura.”