Parti Pribumi Bersatu Diterima Secara Rasmi Dalam Pakatan Harapan

Ray Sherman
2017.03.20
Kuala Lumpur
170320-my-bersatu-pembangkang-620.jpg Penaung Parti Pribumi Bersatu Malaysia [PPBM] Mahathir Mohammad memberikan ucapan semasa Konvensyen Kebangsaan PPBM di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor, 14 Jan 2017.
AFP

Parti naungan bekas Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Isnin telah diterima masuk secara rasminya sebagai ahli terbaru dalam pakatan pembangkang Malaysia, Pakatan Harapan (PH).

Gabungan pembangkang itu memaklumkan perkara demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin secara bersama antara pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (Amanah) dengan berkata, keputusan tersebut dibuat sebuat suara oleh Sekretariat PH, selepas mesyuarat khas mengenai perkara berkenaan.

"Sekretariat Pakatan Harapan akan mengutus surat kepada Bersatu (PPBM) untuk memaklumkan perkara tersebut," kata kenyataan itu, yang ditandatangi bersama oleh Presiden PKR Wan Azizah Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guang Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Pengerusi PPBM, Mahathir, sebelum ini telah berkata bahawa partinya tidak keberatan bergabung dengan PH, tetapi mencadangkan pembentukan nama dan logo baru bagi gabungan baru itu, untuk memudahkan pakatan itu berdepan dengan Barisan Nasional dalam pilihanraya akan datang.

Dalam kenyataan pada Isnin itu juga, Sekretariat PH memberitahu yang satu perbincangan dengan keempat-empat parti dalam merangka manifesto bersama akan diadakan tidak lama lagi sambil menambah bahawa logo baru akan turut dibuat diikuti dengan pendaftaran gabungan itu secara rasmi.

Selain Mahathir, PPBM juga diterajui oleh beberapa bekas ahli UMNO lain iaitu Presidennya Muhyiddin Yassin, bekas perdana menteri yang dipecat dari UMNO selepas beliau mengkritik Perdana Menteri Najib Razak kerana didakwa terlibat dalam skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad.

Anak Mahathir sendiri, iaitu Mukhriz juga telah dipecat dari UMNO atas sebab yang sama, dan kini beliau merupakan timbalan Presiden PPBM.

Tiada kesan besar bagi BN

Sementara itu, penganalisa politik tempatan Professor Dr Hoo Ke Ping, berpendapat bahawa gabungan PPBM dalam PH tidak akan membawa kesan yang besar kepada Barisan Nasional dan UMNO serta tidak boleh menggugat undi Melayu terhadap BN dan Umno, tambah lagi PAS dilihat sudah menjadi "sahabat" Umno,

"Adalah bagus bagi keempat-empat parti ini (Pakatan Harapan) untuk bergabung di bawah satu platform, di mana mereka boleh mencabar BN dan Umno dalam pilihanraya akan datang.

"Sebelum ini BN tidak mengendahkan impak yang mungkin dibawa PPBM dan pakatan pembangkang yang sedia ada, kerana mereka berkata parti itu masing-masing bertanding di bawah bendera parti, logo dan agenda mereka sendiri.

"Oleh kerana itu, adalah baik untuk Pakatan Harapan dan PPBM mengambil keputusan untuk membuat logo dan manifesto yang bersatu," Hoo memberitahu Beritabenar.

Menurut Hoo juga, bagi Umno sekarang, politik adalah lebih berdasarkan “political survival”, di mana ia harus bersekutu dengan mana-mana pihak yang boleh menambah atau menyokong pengaruhnya, dan tidak keberatan untuk menolak parti komponen seperti MCA, MIC dan Gerakan.

Katanya, gabungan baru PPBM dengan PH juga akan menyebabkan perpecahan undi di kawasan majoriti Melayu jika mereka bertembung dengan Umno dan PAS, tambah Hoo.

"Bila itu berlaku, Umno, atau PAS, pasti akan menang,” katanya.

Hoo juga meramalkan pakatan PH berserta PPBM akan menghadapi masalah dalam tiga perkara  dari segi ideologi, calon perdana menteri, dan juga pembahagian kerusi.

"Misalnya, PKR bertegas bahawa ketua mereka yang dipenjarakan, Anwar Ibrahim, akan menjadi perdana menteri, jika pembangkang menang pilihanraya. Adakah Muhyiddin akan membenarkan itu berlaku?,” soalnya.

Tambahnya, PKR, DAP dan PAN masing-masing mempunyai kerusi parlimen mereka tetapi apabila sampai pilihanraya, tidak jelas parti mana yang akan memberi ruang kepada PPBM.

Sebelum ini Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah mengadakan pertemuan dalam usaha mencari serta memperhalusi deraf rangka kerjasama persefahaman politik antara kedua-dua parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Namun sehingga kini tiada keputusan rasmi mengenai perkara itu tetapi pemimpin PAS telah berulang kali menegaskan tidak akan bersama PH kerana kewujudan DAP dan PAN.

Najib, perlu mengadakan pilihan raya umum  pada pertengahan 2018 berdasarkan kitaran pilihan raya lima tahun negara itu namun penganalisa politik meramalkan ia akan diadakan selepas suku ketiga tahun ini.

Najib juga telah mengumumkan tarikh persidangan UMNO bagi tahun 2017 dipercepatkan, iaitu antara 17 Mac hingga 30 April bagi mesyuarat cawangan dan mulai 7 Julai hingga 26 Ogos bagi mesyuarat bahagian.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.