Polis Malaysia Ikrar Kekalkan Perintah Ketenteraman di Perhimpunan Bersih 5

Shuman Vasu
2016.11.15
Kuala Lumpur
161115-MY-bersih-620.jpg Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah (dua dari kanan) menandatangani autograf pada banner untuk mendapatkan sokongan di perhimpunan yang akan datang di Kuala Lumpur, 11 November 2016.
AFP

Ketua Polis Malaysia memberi amaran pada Selasa bahawa anggota pasukannya akan mengambil langkah anti-rusuhan jika keganasan tercetus semasa perhimpunan yang dirancang pada hujung minggu ini di Kuala Lumpur oleh gabungan akar umbi yang mahukan kerajaan yang bersih.

Orang ramai menyuarakan kebimbangan bahawa konfrontasi ganas boleh berlaku di antara penunjuk perasaan berbaju kuning yang menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Najib Razak atas tuduhan rasuah dengan kumpulan Baju Merah yang menyokong parti UMNO sebelum berlangsungnya perhimpunan Bersih 5.0 yang dijadualkan Sabtu ini.

"Saya ingin mengulangi lagi - semua pihak perlu mengikut undang-undang. Jangan marah jika kami mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak mematuhi undang-undang," kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar, sambil memberi amaran bahawa anggota pasukannya akan menembak gas pemedih mata serta menggunakan meriam air jika keadaan menjadi tidak terkawal.

Sesetengah ketegangan berlaku antara kedua-dua kumpulan menjelang penganjuran perhimpunan Bersih, gabungan badan bukan kerajaan dan kumpulan masyarakat sivil terbesar Malaysia yang mahukan kerajaan yang telus, kerana aktivis Bersih telah berkempen di seluruh negara untuk mendapatkan sokongan di kalangan masyarakat luar bandar untuk menyertai demonstrasi besar-besaran di ibu negara pada 19 November ini. UMNO banyak menarik sokongan daripada penduduk kampung.

Pada perhimpunan tahun lepas, yang digelar Bersih 4.0 dan juga menggesa peletakan jawatan Najib, menarik 200,000 penunjuk perasaan ke pusat bandar Kuala Lumpur, kata penganjur.

Pergerakan Bersih mahu Najib berundur atas dakwaan rasuah yang berkaitan dengan dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).  Najib menghadapi gesaan supaya meletakkan jawatan berikutan laporan berita pada Julai 2015 bahawa hampir AS$700 juta wang 1MDB dimasukan ke dalam akaun bank peribadinya.

"Kami telah menanam benih. Benih di mana orang ramai sebenarnya mula bertanya mengenai skandal 1MDB yang sebenarnya," kata Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah kepada Agence France-Presse.

"Kenapa kita mempersoalkan Perdana Menteri mempunyai 2.6 bilion ringgit dalam akaun peribadinya dan (beliau) tidak pula menjelaskan mengenainya.”

‘Penguatkuasaan undang-undang tanpa pengecualian’


Najib, yang telah menafikan sebarang salah laku, minggu ini mendakwa beliau merupakan orang yang pertama mengarahkan siasatan terhadap 1MDB.

"Pihak berkuasa Malaysia sebenarnya telah mendahului dalam siasatan 1MDB. Sayalah orang pertama yang mengarahkan pelbagai pihak berkuasa di Malaysia untuk menjalankan siasatan, " kata Najib kepada Nikkei Asian Review pada Isnin.

"[Saya] sentiasa menjelaskan bahawa kerjasama sepenuhnya diperlukan untuk sebarang penyiasatan dengan syarat ia selaras dengan undang-undang negara kami. Tambahan pula, seperti yang saya telah nyatakan secara konsisten, jika terbukti ada salah laku, penguatkuasaan undang-undang akan dijalankan tanpa sebarang pengecualian, "katanya.

Kumpulan Baju Merah, yang diketuai oleh Jamal Md Yunos, seorang ketua bahagian UMNO, telah muncul di beberapa perhimpunan sebelum ini, dan akan turut menganjurkan perhimpunan pada 19 Nov, untuk mencabar mesej yang dipromosikan oleh Bersih.

Dalam mesej teks kepada BeritaBenar, Jamal berkata, "Lawan Tetap Lawan" - (perjuangan akan diteruskan), selepas diperingatkan mengenai amaran Khalid.

Bulan lalu, Jamal telah ditahan oleh pihak polis atas dakwaan mengugut dengan menghasut untuk menganjurkan rusuhan antara kaum jika Bersih, gabungan pelbagai kaum, meneruskan dengan perhimpunan yang dirancang.

Perniagaan bersedia untuk perhimpunan


Sementara itu, pemilik dan pekerja di tengah-tengah pusat perniagaan di Kuala Lumpur tidak sabar untuk mengaut keuntungan daripada perhimpunan akan datang, yang akan menarik ramai pelanggan berpotensi ke kawasan itu.

Zakhir Hussin, yang memiliki sebuah kedai makan di sekitar kawasan di mana  perhimpunan diadakan berkata bahawa beliau tidak pernah menghadapi masalah semasa perhimpunan Bersih.

"Malah, lebih ramai orang singgah untuk menikmati makanan dan minuman, dan mereka tidak pernah mencetuskan sebarang isu semasa perhimpunan, " katanya kepada BeritaBenar.

Namun, beliau turut melahirkan rasa bimbang bagi Sabtu ini.

"Secara peribadi, saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan kumpulan Baju Kuning. Walau bagaimanapun, kali ini saya takut mungkin terdapat kekecohan jika Baju Merah juga hadir. ... (mereka) pasti akan memberi masalah, "Zakhir memberitahu BeritaBenar, sambil menambah bahawa beliau akan membuka perniagaan seperti biasa pada 19 Nov.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.