BERSIH Dapat Bertahan Tujuh Bulan, Lancar Dana
2017.06.01

BERSIH pada Khamis berkata badan itu hanya dapat bertahan tujuh bulan lagi sekiranya tiada dana membiayai operasinya dalam meneruskan usaha kempen yang mahukan pilihan raya bebas dan adil di Malaysia.
Sehubungan itu, Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah berkata, BERSIH, sebuah gabungan badan bukan kerajaan dan masyarakat Sivil melancarkan kempen mengumpul dana sebanyak RM500,000 selama tiga bulan iaitu dari Jun sehingga September ini.
"Kami memerlukan bantuan kewangan dalam memastikan kami dapat bertahan dan menjalankan operasi pada dan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang,” kata Maria pada sidang media kempen kutipan dana itu di Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.
Beliau memaklumkan bahawa badan itu kini memiliki RM520,000 dalam akaun dan perkiraan yang dibuat mendapati ianya hanya dapat bertahan sekurang-kurangnya selama tujuh bulan lagi.
BERSIH, yang dilancarkan secara rasmi pada 23 November 2006, merupakan sebuah platform yang mendesak Kerajaan Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan lebih demokratik, saksama dan tidak berat sebelah, selain menuntut pembaharuan di dalam pilihan raya sebagai agenda nasionalnya.
Tambah Maria, angka itu berdasarkan kos anggaran sebanyak RM100,000 yang akan digunakan untuk membayar kos undang-undang melibatkan 120 siasatan terhadap wakil BERSIH atau sukarelawannya.
Menurut Maria, hampir kesemua kes itu melibatkan Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012 dan Seksyen 124 (c) Kanun Keseksaan atas penglibatan dalam aktiviti yang didakwa memudaratkan demokrasi berparlimen.
Beliau berkata, denda di bawah PAA boleh mencecah sehingga RM10, 000 dan siasatan itu melibatkan perhimpunan BERSIH di seluruh negara tahun lepas, dan perhimpunan solidariti yang diadakan semasa penahanan beliau di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.
Tambah Maria, selain kes terhadap Bersih, gabungan itu menyokong sembilan kes mahkamah berkaitan pilihan raya, yang melibatkan cabaran terhadap persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Maria memberitahu walaupun barisan peguam gabungan itu bekerja secara percuma, ia masih memerlukan dana untuk membayar kos mahkamah, penyelidikan dan sebagainya.
"Kami memerlukan sokongan anda untuk terus melalui ini. Sementara peguam melakukan kerja-kerja pro-bono, BERSIH perlu menampung kos pengeluaran, penyelidikan dan pengangkutan," katanya.
Maria juga memberitahu, BERSIH tetap akan menjalankan kempen kutipan dana yang baru sekiranya gabungan itu berjaya mencapai sasaran RM500,000 tetapi kehabisan dana selepas itu.
ta akan terus mengutip dana. Kita akan terus mencuba kerana kita belum ada pilihan raya bebas dan adil.”
Tahap amaran
Sementara itu, ahli jawatankuasa pemandu BERSIH Global, Ivy Josiah berkata, setiap NGO akan berada pada tahap “amaran” jika hanya mempunyai dana yang cukup untuk beroperasi selama 7 bulan sahaja.
“Kami menggesa semua rakyat yang mahukan pilihan raya bebas dan adil supaya menyumbang. Usaha ini tidak akan berakhir pada 2017 atau 2018 kerana reformasi institusi merupakan perjalanan yang sangat panjang.”
BERSIH, telah menganjurkan enam perhimpunan besar-besaran di Kuala Lumpur, dengan yang pertama diadakan pada November 2007.
Protes jalanan terakhir dianjurkan oleh gabungan itu ialah BERSIH 5.0 pada bulan November tahun lepas di mana ia dianjurkan secara aman tanpa sebarang gangguan daripada pihak polis. Perhimpunan yang sama juga diadakan di beberapa buah bandaraya di seluruh dunia.
Namun Maria telah ditangkap sehari sebelum perhimpunan itu dan ditahan selama 10 hari di bawah undang-undang keselamatan negara kerana didakwa terlibat dengan aktiviti yang "menjejaskan demokrasi berparlimen."
Beliau bagaimanapun dibebaskan pada malam sebelum satu perbicaraan yang dijadualkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang mempertimbangkan writ Habeas Corpus yang difailkan oleh para peguam Maria bagi memohon pembebasannya.
Pada tahun lepas, BERSIH dianugerahkan Hadiah Hak Asasi Manusia Gwangju 2016 yang diberikan oleh Yayasan Peringkatan Mei 18 Korea Selatan kepada individu, kumpulan atau institusi sama ada di Korea atau di luar negara yang telah menyumbang, mempromosi dan memajukan hak asasi, demokrasi dan keamaan melalui kerja mereka.