Bersatu Mahu Tarik Undi Orang Melayu Daripada UMNO pada PRU 2018
2018.03.20
Kuala Lumpur, Malaysia

Parti politik terbaru Malaysia, Bersatu, memberi tumpuan kepada meraih undi majoriti etnik Melayu Islam dalam usahanya untuk menggulingkan parti gabungan pemerintah Perdana Menteri Najib Razak pada pilihan raya umum akan datang, kata presidennya Muhyiddin Yassin pada Selasa.
Pengundi-pengundi Melayu yang kecewa "berkemungkinan besar" membantu pembangkang meningkatkan jumlah undi popular 2013 daripada tiga kepada lima peratus, kata bekas timbalan perdana menteri dan ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu atau PPBM) itu.
"Strategi kami adalah untuk menarik sokongan orang Melayu yang pernah menyokong BN (Barisan Nasional) dan terutamanya UMNO. Nyata sekali strategi kami membuahkan hasil," kata Muhyiddin kepada BeritaBenar dalam satu temu bual di Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur.
Najib, pemimpin Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) iaitu parti utama dalam parti gabungan pemerintah BN, bakal berdepan cabaran sengit daripada bekas mentornya yang juga bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan kini mengetuai Bersatu, pada pilihan raya umum itu.
Mahathir meninggalkan UMNO dua tahun lalu apabila beliau menuduh parti pemerintah itu melindungi Najib daripada tuduhan rasuah yang berkaitan dengan skandal kewangan dalam dana negara, 1MDB. Namun, perdana menteri menafikan dakwaan tersebut.
BN telah memerintah Malaysia sejak penubuhannya pada 1957.
"Pada Pilihan Raya Umum 2013, pembangkang mempunyai 52 peratus undi popular dan BN menerima 48 peratus. Tetapi, ia tidak mencukupi untuk membawa perubahan, "kata Muhyiddin.
"Saya percaya jika ada tindakan 5 peratus lagi, mungkin menjadi 55 peratus atau 57 peratus, yang kemungkinan besar akan berlaku terutamanya di kalangan orang Melayu, kemenangan itu akan menjadi [milik pakatan pembangkang] Pakatan Harapan."
Masalah pendaftaran
Pakatan Harapan merangkumi Bersatu dan tiga parti pembangkang lain yang berharap dapat mengalahkan gabungan parti pemerintah dalam pilihan raya umum tahun ini, yang mesti diadakan sebelum Ogos, mengikut Perlembagaan negara.
Najib dijangka membubarkan Parlimen pada minggu terakhir Mac atau minggu pertama April sebelum menetapkan tarikh untuk pilihan raya umum ke-14, menurut laporan dan pegawai di Jabatan Perdana Menteri. Pengundian boleh diadakan pada akhir April atau awal Mei, kata sumber kepada BeritaBenar minggu lepas.
Tetapi, Bersatu kini berdepan halangan - kemungkinan dibatalkan pedaftarannya sebagai parti oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS), agensi kerajaan yang bertanggungjawab mendaftarkan parti-parti politik di Malaysia.
Pada 28 Feb, RoS memberi amaran kepada Bersatu bahawa ia akan mengeluarkan notis pembubaran parti itu jika gagal mengemukakan minit mesyuarat cawangan dan jawatankuasa pusat serta penyata kewangan tertentu parti dalam masa 30 hari.
Pegawai-pegawai RoS tidak memberi maklum balas segera kepada permintaan untuk mengulas perkara itu menerusi e-mel BeritaBenar.
Sebelum ini, Ketua Pengarah RoS Surayati Ibrahim berkata, notis itu dikeluarkan berikutan aduan daripada bekas ahli PPBM kepada agensi itu, dan RoS meminta maklumat tersebut untuk menyelesaikan siasatan terhadap aduan tersebut.
“Notis 14(2) adalah suatu notis merujuk kepada perkara yang diarahkan oleh RoS untuk mengemukakan minit-minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti,” katanya dalam kenyataan pada 9 Mac.
Jika RoS membatalkan pendaftaran Bersatu, parti itu masih mempunyai pilihan untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang, kata Muhyiddin.
"Kami tahu apa yang kami boleh lakukan," katanya kepada BeritaBenar. "Kami komited [kepada] perjuangan Pakatan Harapan."
"Kami percaya ahli-ahli tiga parti lain mahu kami menjadi sebahagian daripada pakatan dan apa yang telah dipersetujui mereka adalah penyertaan PPBM dalam pilihan raya, peruntukan kerusi dan semua yang lain. Sudah tentu kami masih boleh bertanding pada pilihan raya umum walaupun kami tidak mempunyai parti, walaupun selepas pendaftarannya dibatalkan, "kata beliau.
Wong Chin Huat, seorang penganalisis politik daripada Institut Pulau Pinang, berkata, Bersatu tidak akan dapat meletakkan calonnya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 jika RoS membatalkan pendaftaran parti itu.
Tetapi, katanya, calon parti itu masih boleh bertanding pada pilihan raya umum di bawah bendera parti pembangkang yang lain.
"Menurut perlembagaan Malaysia, jika pendaftaran Bersatu dibatalkan, parti itu tidak boleh meletakkan calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 tetapi mereka boleh bertanding sebagai calon bebas atau menggunakan logo parti lain dalam Pakatan Harapan," katanya kepada BeritaBenar.
'Kami berjuang untuk semua kaum'
Pada awal Januari, Pakatan Harapan mengumumkan bahawa Mahathir, yang berusia 92 tahun, akan menjadi pilihannya sebagai perdana menteri berikutnya jika parti pembangkang dapat mengalahkan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.
Pemimpin Pakatan Harapan berkata, Mahathir boleh menjadi perdana menteri sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Anwar Ibrahim, bekas musuh beliau dan pemimpin pembangkang de facto yang sedang dipenjarakan, sekiranya Yang di-Pertuan Agong mengampuni Anwar bagi sabitan kes liwatnya.
Dalam temu bual itu, Muhyiddin juga cuba melenyapkan kebimbangan ahli-ahlinya yang dari etnik minoriti Malaysia bahawa Bersatu adalah sebuah parti yang hanya untuk majoriti etnik Melayu.
"Mereka fikir kami bersifat perkauman tetapi sekarang mereka faham bahawa kami bukan begitu," katanya. "Kami benar-benar sebuah parti Malaysia yang bersifat nasionalis, yang berjuang untuk semua rakyat Malaysia - Cina, India, Sabah, Sarawak dan lain-lain."
"Ia adalah parti kebangsaan untuk Malaysia... Kami akan berjuang untuk semua kaum, mencari penyelesaian kepada banyak masalah yang dihadapi negara dan rakyat," katanya.
Selepas Pakatan Harapan melancarkan manifesto pilihan raya umum yang setebal 200 halaman pada bulan ini dengan antaranya berjanji untuk menyediakan 1 juta pekerjaan dan menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan Najib pada kadar 6 peratus tiga tahun lalu, perdana menteri menempelak pakatan pembangkang itu. Beliau berkata hutang negara akan melonjak kepada RM416 bilion (AS$106.1 bilion) jika Pakatan Harapan menghapuskan cukai dan tol jalan raya.
“Berdasarkan manifestonya itu, negara kita akan terus dibebani hutang. Anda semua (generasi muda) yang akan tanggung. Sebab itu, kita tidak boleh tipu rakyat, jangan tipu rakyat, yang mana boleh buat, kita buat, yang mana tidak boleh buat, kita beritahu tidak mampu buat,” kata Najib kepada para penuntut Universiti Malaysia Perlis pada 13 Mac, menurt laporan agensi berita nasional, Bernama.
“Tapi percayalah, kita (Barisan Nasional) sentiasa fikir tentang rakyat kerana ini adalah dasar kita, rakyat yang didahulukan.”