Malaysia jamin pekerja asing Bangladesh dilayan secara adil

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika bertemu pemimpin interim Bangladesh Muhammad Yunus dalam lawatannya di Dhaka berkata pekerja asing tidak boleh dilayan seperti hamba.
Kamran Reza Chawdhury
2024.10.04
Dhaka, Bangladesh
Malaysia jamin pekerja asing Bangladesh dilayan secara adil Ketua Penasihat Bangladesh Muhammad Yunus (kanan) menyambut ketibaan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal di Dhaka, Bangladesh, 4 Oktober 2024.
[Ihsan Bahagian Media Ketua Penasihat Bangladesh]

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mengumumkan pada Jumaat bahawa kerajaannya akan memastikan pekerja asing disediakan tempat tinggal yang sesuai dan tidak dilayan seperti "hamba" zaman moden, selepas beliau bertemu dengan pemimpin sementara Bangladesh Muhammad Yunus di Dhaka.

Anwar yang tiba di Dhaka pada pukul 2 petang waktu tempatan dan berlepas pulang lima jam kemudian, berjanji bahawa Malaysia akan memberikan keutamaan terhadap penangguhan menerima masuk seramai 18,000 warga Bangladesh dalam fasa pertama program menambah pekerja asing.

Kata beliau, perkara itu merupakan permintaan daripada Yunus, rakannya selama empat dekad.

“Saya percaya, Insya-Allah kita akan dapat melakukannya,” katanya.

Lawatan Anwar adalah yang pertama dibuat oleh ketua negara asing sejak Yunus membentuk kerajaan sementara pada 8 Ogos lalu, tiga hari selepas Perdana Menteri Sheikh Hasina meletak jawatan dan melarikan diri ke negara jiran, India.

Pada sidang media selepas pertemuan dua hala dengan Yunus, Anwar menjawab soalan mengenai sama ada kerajaannya akan menghapuskan sindiket yang terlibat dalam pengambilan pekerja Bangladesh.

“Apa yang dipanggil ejen yang dipilih mesti mematuhi dasar kami dengan ketat,” jelas beliau.

Perdana Menteri berkata jika majikan gagal menyediakan tempat tinggal yang mencukupi, kerajaan akan membatalkan kontrak mereka.

“Kami telah membincangkan keseluruhan sistem. Kami telah melalui prosedur yang sangat telus. Kami memerlukan pekerja tetapi mereka tidak boleh dilayan sebagai hamba moden, tidak kira mereka dari Bangladesh, Indonesia atau India,” katanya.

Kebimbangan kami adalah untuk memastikan apa sahaja yang diputuskan mesti dipatuhi," kata Anwar.

Ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat pada minggu lalu, Yunus bercakap tentang bagaimana sebanyak 11 juta rakyat negaranya tinggal dan bekerja di luar negara.

“Penghijrahan dan mobiliti adalah realiti yang tidak dapat dielakkan dalam dunia yang saling berkaitan,” kata pemenang Nobel dan perintis pembiayaan mikro itu dalam ucapannya pada 27 September.

“Untuk membolehkan migrasi memberi manfaat kepada semua, kita perlu mewujudkan laluan untuk penghijrahan dan mobiliti orang yang selamat, teratur dan bertanggungjawab.”

Selama bertahun-tahun, ribuan pekerja Bangladesh telah berhijrah ke Malaysia melalui cara yang sah atau terlarang dengan mendapatkan kerja bergaji rendah dan memerlukan tenaga kerja fizikal secara fizikal dalam sektor pembinaan, pertanian dan industry lain.

Bagaimanapun, terdapat pembekuan bagi pengambilan kumpulan baru pekerja dari Bangladesh.

Di Kuala Lumpur, Menteri Dalam Negeri Malaysia Saifuddin Nasution Ismail memberitahu BenarNews bahawa tarikh akhir pekerja Bangladesh untuk masuk telah tamat pada 31 Mei lalu selepas Malaysia mencapai kuota pengambilan pekerja asingnya.

Walaupun rayuan dibuat kumpulan pekerja Bangladesh pada Jun lalu, Saifuddin berkata kerajaan tidak akan memberikan lanjutan bagi mereka yang telah mempunyai visa kerja yang diluluskan tetapi terlepas tarikh akhir.

BD-MY-labor2.JPG

Seorang pekerja asing Bangladesh duduk di katil atas di asrama tapak pembinaan Malaysia di Kuala Lumpur, 17 Mac 2022. [Hasnoor Hussain/Reuters]

Tidak mampu bayar

Di negeri Johor, seorang warga Bangladesh yang berada di Malaysia selama 15 bulan bercakap kepada BenarNews tentang bagaimana dia menderita akibat terpedaya dengan janji palsu.

“Visa saya telah tamat tempoh. Saya tidak tahu berapa lama lagi terpaksa terkandas di sini. Saya buat pinjaman di Bangladesh dan saya tidak boleh pulang tanpa membayar hutang,” kata Mahabub Molla, 42, kepada BenarNews di Malaysia.

“Jika saya pulang tanpa wang, mereka akan membunuh saya. Saya berada di Johor Bahru sekarang, tetapi saya tidak mempunyai sebarang pekerjaan. Agensi pengambilan pekerja menjanjikan saya kerja pembinaan, tetapi mereka tidak memberikan saya apa-apa kerja,” katanya sambil menambah dia telah membayar ejen pengambilan pekerja sebanyak 500,000 taka (AS$4,185) untuk datang bekerja di Malaysia.

“Sedih rasanya dibohongi seperti ini. Saya sangat kecewa dan kadang-kadang, apabila saya memikirkan tentang keluarga dan hutang, saya rasa seperti hilang akal,” kata Molla sambil menambah dia terpaksa meminjam wang daripada rakan dan saudara-mara untuk membayar sewa dan membeli makanan.

Aktivis hak buruh Andy Hall berkata ramai warga Bangladesh di Malaysia yang tersepit selepas membayar ejen pengambilan pekerja untuk bayaran visa dan permit kerja.

“Bagi kebanyakan pekerja ini, ia merupakan perkara yang menyayat hati. Mereka meminjam wang daripada keluarga, menjual lembu, menjual tanah mereka dan segala-galanya hanya untuk membayar caj bagi membolehkan dia sampai ke Malaysia.

“Namun kini, mereka tidak mempunyai apa-apa,” kata Hall kepada BenarNews.

Shariful Hasan, ketua sayap migrasi Pusat Migrasi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar Bangladesh (BRAC) mengalu-alukan pengumuman tentang keadaan pekerja di Malaysia, sambil menambah lebih banyak isu perlu ditangani.

“Ini berita baik bahawa perdana menteri Malaysia mahu memastikan keadaan kerja yang baik untuk pekerja. Mereka merasakan bahawa pekerja asing tidak boleh dilayan seperti hamba zaman moden,” katanya kepada BenarNews pada malam Jumaat.

“Tetapi keadaan kerja yang baik untuk pekerja bukanlah isu utama melibatkan hak pekerja Bangladesh dan perlindungan mereka di Malaysia,” kata Hasan sambil menambah perkara utama adalah bagaimana usaha untuk menghapuskan sindiket memeras ribuan dolar daripada warga Bangladesh yang mencari kerja di luar negara.

Menurut perjanjian antara kedua-dua negara, Hasan berkata, setiap pekerja sepatutnya membelanjakan 79,000 taka Bangladesh (AS$660) untuk sampai ke Malaysia.

“Tetapi seorang pekerja membayar sehingga 600,000 taka (AS$5,016). Wang tambahan itu disalurkan kepada sindiket rasuah yang berpangkalan di Malaysia dan Bangladesh,” dakwa Hasan.

"Kami berharap perdana menteri Malaysia akan dapat menghapuskan eksploitasi ekonomi pekerja Bangladesh," katanya.

Seorang aktivis hak migran berkata beliau mahu melihat tindakan segera dilakukan terhadap janji Anwar.

“Pekerja kami hidup dalam keadaan tidak berperikemanusiaan di Malaysia. Jika mereka diberi tempat tinggi percuma, ia akan menjadi satu langkah besar dalam memastikan keadaan kerja yang baik untuk mereka,” kata Syed Saiful Haque, pengerusi Yayasan Pembangunan WARBE, sebuah kumpulan advokasi hak migran kepada BenarNews.

“Kami berharap pihak berkuasa yang berkaitan di Malaysia dan Bangladesh akan menterjemahkan pengumuman perdana menteri Malaysia ke dalam bentuk tindakan. Jika tidak, ia sekadar pengumuman semata-mata,” katanya.

Iman Muttaqin Yusof di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.