Hakim Bebaskan Empat Anggota Polis Terlibat Kes Penyeksaan Tahanan

Amir Hadi Azmi
2016.06.29
160629-my-cop-620 N. Surendran (tengah), peguam kepada pemandu lori N. Dharmendran, yang mati dalam tahanan polis, menunjukkan imej kecederaan daripada komputer riba, dengan balu Dharmendran (kanan), Marry Mariaysusay, memegang salinan laporan bedah siasat suaminya semasa sidang media di Kuala Lumpur, 1 Jun, 2013.
AFP

Sebuah mahkamah tinggi Malaysia pada Rabu melepaskan dan membebaskan empat anggota polis termasuk seorang pegawai daripada tuduhan menyebabkan kematian seorang tahanan, selepas dua bulan sebuah suruhanjaya kerajaan mendapati mereka bertanggungjawab menyeksa dan membunuh lelaki itu pada tahun 2013.

Pihak pendakwaan gagal membuktikan keraguan munasabah bahawa kesemua anggota itu menyebabkan kematian N. Dharmendran, antara 18 dan 21 Mei 2013, Hakim Kamardin Hashim memutuskan.

Seorang pakar patologi di Hospital Kuala Lumpur yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat  Dharmendran mendedahkan bahawa lelaki itu, meninggal dunia akibat kecederaan tisu lembut yang berkecai disebab trauma dibelasah oleh benda tumpul, termasuk telinganya dikokot semasa beliau masih hidup.

"Pihak pendakwaan bergantung kepada keterangan mengikut keadaan yang tidak menunjukkan rasa bersalah daripada empat tertuduh," kata Kamardin.

Keempat-empat mereka, Inspektor S. Hare Krishnan, 42, Sarjan Jaffri Jaafar, 46, Koperal Mohd. Nahar Abd Rahman, 47, dan Koperal Mohd. Haswadi Zamri Shaari, 34  kelihatan menangis sambil berpelukan sesama sendiri di dalam kandang tertuduh selepas hakim membacakan keputusan itu, menurut laporan media tempatan.

Kesemua mereka didakwa membunuh Dharmendran, seorang pemandu lori, di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur. Dharmendran ditahan pada 11 Mei 2013, atas tuduhan cubaan membunuh dua orang di Cheras, dan meninggal dunia 10 hari kemudian.

Mereka dibebaskan walaupun Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dalam laporannya pada 28 April lepas memaklumkan bahawa Dharmendran telah mengalami 52 kesan  lebam semasa dalam tahanan polis, yang membawa kepada kematiannya.

Berikutan pengumuman laporan suruhanjaya itu, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata, EAIC tidak sepatutnya membuat pengumuman itu kerana kes berkenaan adalah ‘sub judice’ - bermakna ia adalah di bawah pertimbangan kehakiman dan oleh itu dilarang daripada perbincangan awam.

Keputusan itu tidak mengejutkan peguam hak asasi manusia Syahredzan Johan.

"Terbukti beban dalam prosiding jenayah adalah lebih tinggi daripada siasatan suruhanjaya [EAIC]," katanya kepada BeritaBenar, sambil menambah, "Apa yang keluarga boleh lakukan sekarang ialah meneruskan saman sivil terhadap pegawai-pegawai polis dan kerajaan."

Keempat mereka didakwa membunuh Dharmendran, seorang pemandu lori, di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur. Dharmendran ditahan pada 11 Mei 2013, atas tuduhan cuba membunuh dua orang di Cheras, dan meninggal dunia 10 hari kemudian.

"Dalam kes ini, hakim memutuskan terdapat keraguan," kata peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Krishnan, memberitahu BeritaBenar.

Seorang jurucakap EAIC enggan mengulas keputusan mahkamah pada Rabu itu dengan memberitahu BeritaBenar bahawa masanya adalah tidak sesuai untuk berbuat demikian kerana " kes itu baru sahaja diputuskan."

EAIC telah ditubuhkan pada 2011 untuk mengendalikan aduan salah laku terhadap 19 agensi penguatkuasaan termasuk polis, imigresen dan kastam.

Pembebasan berulang

Keputusan mahkamah pada Rabu itu, menandakan pembebasan yang kedua terhadap keempat mereka dalam kes berkenaan.

Pada 12 Dis, 2014, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut membebaskan keempat-empat anggota Polis itu, yang memerintah tidak ada bukti prima facie untuk menyokong kes terhadap kesemua mereka. Pada masa itu, Hakim Kamardin Hashim berkata pihak pendakwaan telah gagal membuktikan motif dan hanya menyediakan keterangan mengikut keadaan.

Mahkamah Rayuan menolak pembebasan itu dan mengarahkan keempat-empat mereka untuk membentangkan pembelaan mereka berikutan rayuan oleh pihak pendakwaan.

Peguam keluarga Dharmendran, N. Surendran berkata, keluarga anak guamnya akan terus mencari keadilan bagi mendiang, yang merupakan seorang suami dan bapa penyayang.

Beliau berkata anak guamnya mahu penjelasan daripada Khalid Abu Bakar dan Peguam Negara Mohamed Apandi Ali kerana kegagalan mereka dalam membuat apa-apa sabitan terhadap jenayah yang dilakukan orang anggota polis itu.

"Balu dan ahli keluarga Dharmendran kecewa dan sedih dengan keputusan ini. Perasaan keluarga Dharmendran tidak dapat dijelaskan pada ketika ini, " kata Surendran, menurut portal berita Free Malaysia Today.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.