Selepas 17 Hari Berjalan, Peserta Anti-Bauksit Tidak Dibenarkan Masuk Parlimen
2016.03.28
Kuala Lumpur

Sekumpulan tiga puluh orang yang berjalan sejauh 340 kilometer selama 17 hari untuk menyerahkan memorandum menuntut pelanjutan tempoh moratorium perlombongan bauksit di Kuantan tidak dibenarkan memasuki perkarangan bangunan Parlimen untuk menyerahkan memorandum berkenaan.
Dikenali sebagai Red2Green, mereka memulakan perjalanan daripada Kuantan, Pahang ke Kuala Lumpur untuk menyerahkan memorandum yang antara lain meminta Kerajaan mewujudkan tatacara pengendalian piawan yang menjaminkan tiada pencemaran langsung daripada perlombongan bahan itu di negeri berkenaan.
Kumpulan, yang diketuai oleh seorang pesara berusia 62 tahun Yeo Kim Kee, mengeluarkan memorandum yang mendesak supaya aktiviti perlombongan di negeri Pahang itu mengikuti peraturan serta Prosedur Operasi Standard (SOP). Mereka menyerahkan memorandum tersebut kepada Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Mohd Nazif Jamaludin di luar pintu pagar Parlimen.
Perkarangan pagar utama bangunan Parlimen dikawal rapi oleh lebih 15 anggota polis yang menghalang anggota kumpulan itu memasuki bangunan berkenaan untuk tujuan penyerahan itu.
Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh yang melahirkan rasa kesal dengan tindakan pengurusan Parlimen berkata, pihak berkuasa sepatutnya membenarkan sekurang-kurangnya 10 ahli kumpulan itu memasuki bangunan berkenaan.
Fauziah meluahkan kekesalannya kepada Berita Benar pada Isnin, "Kebiasaannya apabila terdapat penyerahan memorandum pada sesi Parlimen berlangsung, rakyat dibenarkan berada di dalam bangunan Parlimen.”
'Perhatian nasib rakyat’
Beliau berkata, alasan yang diberikan adalah kerana Parlimen sedang melalui kerja-kerja pengubahsuaian, dan tidak mempunyai ruang yang mencukupi untuk menampung 10 orang.
Fuziah yang merupakan anggota Parlimen pembangkang dari parti Keadilan Rakyat (PKR) berharap kementerian akan memberi perhatian kepada nasib rakyat di Kuantan dengan melanjutkan tempuh moratorium sehingga persetujuan perlombongan bauksit secara mampan dapat dilaksanakan.
Pada awal Januari lepas, kerajaan mengambil keputusan untuk mengenakan moratorium ke atas kesemua aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di Pahang selama tiga bulan yang bermula pada 15 Januari.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar membuat pengumuman itu, selepas kegiatan perlombongan itu dipercayai tidak terkawal sehingga mengganggu kesihatan penduduk dan rutin harian mereka yang terpaksa berdepan dengan debu merah di jalanraya yang merosakkan alam sekitar.
Bagaimanapun, kegiatan perlombongan bauksit, bijih mineral yang mempunyai aluminium hidroksida di Kuantan terutamanya di Felda Bukit Goh, Balok dan Gebeng dipercayai telah bermula sejak pertengahan tahun 2014, iaitu selepas Indonesia, yang merupakan pengeluar utama bahan mineral itu mengharamkan eksportnya pada Januari 2014.
Malaysia merupakan pembekal lebih 40 peratus bahan mineral itu kepada China, bagi menghasilkan industri aluminium negara itu, yang menghasilkan kira-kira separuh daripada produk berasaskan aluminium di dunia seperti pesawat, rangka pintu dan bekas minuman.
‘Buat keputusan’
Sementara itu, Wan Junaidi memberitahu pemberita di lobi Parlimen bahawa kerajaan akan membuat keputusan berhubung tempoh moratorium sebelum 15 April ini.
Katanya, kementerian beliau sedang mengawasi dengan teliti pihak industri yang terlibat sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung perkara itu.
"Kita telah menetapkan beberapa syarat dan pihak industri perlu patuhi dan kita juga telah tetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) di beberapa tempat termasuk pelabuhan, pengangkutan dan kawasan perlombongan,
"Kami mengucapkan terima kasih kepada kumpulan Red2Green yang membawa dan menyerahkan memorandum mereka itu kepada kerajaan. Kerajaan juga sangat prihatin terhadap permasalahan rakyat tempatan di Kuantan, dan juga alam sekitar… keputusan akan dibuat sebelum 15 April ini,” tambah beliau.
Dalam pada itu, pengarah program kumpulan Red2Green, Jefri Jaafar Tukemin berkata, kesemua 30 orang anggota kumpulan itu memulakan perjalanan mereka dari Beserah, Kuantan pada 12 Mac lepas dan tiba di Kuala Lumpur pada Ahad.
"Ini bukan isu politik. Kami adalah rakyat yang ingin perlombongan bauksit dijalankan mengikut peraturan terkawal, termasuk mengikut SOP yang telah ditetapkan dan bukannya mahu meminta perlombongan dihentikan keseluruhannya,” tambah beliau menjelaskan tujuan sebenar kumpulan berkenaan berjalan sejauh itu," kata Jefri kepada BeritaBenar.